Pages

Jumaat, 13 Disember 2024

Kari Daging Pipi Lembu dengan Rebung

Bismillahirrahmanirrahim.
Salam Jumaat, penghulu segala hari. Semoga semua beroleh keberkatan dan limpah rahmat daripada-Nya.

Sudah makan tengah hari? 
Amie masih lagi di ladang getah, menunggu Encik Suami selesai solat Jumaat. Sementara menunggu kedatangannya, Amie kongsikan resipi Kari Daging Pipi Lembu dengan Rebung. Masakan ini sudah tentulah tidak ada lagi sebab sudah selamat masuk ke perut kami beberapa hari yang lalu.

Kari Daging Pipi Lembu dengan Rebung


Daging bahagian pipi lembu.

Rebung dibeli di pasar tani, masih segar dan belum dihiris-hiris.

Kari Daging Pipi Lembu dengan Rebung

Resipi Kari Daging Pipi Lembu dengan Rebung
Bahan-bahan:

  • 500 gram daging bahagian peha - hiris nipis / ikut saiz yang digemari - rebus hingga empuk - toskan
  • 3 cawan air rebusan daging
  • 300 gram rebung segar - hiris ikut saiz yang disukai - rebus hingga lembut - toskan
  • 4 sudu besar serbuk kari ayam / daging 888
  • 2 sudu besar serbuk cili
  • 1 cawan santan pekat / 1 kotak kecil santan
  • 2 pelepah daun kari - lurutkan
  • 4 sudu besar minyak
  • garam / gula / perasa pilihan secukupnya
  • 1 atau 1/2 biji limau nipis - ambil jusnya lebih kurang satu sudu besar
Bahan kisar / tumbuk:
  • 3 ulas bawang putih
  • 5 biji bawang merah
Bahan penumis:
  • 1 labu bawang besar - hiris kasar
  • 2 cm halia - hiris halus / batang mancis
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 3 kuntum bunga cengkih
  • 3 biji buah pelaga
Cara memasak:
  1. Panaskan minyak dan masukkan bahan penumis. Tumis hingga terbit aroma dan bawang besar menjadi kekuningan.
  2. Masukkan bahan kisar dan kacau rata, dan kemudian masukkan daun kari.
  3. Seterusnya masukkan serbuk rempah kari.
  4. Tambahkan sedikit air rebusan daging dan perlahankan api dapur.
  5. Kemudian masukkan daging bersama rebung dan lebihan air rebusan daging.
  6. Taburkan sedikit gula.
  7. Tambahkan santan pekat.
  8. Perasakan dengan garam / perasa pilihan secukupnya.
  9. Biarkan seketika dengan api kecil sehingga terbit minyak.
  10. Akhir sekali, tuangkan jus limau nipis. Kacau sekali dua dan padamkan api dapur.

Limau Nipis


Kari Daging Pipi Lembu dengan Rebung

7 ulasan:

  1. Baru tau daging pipi lembu ni. Tak pernah dengar sebelum ni.

    BalasPadam
  2. Pipi ikan je pernah makan.
    Pipi lembu tak pernah tengok orang jual. Agaknya tak sempat jual orang dah book awal-awal. Mesti sedap bahagian pipi tu.

    BalasPadam
  3. First time ni Kak Amie saya tahu ada part pipi lembu. Rebung ni memang saya tak reti makan dan masak.

    BalasPadam
  4. sedap nampaknya gulai rebung daging pipi lembu..selalunya rebung masak lemak putih ja

    BalasPadam
  5. Ohh pipi lembu pun banyak juga dagingnya tu. Memang sayang kalau tak dilapah sebaiknya kan. Gulai campur rebung macam tak pernah makan lagi. Kalau daging dengan rebung masak lemak cili api pernah lah juga makan.

    BalasPadam
  6. Ya allah sedapnya....lama x buat kari daging..

    BalasPadam
  7. Aduh, tentu sedap pipi lembu bila dimasak kari dan diletak rebung, Kak Amie.

    BalasPadam