Pages

Selasa, 19 Mei 2026

Sup Ayam Sihat dan Berkhasiat

Bismillahirrahmanirrahim.
Malam semalam Fairuz minta tolong perapkan kambing, sayap ayam dan sosej. Katanya hendak bakar-bakar, makan bersama-sama kawan-kawan di tempat kerja. Banyak jugalah bahan yang diperap. Ada dua kilo setengah sayap ayam, 1.5 kilogram kambing dan dua paket sosej. 

Sebelum diperap, Encik Suami minta lima ketul sayap ayam. Agaknya Encik Suami teringin makan. Semenjak menjaga diet pemakanannya, kalau makan ayam, Encik Suami hanya makan bahagian dada sahaja. Itu pun dibuang kulitnya. Jadi, petang tadi kita masakkan sup sayap ayam untuk Encik Suami. 

Sebenarnya kita rasa kasihan melihat Encik Suami asyik makan ikan rebus dengan sayur sawi atau ayam rebus dengan sayur sawi sahaja. Untuk lebih meriah dan menambah rasa semula jadi, Amie pelbagaikan bahan sayuran yang sesuai dalam diet pemakanannya. Mengikut  'kajian' anak-anak yang menjadi sebahagian 'doktor' keluarga kami, memang ada makanan tertentu yang lebih sesuai untuk masalah jantung Encik Suami.

Jom lihat kemeriahan Sup Ayam yang Amie olah untuk dijadikan hidangan makan Encik Suami.

Sup Ayam

Warna kuah Sup Ayam tidak jernih kerana ditambah tomato dan ada hirisan halia muda yang nipis, boleh dikunyah Encik Suami sewaktu makan. Amie lebihkan bahan sayuran sebab Amie pun ikut makan juga... ahaks! Selain kentang, Amie bubuh lobak merah, brokoli dan putik jagung serta tomato kampung. Sayur sawi manis, wajib ada sebab itu sayur kegemarah Encik Suami.

Di bawah ini, Amie minta bantuan ChatGPT untuk menghasilkan infografik masakan Sup Ayam, olahan resipi sendiri.

Sup Ayam - ChatGPT

Hidangan Makan Tengah Hari / Malam

Amie sempat panggang ikan bolu, gorengkan Firdaus telur ikan dan buat sedikit kicap lada. Mungkin tak tahan hati, Encik Suami cubit juga ikan bolu panggang masuk dalam pinggan nasinya. Makanlah, janganlah ditahan-tahan keinginan untuk mencicipinya. Nanti boleh mendatangkan stres.... ahaks!

Ikan Bolu Panggang

Kicap Lada

Nasi Putih

Encik Suami bantu kaut nasi dari periuk. Penuh mangkuk berisi nasi. Ini mesti hendak menambah-nambah nasi... ahaks! Tambahlah nasi dalam pinggan. Makan lebih sedikit biar naik berat badan. Encik Suami nampak sangat kurus. Berat badannya hampir sama dengan berat badan kita!

2 ulasan:

  1. Menu yang super
    Sedap dan nikmat
    Ada kecap lada, tambah lezat

    BalasPadam
  2. Sup ayamnya meriah dengan sayur-sayuran. Memang betul2 sihat ni 👏🏻

    BalasPadam