Bismillahirrahaamanirrahim.
November sudah seminggu berlalu, namun Oktober masih membekas di hati.
28 Oktober - Encik Suami menerima tarikh pembedahan jantung bertarikh 10 Disember 2026. Setiap minggu perlu datang ke HUKM untuk menjalani fisioterapi pernafasan, Bagaimanapun, setelah Encik Suami membeli alat - pernafasan tersebut, doktor benarkan membuat fisioterapi sendiri di rumah. Ini bermakna Encik Suami boleh pulang ke LD sementara menunggu tarikh pembedahan jantungnya dalam tempoh sebulan lagi.
Alhamdulillah, rezeki Allah maka dapatlah kami sekeluarga menghadiri majlis konvokesyen Abang Farid di UTP (Universiti Teknologi Petronas) pada 02 November 2026.
Pada 30 Oktober 2026, hari Jumaat seawal pukul 10 pagi, kakak ipar dan anak buah hantar Amie dengan Firdaus ke Tawau Airport. Kami sengaja datang lebih awal untuk mengelakkan hal yang tidak diingini berlaku di tengah perjalanan.
Tiket penerbangan ke Kuala Lumpur telah dibeli pada 14 Ogos 2026 untuk empat orang iaitu Amie, Encik Suami, Fairuz dan Firdaus. Ketika tiket dibeli kami tidak menjangkakan Encik Suami akan berada di HUKM. Jadi, terbanglah kami dua beranak sahaja.
Rupanya penerbangan kami yang sepatutnya pada pukul 05.05 petang ditunda ke pukul 06:55 petang. Beberapa minit sebelum terbang, salah seorang penumpang pengsan. Kebetulan ada tiga orang doktor dalam penerbangan kami, jadi mereka membantu memberikan pertolongan cemas dengan melakukan CPR.
Lebih kurang pukul lapan malam, barulah penumpang yang pengsan tadi diturunkan dari perut pesawat dan dihantar ke Hospital Tawau. Kami menunggu dengan sabar untuk meneruskan penerbangan. Pengumuman diberikan, pesawat tidak boleh diterbangkan kerana sebuah tong oksigen kosong dan sebuah lagi digunakan untuk membantu penumpang yang pengsan tadi. Tong berisi oksigen itu turut dibawa bersama dalam ambulance. Kami terpaksa keluar dari pesawat, melalui pemeriksaan imigresen dan mengambil bagasi masing-masing. Penumpang yang tinggal berdekatan lapangan terbang bolehlah pulang ke rumah masing-masing. Penumpang yang jauh ditempatkan di Hotel Marco Polo dan Hotel Kingston di Tawau.
Kami dijadualkan akan terbang ke Kuala Lumpur pada keesokan pagi sekitar pukul 11:00 pagi. Pukul 8:30 pagi kami dikehendaki berkumpul di lobi hotel untuk dibawa ke Tawau Airport semula.
AA tidak memberikan kami makan malam, hanya sebungkus kecil kacang dan chipsmore serta sebotol air mineral 300ml.
Kami sampai di hotel pada pukul 11:35 malam. Memang rasa sangat letih, ditambah dengan perut yang semakin pedih kelaparan. Banyak penumpang yang memaki-maki AA kerana tidak diberi makan malam.
Walaupun badan letih tetapi susah untuk lelapkan mata. Pendingin hawa tidak berfungsi dengan sempurna. Bilik panas! Tanya penumpang yang lain, mereka pun menghadapi masalah yang sama. Terjaga dari tidur, terus melihat emel, penerbangan kami pada pukul 10:00 pagi! Melihat jam sudah menunjukkan angka 5:30 pagi memang kelam-kabutlah jadinya untuk bersiap. Mungkin kami akan dibawa lebih awal ke lapangan terbang. Tak sempat mandi! Lepas solat terus turun ke lobi. Ramai yang sedang menunggu untuk dibawa ke lapangan terbang. Rupanya pukul 8:30 juga kami dibawa ke sana.
Kami dikehendaki daftar semula di kaunter bersama beg masing-masing. Kami juga diberikan kupon untuk menuntut minuman panas dan sandwich di Sipadan Cafe. Sewaktu sedang berbaris menunggu giliran mengambil sandwich dan minuman panas, kami dipanggil masuk ke pesawat! Terpaksalah kami berkejaran meninggalkan barisan. Rupanya sudah hampir pukul 10:00 pagi!
Terburu-burulah kami melepasi pemeriksaan imigresen, berlarian ke barisan untuk melepasi pemeriksaan akhir sebelum memasuki pesawat.
Kebetulan pula, sewaktu membeli tiket Amie tidak berkeinginan untuk menempah makanan. Harap-harap dapatlah beli apa-apa makanan untuk alas perut. Syukurlah dapat beli dua bungkus nasi lemak untuk Amie dan Firdaus. Pukul 11:30 pagi dapatlah kami menjamahnya setelah makanan terakhir kami sebelumnya pada pukul 12:00 tengah hari pada 30 Oktober. Itu pun anak buah yang belanja makan soto.
 |
| Nasi Lemak Pak Nasser |
 |
| Jasmine Green Tea |
Untuk hiburkan hati, dan hendak hilangkan sakit hati maka belilah sebotol minyak wangi ORCHID Legendari dan yang di bawah ini, Legendary Three Wishes di dalam pesawat.
Selesai mengambil bagasi, jam sudah menunjukkan angka 1:30 petang. Encik Suami, Fuad dan Fairuz sudah menanti kami di balai ketibaan.
 |
| Fuad belanja makan tengah hari di Hometown Hainan Coffee KLIA2. |
Itulah ceritanya... tragedi 30 Oktober!
Allahuakbar, banyak halangan..alhamdulillah selamat.
BalasPadamYa Allah.. betul² tragedi...
BalasPadamLalu lalang di depan UTP minggu lepas, teringat kak Amie.. mesti dah sampai untuk menghadiri majlis konvo anakanda