Bismillahirrahmanirrahim
Sewaktu Amie sampai ke rumah Bonda pada pukul 10 malam hari Sabtu malam Ahad lepas, Amie terus menuju ke katil tempat Bonda baring. Apabila Amie seru namanya, Bonda terjaga dan genggam kuat-kuat tangan kita. Katanya: Betulkan ini Mami (panggilan sejak kecil dulu). Wak Aton kata, petang tadi Bonda beritahu Amie sudah sampai. Selepas bersalam dengan Bonda, Amie masuk bilik. Wak Aton kata, Amie belum sampai. Bonda masih tidak percaya. Wak Aton kata Bonda cari Amie. Bonda berjalan perlahan rapat ke dinding supaya tidak jatuh. Semua pintu bilik dibuka tapi tak jumpa Amie!
Allahu! Kenapa sampai begitu sekali mak! Bonda mencari Amie, sedangkan waktu itu Amie masih di udara. Sekarang Amie sudah ada di hadapan Bonda. Kali ini Amie bukan dalam ingatan , bukan dalam bayangan tetapi benar-benar wujud di rumah.
Lama Bonda bercerita sewaktu berada di hospital. Katanya, tidak mahu masuk wad lagi. Selepas mendengar luahan hati Bonda, Wak Aton ajak tidur di sebelahnya. Katanya, dia juga hendak bercerita dengan Amie. Sayangnya, Amie terus terlelap dan terjaga pada pukul empat pagi ketika terdengar suara Wak Aton bangunkan Bonda untuk tukar lampin dan bersihkan diri. Kemudian Amie terdengar Wak Aton mengingatkan Bonda supaya solat taubat diikuti dengan solat tahajjud. Kemudian solat qadha' subuh sebelum tunaikan solat subuh. Wak Aton tunggu di tepi katil Bonda sambil membimbing Bonda membaca niat solat. Apabila Amie tanya, jawab Wak Aton, mana tahu emak terlupa niat. Tambah Wak Aton, mak solat qadha' tiap kali hendak masuk waktu solat. Mana tahu emak pernah tertinggal solat fardhu. Wak Aton pakaikan emak telekung. Bonda solat dalam keadaan baring.
Melihat peristiwa yang sedang berlaku di hadapan mata, Amie tidak jadi sambung tidur. Amie melihat kesabaran itu dari dekat. Beginilah kasih seorang anak apabila melihat Bonda yang sudah uzur dan tidak berdaya. Wak Aton melayan Bonda dengan sabar. Dalam usia 88 tahun dan keadaan Bonda sekarang, perkara yang dahulu mudah dilakukan mungkin sudah memerlukan orang lain untuk mengingatkan dan membantu.
Dalam hati bertanya : Mampukah aku menyantuni Bonda selama beberapa hari berikutnya sebagaimana Wak Aton?
Pagi itu Wak Aton minta diri untuk pulang ke rumahnya. Pesannya, nanti bancuhkan Bonda segelas susu Ensure Gold.
| Kacang Bendi Masak Bening |
Amie memikirkan bagaimana untuk memasak kacang bendi yang sesuai untuk Bonda. Teringat Bonda pesan supaya masak sampai lembut. Bonda sudah tidak kuat untuk mengunyah. Amie pilih kacang bendi yang agak muda, ada lima batang. Kemudian Amie bilas dan tos hingga kering. Selepas itu Amie kelar sedikit bahagian luarnya dan patahkan. Tujuannya supaya tidak terpotong bijinya yang akan mengeluarkan lendir apabila dimasak. Saiz kacang bendi menjadi kecil untuk memudahkan Amie suapkan Bonda.
Zaman dulu kalau masak sayur mesti ditambah ikan bilis, selain bawang putih dan bawang merah. Kali ini Amie tambah sedikit hirisan halia muda supaya sayur bening ada aroma. Amie rebus lama sedikit agar kacang bendi menjadi lembut.
Kacang Bendi Masak Bening sudah siap. Di atas meja makan sebenarnya ada pelbagai lauk. Anak-anak buah hantar nasi putih, sambal hijau, ikan kerisi goreng dan sayur. Adik Chah pula hantar sayur lemak pucuk ubi. Wak Aton kata, dapur Bonda sudah lama tidak berasap. Kalau masak pun, hanya luak sedikit nasi sahaja. Jadi, setiap hari adik-beradik pakat hantar makanan untuk Bonda dan Wak Niah. Wak Niah juga tidak sihat, dan bergerak dengan menggunakan kerusi roda.
Petang itu, Bonda makan tujuh suap nasi berlauk Kacang Bendi Masak Bening. Bonda ambil mangkuk sayur dari tangan Amie dan hirup kuah bening. Segerrr! Kata Bonda.
Selepas solat maghrib, Bonda tanya: Masih adakah lagi sayur bendi? Amie panaskan sebentar dan masukkan dalam mangkuk kecil. Sekali lagi Bonda hirup kuah bening bendi dan makan beberapa potong kacang bendi.
Oo... biji bendi terpotong yang keluarkan lendir.. aiseyyy baru tau.
BalasPadamSeger bening bendi dihirup bonda. Leganya bila bonda berselera.
Allahuakbar begitu rindunya bunda pada amie sampai terbayang Di rumah. Alhamdulillah syukur bunda dapat makan sayur bendi masak bening. Semuga bunda berselera menikmati hidangan air tangan amie
BalasPadam