Kami terus menyimpan telefon apabila ada sekatan perjalanan iaitu pemeriksaan tentera Isra. Dalam satu kumpulan tentera biasanya terdiri daripada lima orang lengkap bersenjata. Ada dua perempuan dan tiga lelaki. Mereka kelihatan sangat muda, cantik dan tampan dalam usia belasan tahun. Semua beg kami dibuka dan diperiksa.
Firdaus ditanya oleh salah seorang tentera lelaki Isra: Where are you from?
Jawab Firdaus : I'm from Malaysia.
Oh, Malaysia, tentera lelaki berkata sambil tersenyum.
Sesekali, kelihatan kelibat tentera di beberapa sudut, diam memerhati. Kehadiran mereka menambah rasa berat di dada, seolah-olah setiap langkah menuju ke Masjid al-Aqsa bukan hanya perjalanan fizikal, tetapi juga perjalanan emosi.
Kami meneruskan perjalanan sehinggalah tiba di anak tangga menuju ke Masjidil Aqsa. Waktu itu masih teragak-agak untuk membuka telefon kerana bimbang mana tahu akan dihalang atau dirampas oleh tentera Isra!
Dan dalam hujan yang renyai itu, langkah tetap diteruskan, kerana di hujung lorong-lorong batu ini, ada satu tempat yang terlalu lama hanya disebut dalam doa dan kini semakin hampir untuk disentuh dengan mata dan hati.
Dari lorong utama, kami masuk ke laluan kecil yang lebih sempit. Dinding batu tinggi di kiri kanan, lampu malap tergantung, memancarkan cahaya hangat yang bertentangan dengan udara sejuk yang menggigit. Lorong itu sedikit menaik, membuatkan langkah terasa berat, namun hati semakin berdebar.
Sesekali kami berhenti, Encik Suami mengambil nafas panjang. Mungkin dadanya rasa sesak. Firdaus pula sekejap berlari ke hadapan menyertai ahli kumpulan kami, dan kemudian berpatah balik ke arah kami di belakang. Kanak-kanak, begitulah. Tiada rasa bimbang melainkan ingin menikmati suasana yang menggembirakan dirinya.
Akhirnya, lorong semakin terbuka. Nafas terasa sedikit lega. Di hadapan, pintu masuk ke kawasan Masjid al-Aqsa semakin hampir. Dalam hati, hanya satu perasaan yang sukar digambarkan antara syukur, sebak, dan tidak percaya.
 |
| Di perkarangan Masjidil Aqsa, di bawah langit kelabu dan rintik hujan tersergam Dome of the Rock! |
Dalam dingin yang mencengkam, dan suasana yang semakin kelam dengan penuh berhati-hati, langkah diteruskan meniti anak-anak tangga menuju ke dataran. Dan hati ini hanya mampu berbisik:
Ya Allah, terima kasih kerana mengizinkan kami menjadi tetamu-Mu di sini.
Firdaus berlari ke sana dan ke mari di tengah hujan rintik-rintik! Kedua-dua belah tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar kerana menahan sejuk.
Dalam suhu dingin begini, agak sukar sedikit untuk ambil gambar kerana terpaksa buka sarung tangan. Memang sukar untuk tangkap gambar dalam keadaan tangan bertutup sarung!
 |
| Adakah diri ini sedang bermimpi? |
Saat melangkah masuk ke dalam Dome of the Rock , hati tiba-tiba menjadi sangat tenang, namun dalam masa yang sama dipenuhi rasa kerdil yang sukar digambarkan. Keindahan di dalamnya begitu memukau dengan ukiran, warna, dan cahaya yang memantul seakan-akan membawa jiwa jauh dari dunia luar. Namun anehnya, Amie langsung tidak terfikir untuk mengeluarkan telefon dan merakam gambar.
Ada rasa segan yang menyelubungi diri. Melihat jemaah lain duduk penuh santun, diri ini merasakan tempat ini bukan sekadar untuk dilihat, tetapi untuk dirasai dengan hati. Seolah-olah setiap sudutnya mengajak kita untuk diam, tunduk, dan mengingati kebesaran Allah, bukan sibuk merakam kenangan sebagaimana yang Amie lakukan ketika sampai di satu-satu tempat baharu.
Namun hati cepat-sepat tersedar, bukan semua momen perlu disimpan dalam bentuk gambar. Ada saat yang terlalu suci, terlalu indah, sehingga lebih bermakna jika disimpan kemas di dalam hati. Dan mungkin, itulah antara detik paling jujur dalam perjalanan ini ketika Amie memilih untuk hadir sepenuhnya, tanpa gangguan, hanya antara diri ini dan Dia.
Dalam keadaan takjub dan termangu sendirian, rupanya Amie terpisah dengan kawan-kawan. Memandangkan suara azan maghrib sedang berkumandang, Amie cepat-cepat membuka beg sandang untuk mengambil telekung. Oh, sewaktu bersiap-siap di hotel, telekung tidak dimasukkan ke dalam beg rupanya! Ketika meninjau-ninjau mencari ahli kumpulan, tiba-tiba seorang wanita datang menghampiri. Melihat pakaiannya, Amie rasa wanita tersebut merupakan petugas masjid. Dengan wajah manis wanita itu bertanya, adakah Amie mempunyai skrit? Maksudnya kain telekung. Amie kata, telekung tertinggal di hotel. Beliau meminta Amie tunggu di situ dan tidak lama kemudian datang semula membawa sehelai kain warna biru kuning.
Selesai solat maghrib, Amie terfikir pula untuk membawa kain tersebut ke Masjid Qibli dan akan memulangkan semula ke Masjid Kubah Emas (Dome of the Rock) selepas solat isya. Mana tahu di Masjid Qibli akan ditegur pula oleh petugas di sana. Terlintas pula di hati, kalau-kalau sewaktu keluar dari Masjid Kubah Emas, sampai di pintu ketika memakai kasut Amie akan dikejar oleh petugas wanita tadi kerana bawa lari kain!
Amie pun kembalikan semula kain tersebut kepada petugas wanita tadi dengan ucapan terima kasih.
Setelah memakai kasut dan keluar dari Dome of the Rock, barulah Amie keluarkan telefon. Hendak mengambil gambar, hasilnya kelam dan kabur. Namun itu sahajalah yang mampu dirakam pada ketika itu, dalam suhu yang sangat dingin dan sesekali titis-titis hujan membasahi baju.
Lantai batu yang basah dan berkilau di permukaan dataran kelihatan licin dan terpantul cahaya lampu sebagai tanda hujan baru sahaja berhenti. Pantulan cahaya memberi suasana damai tetapi juga sedikit suram dan sayu.
Dalam gambar di atas, terdapat deretan gerbang batu klasik. Ini adalah sebahagian daripada seni bina Islam lama yang digunakan sebagai laluan atau sempadan ruang terbuka. Ia sering menjadi tempat orang berteduh atau berjalan sambil menghayati suasana masjid. Ada kubah-kubah kecil di sekelilingnya termasuk maqam atau tempat peringatan, tempat rehat dan ruang ibadah kecil.
Kembara kali ini banyak gambar model cilik Firdaus!
Kenapa sekitar Masjidil Aqsa kelihatan sepi?
Kawasan Jerusalem khususnya Al-Aqsa berada di bawah kawalan ketat. Selain pemeriksaan tentera Isra di pintu masuk, sekatan tertentu dilakukan mengikut had umur dan pada waktu tertentu. Penduduk tempatan, terutamanya rakyat Palestin juga tidak dibenarkan masuk. Barangkali juga ketika itu musim sejuk, orang kurang berada lama di luar kerana aktiviti di kawasan terbuka berkurang. Barangkali juga kesunyian itu sebenarnya sebahagian daripada adab tempat suci.
Hakikatnya kawasan ini sering berada dalam keadaan tegang, kehadiran pelancong juga tidak konsisten
Sebelum ini Amie menyangka tempat ini akan dipenuhi manusia, suara, langkah, doa yang bersahut-sahutan seperti yang selalu Amie bayangkan tetapi apabila tiba di halaman Masjid al-Aqsa, rasa terpinga-pinga dan terdiam.
Sunyi!
Bukan sunyi yang menenangkan seperti di kampung halaman tetapi sunyi yang terasa dalam, seolah-olah ada sesuatu yang hilang. Hanya angin sejuk yang sesekali melintas, dan beberapa orang insan yang berjalan perlahan dan diam dalam dunia masing-masing.
Ini tempat suci. Ini antara tempat yang paling dirindui umat Islam di seluruh dunia. Namun mengapa ia terasa sepi? Dalam diam, hati mula menjawab: Bukan semua orang bebas untuk berada di sini. Di luar sana, mungkin ramai yang ingin datang tetapi terhalang. Terpisah. Tertahan oleh sesuatu yang kita sendiri hanya mampu rasakan, bukan sepenuhnya difahami.
Kubah Emas dilihat dari dekat.
Indah!
Dalam perjalanan ke Masjid Qibli, sempat bercerita dengan seorang kawan tentang telekung yang tertinggal di hotel dan peristiwa kena tegur petugas masjid. Katanya, dia solat dengan telekung dan kain yang sudah sedia dipakai. Kain telekungnya ada di dalam beg, dan dia suruh Amie buka zip beg sandang di belakangnya dan ambil kain telekung.
Sementara menunggu waktu isya di Masjid Qibli, sempat baca doa yang dikirim oleh keluarga, sanak saudara dan kawan-kawan.
 |
| Di hadapan Masjid Qilbi selepas menunaikan solat isya. |
 |
| Masjid Qibli |
Dalam perjalanan pulang dari Masjidil Aqsa melewati lorong-lorong hingga ke Bab Al-Mud, Encik Suami kelihatan agak lambat bergerak. Beberapa kali berhenti mengambil nafas.
Sambil berjalan perlahan-lahan di sisi Encik Suami, mata tidak terlepas dari melihat batu-batu yang dipijak. Ini adalah bahan utama sejenis batu kapur (limestone) tempatan berwarna krim keemasan hingga kelabu lembut. Digunakan sejak ribuan tahun dalam pembinaan di Jerusalem. Batu ini digunakan sebagai dinding bangunan di kiri kanan lorong, gerbang-gerbang batu dan sebahagian struktur masjid dan bangunan lama.
Jalan yang kami pijak dibuat daripada kepingan batu kapur besar yang dipotong (flagstones). Ada juga yang lebih kecil seperti cobblestone. Permukaannya menjadi licin dan berkilau apabila ditimpa air hujan.
Dari Bab al-Amud menuju ke Masjid al-Aqsa, dan perjalanan pulang ke hotel, diri ini mula tersedar yang paling banyak bercerita bukanlah manusia, tetapi batu-batu di bawah kaki! Batu-batu itu basah, berkilau dalam cahaya lampu yang samar. Setiap langkah perlu berhati-hati kerana licin, dingin, dan terasa keras menyentuh tapak kaki. Namun di sebalik kekerasannya, ada sesuatu yang lembut menyelinap ke dalam hati.
Terfikir di hati, sudah berapa lama batu ini berada di sini?
Namun batu kapur tua ini diam, tetapi setia. Ia tidak pernah berpindah, tidak pernah bersuara tetapi menyimpan jejak langkah manusia yang tidak terhitung jumlahnya. Pedagang, tentera, ulama, ibu, anak kecil, pelbagai bangsa, dan semuanya pernah melalui lorong yang sama.
Dan hari ini, diri kerdil ini juga menjadi salah satu daripadanya.
Batu-batu ini pernah menyaksikan dunia berubah, empayar datang dan pergi, manusia silih berganti, namun ia tetap di sini, setia menunggu langkah seterusnya.
Dan hari ini juga, salah satu langkah itu adalah langkah kaki ini.
Dalam dingin dan lorong yang sunyi, diri ini cuba memahami bahawa permusafiran ini bukan sekadar menuju sebuah tempat, tetapi menyusuri jejak masa yang kini menjadi sebahagian daripada kisah hidup diri ini sendiri!
kenangan yang indah dan penuh jiwa,batu-batu bukan sekadar laluan tapi menjadi saksi perjalanan manusia dan masa..Kak Amie beruntung dapat jejak kaki ke tempat yang penuh sejarah dan keberkatan.Harap saya pun ada rezeki untuk sampai ke sana nanti
BalasPadamIn syaa Allah. Mudah-mudahan akan sampai juga ke sini.
PadamSubhanallah..Kak Amie, suami dan firdaus dah sampai ke masjid AL- Aqsa, SA yang tgok gamabr ni pun rasa antara terpukau dan sebak...
BalasPadamAlhamdulillah.
PadamDe gan izin-Nya jua.
Subhanallah. Rasa sebak namun menumpang rasa terpegun baca perjalanan Kak Amie hinggalah sampai ke Masjidil Aqsa yang penuh sejarah. Thanks for sharing Kak Amie. Moga kami pun diizinkan ke sana nanti, Aamiin Ya Rabbal Aalamiin.
BalasPadamIn syaa Allah. Mudah-mudahan akan sampai ke sini.
PadamSaya betul2 menghayati penulisan Kak Amie seolah2 saya pun berada di sana jugak 😊 terima kasih Kak Amie sudi berkongsi pengalaman ke Masjid Al-Aqsa dan Baitulmaqdis ♥️
BalasPadamAlhamdulillah. Yang baik itu kita kongsi bersama-sama. Moga bermanfaat.
PadamSubhanallah..satu perjalanan. Penggembaraan yang sangat berharga, bernilai.. dengan gaya penceritaan kak Amie,linda ikut sebak.. memahami sangat suasana sepi itu...
BalasPadamSayu kan. Kiblat pertama umat Islam di bawah sekatan Israel.
Padampengalaman berharga yang tak semua orang dapat. alhamdulillah.
BalasPadamIn syaa Allah, dengan izin-Nya jua.
PadamSebaknya membaca setiap baris cerita Kak Amie. Syukur, masjid Al-Aqsa masih terpelihara kerana selalu baca cerita yg negatif sahaja tentangnya.
BalasPadamYa, mudah-mudahan Masjidil Aqsa dapat dipertahankan dari jatuh ke tangan munafiqin.
PadamUntung Amie dah dapat menjejaki kaki ke masjidil Aqsa. Kalau kita ni, tak tahu lah sempat sampai ke sana ke tidak.
BalasPadamIn syaa Allah, dengan izin-Nya jua kita akan sampai ke sini.
PadamSubhanallah kak, sampai juga akak ke sana ya. Ke tempat yang nak pergi tu penuh ranjau dan dugaannya. Cantik masjidnya tapi itulah sayang betul keadaan sekarang ni. MOga cepatla perang ini selesai dan moga masjid tu kembali semula menjadi milik rakyat palestin.
BalasPadamSedih betul apabila zionis tutup pintu ke Masjidil Aqsa selama 40 hari sebelum ini.
Padamkembara di kota tua bersejarah pengalaman indah teruja baca coretan amie
BalasPadamTerima kasih Kak PI.
Padamsubhanallah., hebat bole jejak ke masjidil aqsa., aminn
BalasPadamAlhamdulillah. Dengan izin-Nya jua.
PadamMesjid ini terasa sepi, bisa JD Krn kondisi nya yg sekarang ini. Sehingga banyak Orang2 dari negara manapun juga ragu ingin kesana. 😔. Sayapun termasuk salah satunya. Suami belum mengizinkan mengingat situasinya.
BalasPadamJadi paham perbedaan baitulmaqdis dan mesjid Al Aqsa skr kak Amie. Terimakasih sudah menjelaskan.
Saya lihat jalanan berbatu ya, memang lah kesan zaman dulunya kuat sangat. Langsung membayangkan jtaan orang yg sudah melalui jalanan itu, Beratus ratus tahun yg lalu sampai skr.
Untung saja ketemu dengan wanita penjaga mesjid tadi ya kak. Jadi bisalah meminjam mukena nya untuk sholat
Terasa syahdu bila baca 😪
BalasPadamSemoga Masjid Al-Aqsa akan terus kekal terpelihara..
Nampak Kak Amie & En. Masjid bersarung tangan, pasti cuacanya sangat dingin.
terima kasih kerana berkongsi catatan ni dgn begitu detail sekali utk pembacaan kami. pengalaman yg sangat menarik. sedih bila disangka masjid ni sepatutnya menerima ramai kunjungan seperti masjid2 yg lain, tapi sepi... sampaikan tempat ibadat agama kita pun dikawal oleh pihak2 terkutuk tu. apatah lagi masjid ni ditutup dlm tempoh yg lama baru2 ni..
BalasPadamSegalanya indah tgk gambar kak Amie...
BalasPadam