Pages

Sabtu, 16 Mac 2024

Udang Galah Masak Lemak Cili Padi dengan Kulit Tembikai : Lauk Berbuka Puasa Hari ke-5

Bismilillahirrahmanirrahim.
Waktu imsak di LD pukul 04:54 pagi, waktu berbuka puasa pukul 18:19 petang. Hari ini hari ke-5 umat Islam berpuasa. Sekejap saja masa berlalu. Rasanya baru hari ini Amie sempat berkongsi juadah berbuka puasa.

Hujan turun menjelang asar membawa ke maghrib. Cuaca yang sangat panas membahang bertukar menjadi sejuk. Alhamdulillah. Rasa hendak tidur saja tapi gagahkan juga diri ke dapur untuk menyediakan juadah berbuka puasa. Amie masak nasi dengan lauk sahaja, tanpa pencuci mulut dan kuih-muih. Encik Suami bantu sediakan jus tembikai dan kulit tembikainya pula Amie kupas dan masukkan dalam masakan lemak cili padi udang galah.

Firdaus pula hendak berbuka puasa makan nasi dengan ikan goreng berempah. Memang suka betul budak kecil itu makan ikan goreng. Menambah-nambah nasi dalam pinggannya. Amie goreng dua keping ikan jenahak, dan kalau tidak habis bolehlah dijadikan lauk bersahur. Habis nasi di pinggan, Firdaus minta izin untuk habiskan pula ikan jenahak goreng berempah dalam pinggan lauk. 

Firdaus berselera makan waktu berbuka tetapi agak liat untuk makan sahur kecuali ada lauk kegemarannya seperti ikan goreng berempah. Ada sekali waktu sahur Encik Suami gorengkan sayap ayam tapi Firdaus tak mahu jamah.


Hidangan berbuka puasa:
  • Nasi Putih
  • Udang Galah Masak Lemak Cili Padi dengan Kulit Tembikai
  • Ikan Jenahak Goreng Berempah
  • Peria Tumis Pecah Telur
  • Sambal Belacan
  • Jus Tembikai
  • Kurma

Udang Galah Masak Lemak Cili Padi dengan Kulit Tembikai


Resipi Udang Galah Masak Lemak Cili Padi dengan Kulit Tembikai
Bahan-bahan:
  • 10 ekor udang galah - cungkil kotoran di kepalanya - gunting misainya
  • 1 mangkuk hirisan kulit tembikai (bahagian putih yang telah dibuang kulit hijau)
  • 200 ml santan kotak
  • 500 ml air
  • 2 batang serai - diititk
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit
  • 1 keping asam gelugur
  • garam / gula / perasa pilihan
Bahan tumbuk:
  • 30 tangkai cili padi
  • 3 ulas bawang putih
  • 5 biji bawang merah
Cara memasak:
  1. Masukkan air ke dalam periuk.
  2. Kemudian masukkan semua bahan tumbuk, serai, asam gelugur dan hirisan kulit tembikai.
  3. Biarkan mendidih sehingga kulit tembikai lembut.
  4. Seterusnya masukkan udang galah diikuti dengan santan kotak.
  5. Kacau kuah sehingga mendidih dan udang galah bertukar warna.
  6. Taburkan garam / gula / perasa pilihan.
  7. Kacau lagi beberapa kali dan kemudian padamkan api dapur.
Ikan Jenahak Goreng Berempah

Peria Tumis Pecah Telur

Bismillah.

Juadah berbuka Fuad.

Merisik khabar anak-anak di perantauan. Petang ini Fuad berbuka puasa di masjid di Jelutong. Farid dan Aseeyah juga berbuka puasa di masjid UTP. Alhamdulillah. Encik Suami pesan, teruslah berada di masjid sehingga selesai solat tarawih.

Juadah berbuka Abang Farid.


12 ulasan:

  1. Sedapnya..SA x pernah mkn kulit tembikai..sedap agaknya dicampur dlm masakan

    BalasPadam
  2. Sekarang cuaca panas lain macam. Hujan sekejap je sekali lalu, lepas tu membahang semula. Dugaan berpuasa. Saya pun tak ada kuih muih. Kadang makan berbuka je dah kenyang. Bila lapar baru cari moreh.

    Suka betul Firdaus dengan ikan goreng berempah dia. Macam kena buat menu tu berbuka dah sahur baru dia selera makan sahur juga.

    Alhamdulillah..masing masing berbuka di masjid dan dapat tarawih di masjid sekali. Sedap sedap menu masing-masing. Juadah Fuad sama macam di rumah lauk udang galah, masak je berbeza.

    BalasPadam
  3. Kulit tembikai...??? Huhuu belum pernah cuba lagi tu.. tak tau pun putih kulit tembikai boleh dimakan...

    BalasPadam
  4. Baru CCL tau kulit tembikai boleh masak lemak

    BalasPadam
  5. Wah...macam sedap kulit tembikai MLCP tu...
    Kita geng la Daus...Petang ni nak goreng ikan jugaklah....terliur pulak tengok ikangaring garing tumakan dengan nasi putih

    BalasPadam
  6. Wahhhhh....menu yang akan buat bertambah-tambah nasinya nanti ni. Saya belum pernah makan kulit tembikai. Nanti boleh cuba ni

    BalasPadam
  7. Alang2 harga tembikai mahal, masak sekali kulit dia. Pernah makan sekali dua je kulit tembikai, rasa seakan labu air.

    BalasPadam
  8. ingat2 lupa ammi pada juadah berasaskan kulit tembikai yang arwah mama pernah buat msa kami kecil dulu.

    BalasPadam
  9. Saya baru tahu pula kulit semangka ini dimasak juga. Saya pun sering makan yg bagian putih kak, tp langsung di makan, tak pernah coba masak 😅

    BalasPadam
  10. Saya baru tahu pula kulit semangka ini dimasak juga. Saya pun sering makan yg bagian putih kak, tp langsung di makan, tak pernah coba masak 😅

    BalasPadam
  11. Jarang nampak budak² suka ikan, baguslah daus ni.

    BalasPadam