Pages

Khamis, 18 September 2025

Resipi Asam Pedas Kepala Ikan Layar

Bismillahirrahmanirrahim.
Pagi tadi berangan hendak masak nasi lauk Asan Pedas Kepala Ikan Layar. Setelah bersiap-siap turun ke dapur dan petik daun kesum, baru tersedar bekalan air terputus sejak pukul 11:00 pagi. Sekarang hampir pukul 1:00! Hendak keluar makan, malas pula bersiap.

Alhamdulillah, Encik Suami sempat tadah air beberapa baldi. Bolehlah digunakan untuk masak. Kali ini gunakan air penuh jimat cermat. Siapkan hidangan makan tengah hari kami:
Asam Pedas Kepala Ikan Layar


Daun kesum dan bunga kantan sudah tersedia, sayang pula hendak tangguh-tangguh masak asam pedas. Ayuk, masak sajalah!

Hidangan Tengah Hari / Malam

Asam Pedas Kepala Ikan Layar

Petola Masak Lemak Putih

Nasi Putih


Petola Masak Lemak Putih - perencah udang kering, bawang putih dan bawang merah serta serai. Tambah suhun dan kulit tauhu kering.


Walaupun sudah ada asam pedas kepala ikan, tambahkan juga sambal tuhau.


Lengkapkan hidangan dengan ulam timun dan  telur masin.



Kelmarin Encik Suami bawa pulang enam biji kelapa pandan. Memang harum dan manis airnya. Kita tambahkan hirisan lemon dan air kelapa pandan.

Asam Pedas Kepala Ikan Layar


Oleh kerana kita olah Petola Masak Lemak Putih, jadi kita pekatkan kuah asam pedas kepala ikan layar. Kita bubuh lebih sedikit belacan. Sewaktu menumis perencah asam pedas memang semerbaklah aromanya memenuhi dapur sehingga terbersin!

Resipi Asam Pedas Kepala Ikan Layar
Bahan-bahan:

1 kg kepala ikan layar - potong ikut citarasa
600 ml air
1 sudu kecil pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
1 keping asam gelugur
2 batang serai - dititik
5 tangkai pokok kesum
2 kuntum bunga kantan - belah 2
1 sudu kecil lada hitam - ditumbuk
garam / perasa pilihan secukupnya
1/2 cawan minyak untuk menumis

Bahan kisar:
20 biji cili kering
3 ulas bawang putih
7 biji bawang merah
2 cm belacan
2 cm kunyit hidup
2 cm halia

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga pecah minyak dengan api sederhana. Masukkan serai dan bancuhan pati asam jawa dan asam keping. Gaul sebati.
2. Masukkan air dan biar mendidih sehingga pecah minyak sekali lagi. Jika suka boleh tambahkan air dan didihkan lagi sehingga terbit minyak lagi.
3. Kemudian masukkan daun kesum dan bunga kantan serta kepala ikan layar. Tambahkan lada hitam tumbuk.
4. Masak kepala ikan layar di antara 5 hingga 7 minit dan kemudian terbalikkan bahagian sebelahnya.
5. Biarkan sehingga kepala ikan layar masak.
6. Perasakan dengan garam / perasa pilihan secukupnya.
7. Padamkan api dapur.

28 ulasan:

  1. Tentu dah jemu asyik makan di luar. Mujurlah ada air ditambah untuk memasak. Sedapnya rupa asam pedas Kak Amie, tentu 1000x lebih sedap rasanya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul SK.
      Lama dah tak bersilat di dapur sendiri.

      Padam
  2. menu lauk kampung macamni memang terbaik

    BalasPadam
  3. Kalau masa masak atau menumis sampai terbersin tu, confirm sedap!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hahaaaa... teringat kalau bl;an puasa masak asam pedas, bukan kita saja yang bersin, jiran pun ikut sama!

      Padam
  4. Uwaaaaah liat petola masak putih, telur asin dan timun saja, dah drooling. Apalagi ditambah asam pedas kak 😍😍😍😄. Nikmat lah. Pengobat hati di saat air dan listrik masih bermasalah yaa

    BalasPadam
    Balasan
    1. Menu kampung aja Fanny. Memang mengubat hati.

      Padam
  5. Manu macam ni maunya bertambah saya makan. Hehehe...

    BalasPadam
  6. Rajin kak Amie memasak macam-macam walaupun katanya bekalan air terputus.
    Nampak sedap kuah asam pedas tu kak, makan pulak dengan telur masin memang ngam!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Dah termasuk ke dapur, masak sajalah mana yang boleh.

      Padam
  7. Nampak sedap semuanya..kalau SA sedap meratah kepala ikan tu kak

    BalasPadam
    Balasan
    1. Itulah SA, Kak Amie cari matanya yang besar tu!

      Padam
  8. Memang ngam asam pedas dengan telur masin tu. Sedapnya semua menu tu.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah.
      Telur masin tu pulak makan yang kuning saja hihihi.

      Padam
  9. Tak ada air memang memilih untuk malas masak. Tapi lagi malas nak bersiap kalau dah sampai masa nak makan kan. Baiklah masak kejap. Pekat memikat kuah asam pedas kak Amie. Lauk petola masak lemak putih tu macam lama tak makan juga. Kalau sayur masak lemak putih, asyik guna kobis je lah. Ngam dah tu ada telur masin yang biasa bergandingan dengan asam pedas. Menyelerakan betul hidangan tengah hari kak Amie sekeluarga.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul, nak bersiap keluar makan satu hal pula.
      Baik masak sajalah di dapur sendiri. Siap juga akhirnya.

      Padam
  10. Sajian sangat istemewa...makan pun bahagia..makanan berkhasiat juga sebab ada syur dan telur..

    BalasPadam
  11. Uish mesti besar betul kan ikan layar tu kak, tengok matanya besar betul... mesti sedap tu

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kepalan ikan itu kami beli sebelah, itu pun sudah seberat 1.1kg.

      Padam
  12. Pekat kuah asam pedas tu...sedap dimakan dengan kicap

    BalasPadam
  13. oo dalam resepi asam pedas ni ada tambahan lada hitam.

    BalasPadam
  14. sy baca entry akak ni masa jam hampir pukul 2
    perut tgh lapar ni kak
    tgk lauk petola tu
    waduhhh kecur terus dibuatnyaaaa

    BalasPadam