Pages

Khamis, 21 Ogos 2025

Meratah Chapli Kebab di Kala Hujan Gerimis

Bismillahirrahmanirrahim.
Nampaknya sepanjang hari ini suhu sejuk dari pagi hingga ke senja. Hujan rintik-rintik membasahi bumi. Apa khabar perut di kala dingin begini? Sudah tentulah mula meronta minta diisi dengan sesuatu yang panas.

Keluar dari ladang, kami singgah cari makan di restoran paling hampir dan tak lain tak bukan sudah tentunya Restoran Pakistan Nasim Khan. Seperti biasa, Encik Suami tidak ubah selera dan mesti memesan roti paratha dengan Teh Pakistani.

Masuk saja ke restoran (kami masuk dari pintu belakang kerana Encik Suami letak kereta di belakang restoran), terbau aroma masakan yang semerbak! Itu aroma Chapli Kebab! Maka, tanpa berfikir dua kali, kita pun terus memasannya.


Kebab sudah tidak asing lagi bagi penggemarnya. Banyak jenis kebab mengikut negara masing-masing seperti:
  • Shish Kebab - Turkiye
  • Doner Kebab - Jerman
  • Gyro - Yunani
  • Koobideh - Iran
  • Seekh Kebab - India & Pakistan
  • Adana Kebab - Turkiye
  • Chapli Kebab - Pakistan
  • Shami Kebab - India dan Pakistan
  • Kofta Kebab - pelbagai negara Timur Tengah
  • Pinchos Morunos - Sepanyol
Amie pernah makan Doner Kebab (di Bosnia Herzegovina), dan Adana Kebab )di Istanbul. Kofta Kebab biasa kami makan di pelbagai restoran yang menghidangkan masakan Timur Tengah samada di LD, Kota Kinabalu dan Puncak Alam (sewaktu balik Malaya).

Chapli Kebab merupakan salah satu jenis kebab yang popular dalam masakan Pakistan. Selain chapli kebab, kebab Pakistan lain termasuklah seekh kebab, shami kebab, reshmi kebab dan bihari kebab.

Di LD, khususnya di kedai makan Pakistan, kami hanya jumpa sejenis kebab sahaja iaitu Chapli Kebab. Chapli Kebab ini asalnya dari Peshawar, Pakistan. Biasanya diperbuat daripada daging cincang samada lembu atau kambing. Apabila kita makan, terasa rempahannya seperti jintan dan ketumbar, ditambah dengan cili, bawang, tomato cincang kalau mengikut resipi asal ada biji delima kering. Rupa bentuk Chapli Kebab seperti burger daging versi tradisional, leper dan nipis dan digoreng dalam minyak.

Gambar di bawah ini Amie ambil sewaktu jalan-jalan ke Pakistan September 2024. Ketika ini kami sempat meronda Bandar Gilgit pada waktu malam di sini : Jalan-jalan di Sekitar General Bus Stand Shahr-e-Quaid-e-Azam Gilgit

Nampaknya saiz chapli kebab di Gilgit lebih kecil daripada chapli kebab di kedai makan Pakistan di LD. Amie sekadar ambil gambar sahaja ketika itu, dan tidak singgah makan di sini.

Chapli Kebab - Gilgit, Pakistan.

Teh Pakistani

Roti Paratha


Oleh kerana Amie hendak meratah chapli kebab dan lauk lain, jadi kami memesan sekeping sahaja roti paratha. Kami kongsi makan berdua. Roti paratha pun bersaiz besar, melebihi pinggan! Ketika hujan rintik-rintik, sampailah ke meja:
  • Roti Paratha
  • Teh Pakistani
  • Chapli Kebab
  • Rajma Curry - Kacang Merah
  • Beef Keema
  • Siri - Paaye (Kari Perut)
Bismillah

Rajma Curry - Kacang Merah

Beef Keema

Siri - Paaye ( Kari Perut)

Chapli Kebab

Chapli Kebab

Chapli Kebab ini rasanya sedikit pedas dari lada hitam dan berempah.  Rangup diluar, juicy di dalam serta kenyal dan lembut. Ketika dikunyah, barulah dapat nikmati masam-masam segar daripada tomato. Ada sebiji limau kasturi, mungkin ikut citarasa tempatan, jika inginkan rasa masa, bolehlah perah atas chapli kebab.

Kalau di Pakistan, Amie nampak chapli kebab dibubuh cili padi sebiji-sebiji. Mereka makan dengan roti nan, ditambah chutney hijau dan bawang hiris!

Selesai makan, hujan masih juga turun.
Sampai ke rumah, keluarkan 'bekalan' mi goreng dari ladang. Gorengkan sebiji telur dan letak sambal tomato. Kalau ada sesiapa lapar, bolehlah makan.

Mi Goreng 

Selain mi goreng, ada kuih keria dan juga karipap. Sedap kuih keria keledek, kuih tradisional yang kian dilupakan setelah kedatangan adik donut!

Karipap & Kuih Keria

Tidak lupa, ada mangga manila lagi. Nampaknya sepanjang minggu ini setiap pagi mangga manila 'berjalan' ke ladang. Kena kongsi dengan penoreh lain. Tak boleh berterusan makan mangga manila sebab rasanya sangat manis, dan sudah tentu tinggi gula!

Alhamdulillah, kalau orang kata rezeki datang bergolek dan ada durian runtuh, kami hari-hari kutip mangga manila gugur di belakang rumah.

Mangga Manila

6 ulasan:

  1. terliur tgk kari perut tu...1st time tgk Chapli Kebab

    BalasPadam
    Balasan
    1. Di kedai makan Pakistan saja kami jumpa chapli kebab.

      Padam
  2. Uish! Macam tu warna teh pakistan dia? Macam Melo

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kali ini macam terlebih pekat pula warna Teh Pakistani tu.

      Padam
  3. Terrornya Kak Amie boleh tahu bau kebab tu. Roti paratha dia tak macam roti paratha yg sy kenal.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, memang tak sama. Tapi itulah roti paratha Pakistan. Kedai makan ini hanya tawarkan dua jenis saja, roti nan dan roti paratha.

      Padam