Pages

Selasa, 21 April 2026

Subuh di Masjidil Aqsa

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum tuan/puan
29/12/25 Isnin  (Palestine)
4:40 Berkumpul di Lobby untuk ke masjid.
5: 10 Masuk Subuh. Balik subuh terus sarapan.
8:00 Bergerak ke Maqam Nabi Daud  - Hebron Palestin.
Sama-sama berdoa semoga dipermudahkan urusan kita semua.

Tour leader maklumkan kepada kami setelah berhubung dengan pihak hotel, katanya khidmat buggy hanya setekat hotel dengan pintu masuk bahagian luar ke Masjidil Aqsa sahaja. Bermakna kami perlu menempuh perjalanan yang sama jaraknya seperti kelmarin.

Memandangkan tiada perkhidmatan buggy sehingga ke dataran Masjidil Aqsa, Amie cadangkan Encik Suami supaya berehat sahaja di hotel. Malam tadi pun Encik Suami tidak ada selera makan. Risau pula tenaganya tidak mencukupi untuk perjalanan di pagi hari yang dingin itu. Encik Suami bersetuju. Jadinya waktu subuh nanti Amie dengan Firdaus sahajalah yang akan menyertai ahli rombongan ke Masjidil Aqsa. Kami ada dua hari lagi di sini. In syaa Allah pada hari seterusnya, setelah kembali bertenaga mudah-mudahan Encik Suami dapat turut serta solat di Masjidil Aqsa.

Pukul 3:30 pagi Amie bangun dan mandi. Kemudian Amie bangunkan Firdaus untuk bersiap ke Masjidil Aqsa. Tidak lama kemudian Encik Suami pula masuk bilik air dan mandi. Amie tanya kenapa mandi awal sangat? Kata Encik Suami : Hendak solat subuh di Masjidil Aqsa!

Di celah kedinginan pagi, kami redah lorong-lorong berliku dari Bab al-Amud. Hujan yang turun rintik-rintik menimpa baju kami tetapi syukurlah tidak basah kerana kami memakai baju sejuk dan beg sandang jenis kalis air.

Tentera ada di mana-mana lorong sepanjang perjalanan kami ke Masjidil Aqsa. Ada yang berkawal sambil makan roti, dan ada yang bercerita sesama mereka. Dalam hati berkata: Untuk apalah bersengkang mata menjaga kami di subuh yang dingin ini. Tidur berselimut di rumah lagi bagus.... ahaks!

Pintu masuk Masjidil Aqsa hanya dibuka sejam sebelum masuk waktu subuh dan ditutup sejam selepas waktu isya setiap hari.  Ketika kami jejakkan kaki di bawah pokok zaitun menuju ke dataran Dome of the Rock, kedengaran bunyi dentingan loceng dari gereja yang berdekatan. 


Firdaus memang sentiasa teruja ketika berada di Masjidil Aqsa. Tubuhnya yang kecil memudahkannya bergerak lincah di kawasan sekitar.  Hati-hatilah ketika berjalan laju di sini sebab lantai dataran basah disebabkan hujan yang berterusan.

Berdiri di dataran antara Masjid Qibli dan Dome of the Rock.

Untuk memudahkan pergerakan Amie memakai seluar sahaja. Sudah tentu dapat elakkan (jika pakai skirt) serap air hujan dari batu-batu sepanjang jalan. Kali ini Amie pastikan ada  telekung dalam beg sandang untuk dibawa ke masjid!


Rasa gembira dan teruja jelas terpancar dari wajah Firdaus!


Masjid Qibli

Teringat sewaktu solat maghrib di Dome of the Rock, di rakaat akhir imam baca doa panjang. Di Masjid Qibli pula, doa qunut yang dibaca imam lebih panjang dan lama berbanding doa qunut yang biasa kita baca. 

Encik Suami dan Firdaus sempat minum teh Arab dan makan biskut yang disediakan di Masjid Qibli. Amie tidak perasan adakah di bahagian jemaah perempuan turut disediakan hidangan tersebut. Menurut Encik Suami, setiap kali selepas solat, misalnya selepas solat maghrib di Dome of the Rock dan selepas solat isya di Masjid Qibli mereka juga disajikan dengan minuman teh panas dan biskut. Barangkali untuk menghangatkan badan dan mengurangkan rasa sejuk.


Dalam perjalanan pulang ke hotel, hujan gerimis terus mengekori langkah kami.


Langkah Encik  Suami tidak lagi seperti biasa. Beberapa kali dia berhenti, seolah-olah keletihan mula menguasai tubuhnya. Amie hanya mampu memerhati dari belakang dan kadang-kadang berjalan di sisinya, sambil dalam hati berdoa agar Encik Suami terus diberikan kekuatan.


Amie ingatkan Firdaus supaya tidak berjauhan dari kami. Kadang-kadang apabila Firdaus sudah jauh ke hadapan, dia akan menunggu kami atau berpatah balik ke tempat kami berada.


Amie tidak menduga Encik Suami terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk meneruskan perjalanan tetapi Amie kagum dengan kesungguhan hatinya. Langkahnya nampak agak  berat namun cintanya kepada Masjid Al-Aqsa mampu mengatasi segala kelemahan yang menghalang. Sesekali Amie paut lengannya dan  genggam lengannya, kalau boleh ingin berkongsi sedikit kekuatan yang Amie ada.


Ketika itu, Amie mula mengerti, bukan mudah untuk sampai ke sini dan dengan ini sudah tentulah Encik Suami lebih sukar lagi untuk melepaskan peluang untuk solat subuh di Masjidil Aqsa. Pengalaman menunaikan umrah tiga tahun lalu di musim sejuk di Tanah Arab tidak sama seperti di Jerusalem. Encik Suami tidak lepaskan peluang mengikuti lawatan, mendaki pelbagai bukit di Madinah dan menapak hingga ke Gua Hira' di Makkah dengan mudah.

Hari ini faktor usia dan tenaga perlu diambil kira!
Masing-masing sudah berusia emas, sudah jadi merpati senja.
Semangat dan keinginan itu ada tetapi tenaga sudah mula berkurangan.

Pagi pertama di Jerusalem.

Sebelum waktu sarapan, kami sudah sampai ke hotel. Matahari masih bersembunyi, dan ditambah cuaca mendung jadi pemandangan sekitar kelihatan kelam.



Sejuknya di luar hotel!


Sebelum turun tangga di tingkat bawah (bawah tanah) untuk bersarapan, Firdaus sempat bermain-main dengan kucing.



Jom kita sarapan.


Antara gambar hiasan dalam di dewan makan.




Cuci tangan dahulu di bilik air di dewan makan sebelum sarapan.


Sempat rakam bacaan suhu ketika bangun pagi iaitu serendah 8"C pada pukul 3:35 pagi. Selepas sarapan kami masuk ke bilik dan bersiap untuk lawatan pagi iaitu ziarah ke Makam Nabi Daud di Hebron.

5 ulasan:

  1. subhanallah perkongsian pengalaman dan pic menarik mengujakan

    BalasPadam
  2. Bestnya dapat ke Masjidil Aqsa. Kiblat pertama kita ๐Ÿ˜

    BalasPadam
  3. Alhamdulillah...sangat bertuah dapat jejak kaki ke masjidil Aqsa nie...saya pernah bermimpi saja dan apa yang dalam mimpi hampir sama dalam gambar yang disertakan

    BalasPadam
  4. Baca ini campur aduk saya... Ikut senang baca pengalaman kak Amie kesana. Dan salut dengan suami kakak, tetap berusaha untuk bisa sholat subuh di mesjid sana. Dipikir2, toh kita ga bisa sering2 ke Jerusalem kan. Kalau memang bisa diusahakan, better diusahakan. Semoga suami kak Amie makin membaik yaa.

    Tak sabar baca yg kubur nabi daud juga ๐Ÿ˜๐Ÿ˜

    BalasPadam
  5. bestnya dapat pengalaman solat di masjid Al-Aqsa.

    BalasPadam