Sewaktu anak-anak masih kecil, hantar ke rumah pengasuh dengan bekalan bubur nasi. Untuk memudahkan urusan, memandangkan waktu pagi adalah masa yang sangat sibuk dengan segala kelam kabutnya, saya sediakan bekalan anak pada sebelah malam sebelum tidur. Lebih kurang jam 10 malam saya ambil segenggam beras, sedikit dada ayam atau isi ikan serta mix-vege. Saya masukkan dalam slow cooker dan keesokan paginya siapkan bubur nasi yang masaknya sekata... cantik... Itu cerita lama... ini cerita baru pula... dah lama tak masak bubur guna slow cooker. Anak-anak pun dah besar, tak perlu masak dan suap bubur lagi. Tapi sesekali teringin pula masak untuk untuk diri sendiri...
Bahan-bahan:
1 cawan beras (ikut sukatan rice cooker)
1 liter air (terpulang ikut jenis beras kerana ada beras yang perlukan air lebih)
1 inci halia (dihiris nipis)
4 biji bawang putih (pecahkan)
1 labu bawang besar (cincang halus)
1 kiub ayam (terpulang jika ingin gunakan 2 kiub)
1 keping ikan kurau kering (digoreng dan ditumbuk halus)
2 biji telur masin (rebus)
1/2 cawan lobak putih jeruk (lettuce)
bawang goreng
daun bawang
Bahan sos: (jika ingin menyediakannya)
4 sudu besar kicap manis ABC Heinz
5 biji cili padi
2 biji limau kasturi
Potong cili padi dan masukkan dalam kicap. Perahkan air limau kasturi.
Cara menyediakan bubur:
1.Sebelum tidur, masak bubur gunakan slow cooker. Jangan lupa masukkan halia dan kiub ayam serta bawang putih dan bawang besar. Biarkan masak sehingga pagi.
2. Masukkan bubur dalam mangkuk.
3. Letak lobak putih jeruk, telur masin, bawang goreng, daun sup dan taburkan ikan kurau kering yang telah ditumbuk.
4. Sedia untuk dihidangkan. Jika suka, boleh makan dengan sos kicap pedas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan