Bismillahirrahmanirrahim.
Menjelang senja barulah sempat menulis entri. Malam semalam semuanya sibuk melayan tetamu sempena rumah terbuka raya di rumah kami. Pukul 11 malam Amie tidak sabar untuk luruskan pinggang. Pukul satu malam, terjaga dari tidur apabila Encik Suami masuk bilik. Kata Encik Suami Fuad, Fairuz dan Firdaus masih di bawah mencuci pinggan mangkuk dan bersihkan dapur.
Pukup 9:20 pagi kami sekeluarga perlu berada di studio untuk bergambar. Encik Suami bangunkan seorang demi seorang anak-anak yang masih kepenatan. Amie sendiri selepas solat subuh, terpaksa layan mata semula, sambung tidur. Pukul 7:15 pagi bangun dan terus mandi.
Rupanya Encik Suami sterika semua baju kami! Baju Amie dan semua baju anak-anak yang akan dipakai untuk bergambar. Terima kasih Encik Suami. Dan tepat pada masanya, kami sampai ke studio. Photoshoot berjalan lancar. Alhamdulillah.
Balik ke rumah, masing-masing berasa lapar sebab belum sarapan. Amie cepat-cepat sediakan apa yang ada di dapur, panaskan baki Dalca Kambing, menu rumah terbuka semalam. Panaskan rendang daging dan kuah laksa. Amie panaskan roti paratha dalam kuali dan kemudian panggang dalam air fryer subaya lebih gebu dan rangup. Sebenarnya Amie juga sediakan roti paratha rangup untuk para tetamu. Memang laku keras roti paratha! Rupanya tetamu suka makan dengan Dalca Kambing dan ada yang makan dengan rendang daging.
| Menu sarapan pagi. |
| Dalca Kambing |
| Rendang Daging |
| Salad Campur |
Kali ini Amie sediakan Salad Campur lebih sedikit sebab anak-anak memang suka makan salad. Apalagi apabila ditambah Kewpie Roasted Sesame Dressing, cepatlah salad licin!
| Laksa asam tak cukup aksesori. |
Untuk hidangan rumah terbuka kami, Amie masak nasi tomato dan juga laksa asam. Dalam kesibukan memasak dan melayan tetamu, memang selera makan hilang sama sekali. Amie hanya sempat minum dan meratah ayam goreng sahaja. Jadinya, apabila ada baki laksa memang terujalah hendak dimakan sebagai sarapan walaupun aksesori tidak cukup. Lapar punya pasal, makan sahajalah apa yang ada. Malas dah hendak cari bahan lain seperti telur rebus dan hirisan nanas serta timun.
| Tart Labu |
Kami memesan 50 biji tart labu daripada anak buah. Diberinya kami lebih tujuh biji! Sebenarnya tart labu ini kami jadikan buah tangan kepada tetamu yang hadir termasuk jiran tetangga dan keluarga Encik Suami. Alhamdulillah, setiap keluarga yang datang, pulang dengan sebiji tart labu yang comel dan sedap! Amie sempat makan dua biji. Ada baki tiga biji, Encik Suami simpan dalam peti sejuk.
| Tart Labu |
Oleh kerana tart labu hasil air tangan anak buah sangat sedap, Amie cadang hendak tempah lagi dan bawa ke ladang untuk dinikmati bersama-sama kawan!
Malam ini gantung periuk sebab ada dua jemputan majlis rumah terbuka raya!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan