Pages

Khamis, 25 April 2024

Pindang Pedas Kepala dan Ekor Ikan Tuna

Bismillahirrahmanirrahim.

Tengah hari tadi sebaik habis menoreh, kelam-kabut hendak bersiap ke padang sebelum pukul dua petang. Selepas solat zohor, hanya sempat makan kuih penjaram dan limau sahaja kemudian terburu-buru menuju ke padang. Tak sempat tukar pakaian. Kesesakan lalu lintas yang diharungi menyebabkan terlewat sampai! Di padang, rakan-rakan yang bertugas melatih atlet semuanya berbaju kurung! Sama seperti Amie, mengejar masa!

Selesai tugas di padang terus lari balik ke rumah. Perut memang sudah meronta-ronta minta diisi. Baru teringat sebelah pagi hanya makan telur rebus sebiji dan pisang rebus tiga biji. Waktu rehat beli waffle di kantin.

Teringat Firdaus akan pulang dari sekolah agama sebentar lagi, buru-buru kita terjah ke dapur. Capai periuk dan masak nasi. Kita goreng ikan kerapu batang untuk Firdaus. Budak kecil itu suka makan ikan goreng berempah, maka jadilah ikan kerapu batang goreng berempah. Kita pula lebih suka makan nasi lauk ikan yang ada kuah. Maka jadilah Pindang Pedas Kepala dan Ekor Tuna. Tambah lagi satu lauk iaitu sayur kacang panjang goreng dengan hati ayam dan tempe. Eh, tambah lagi satu, sambal belacan tempoyak. Tepat pada waktunya, masakan siap, Firdaus pun sampai ke rumah.

Pindang Pedas Kepala dan Ekor Ikan Tuna

Hidangan Makan Malam


Ikan Kerapu Batang Goreng Berempah


Firdaus suka ikan goreng berempah ditambah cili hijau goreng. Terlupa pula hendak simpan cili hijau dalam peti sejuk. Warna hijau sudah bertukar menjadi oren kemerahan!

Kacang Panjang Goreng dengan Hati Ayam dan Tempe.

Pindang Pedas Kepala dan Ekor Ikan Tuna


Kali ini Amie masak pindang tambahkan cili padi supaya ada rasa pedas. Serainya pula Amie hiris halusdan tumis bersama perencah lain. Untuk rasa lebih segar Amie tambahkan daun kunyit. Haaa.... barulah ada rasa masakan pindang yang Bonda kita selalu masak! 

Resipi Pindang Pedas Kepala dan Ekor Ikan Tuna
Bahan-bahan:
  • Kepala dan ekor ikan tuna
  • 4 cawan air
  • 1 biji tomato - belah 4
  • 2 keping asam gelugur
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit
  • 1 helai daun kunyit - siat dan simpul
  • 3 sudu besar minyak
  • garam / perasa pilihan
Bahan hiris:
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 labu bawang besar
  • 1 batang serai
  • 1/2 inci halia
  • 10 tangkai cili padi
Cara memasak:
  1. Panaskan minyak.
  2. Tumis bahan hiris hingga terbit aroma.
  3. Masukkan air dan biarkan sehingga mendidih.
  4. Kemudian masukkan kepala dan ekor ikan tuna bersama tomato, serbuk kunyit dan asam gelugur.
  5. Biarkan mendidih sehingga ikan masak.
  6. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.
  7. Masukkan daun kunyit.
  8. Biarkan seketika dan kemudian padamkan api dapur.
Jemput makan.


8 ulasan:

  1. Menyelerakan semua lauk pauk kak Amie 🤤

    BalasPadam
  2. Saya nak jadi anak Kak Amie jugak, boleh?

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum cikgu Amie.. sy selalu baca posting cikgu.. berkenan sgt dgn ikan goreng berempah kesukaan Firdaus.. nk tau mcmane resepi nya ikan goreng berempah tu.. terima kasih in advance.

    BalasPadam
  4. Nampak sedap terutama ikan goreng berempah tu.
    Pindang ikan tu nampak menarik, dah lama tak makan lauk pindang. tqlah kak.. boleh cuba resepi ni nanti.

    BalasPadam
  5. Memasak ni automatik kena jadi kreatif. Gunakan bahan apa yang jadi. Lauk simple tu yang sedap tu. Macam sedap pulak ikan goreng berempah tu Kak Amie. Surelah sedap kan sampai Firdaus suka sangat makan.

    BalasPadam
  6. Cili goreng itu hanya digoreng biasa kak Amie? Tak pakai bumbu apapun?

    Saya suka juga ikan goreng berempah. LBH suka digoreng begini makan pakai sambal drpd berkuah 😅. Sama selera dengan firdaus

    BalasPadam
  7. Kalau sy makan lauk pindang suka guna mangkuk, nanti nasinya sy curah kuah banyak² sampai menjadi bubur, hehehe.

    BalasPadam
  8. mesti bertambah tambah firdaus makan kannn
    ;-)

    BalasPadam