Pages

Selasa, 6 Februari 2024

Nangka Muda Masak Lemak dengan Ikan Masin & Ikan Kerisi Goreng

Bismillahirrahmanirrahim.
Hari ini masuk hari kedua Firdaus tidak bersekolah. Kelmarin Encik Suami bawa ke hospital dan dapat cuti selama 7 hari. Firdaus kena chickenpox. Tapi, budak kecil itu tidak mahu mengalah dengan penyakitnya! Dia percaya dengan kata-kata Khalid, kawan baiknya: Daus bukan kena chickenpox. Daus kena gigit nyamuk bah itu, kata Khalid.

Dia tetap cergas mahu masuk ke dapur walaupun sudah berkali-kali dilarang Encik Suami. Akhirnya kami mengalah apabila petang tadi Firdaus hendak masak nasi sendiri. Sudah Firdaus masak nasi, kenalah sediakan lauknya pula.

Seperti biasa, namanya saja kami makan tengah hari tetapi sebenarnya sudah lewat petang menghampiri pukul lima. Di luar, hujan turun dengan lebatnya. Suasana jadi gelap gelita. Ambil gambar sahajalah walaupun tak tahu teknik pencahayaan. Kalau gambar terang, bolehlah dijadikan entri. 

Inilah hasil air tangan Amie petang tadi:
  • Nasi Putih - Firdaus yang masak
  • Ikan Kerisi Goreng - Encik Suami tolong siang
  • Nangka Muda Masak Lemak dengan Ikan Masin
  • Sambal Belacan
  • Tempe & Tauhu Goreng
  • Ulaman Daun Pudina dan Tomato Ceri

Hidangan Tengah Hari / Malam

Limau Kasturi

Pada mulanya, rasa cukuplah Nangka Muda Masak Lemak dengan Ikan Masin dengan perencah cili padi. Tapi apabila melihat limau kasturi yang dibeli Encik Suami, tiba-tiba teringin pula nak makan sambal belacan. Jadi, kena kurangkanlah jumlah cili padi dalam masakan lemak nangka muda.

Ikan Kerisi

Cadangnya hendak goreng ikan kerisi. Agak lama juga tidak makan ikan kegemaran ini sejak dari kecil dulu. Bonda suka goreng garing-garing. Aduhai... teringat kalau ikut arwah Kak Ros menoreh getah, kami bawa bekal  ubi rebus dengan ikan kerisi goreng! Sementara menunggu susu getah berhenti mengalir untuk dituang ke dalam baldi, kami makan bekalan yang dibawa.

Eh, teringat arwah Kak Ros pula. Al-Fatihah untuknya.

Ikan kerisi mempunyai pelbagai nama. Ada beberapa jenis dari keluarga kerisi tetapi setakat ini Amie belum begitu mengenalinya. Antara nama-nama kerisi yang lain seperti:
  • Kerisi Merah Ros
  • Kurisi
  • Gurisi
  • Kerisi Pelangi
  • Pasir-pasir
  • Kerisi Jepun
  • Geretak Lanta
  • Kerisi Jantan
  • Kerisi Jalur Lima
Di Indonesia pula, ikan kerisi dikenali dengan nama:
  • Ikan Gresik
  • Kresek
  • Kerisi
  • Kurisi
  • Kambayan
  • Teribang
  • Tukak

Ikan Kerisi

Ada beza bentuk di antara lima ekor ikan kerisi dalam gambar di atas. Ada yang panjang dan ada yang agak pipih. Ada yang jelas jalur kuningnya, dan ada yang seolah-olah ditutupi dengan sisik.

Ikan Kerisi

Nampak beza di antara keduanya kan? Ada beza rasa juga setelah digoreng. Ikan yang lebih pipih lebih garing dan ikan yang jelas jalur kuningnya agak tebal isinya. Walaupun digoreng dalam kuali yang sama dan dalam tempoh yang sama, tetap memberikan rasa yang tersendiri pada kedua-dua jenis ikan ini.

Ikan kerisi yang lebih pipih, mungkin namanya ikan kerisi pelangi.



Abaikan sisik-sisik yang masih menempel d belakang ikan kerisi goreng! Itu hasil kerja Encik Suami. Terima kasih Encik Suami kerana bantu ringankan kerja-kerja dapur.

Ikan Kerisi Goreng

Nangka Muda Masak Lemak dengan Ikan Masin


Resepi Masak Lemak Nangka Muda dengan Ikan Masin
Bahan-bahan:
  • 500 gram nangka muda - rebus hingga empuk - toskan airnya - potong ikut saiz yang disukai
  • 1 ekor ikan masin - Amie gunakan ikan masin batu - potong 4
  • 1 batang serai - diketuk - potong 3
  • 1 keping asam gelugur
  • 1 helai daun kunyit - siat-siat
  • 600 ml santan cair
  • 300 ml santan pekat
  • 3 sudu besar minyak
  • garam / gula / perasa pilihan secukupnya

Bahan tumbuk / kisar:
  • 15 tangkai cili padi
  • 3 cm kunyit hidup
  •  3 ulas bawang putih
  • 5 biji bawang merah
  • 1 sudu besar ketumbar biji
  • 1 sudu kecil jintan manis kasar

Cara memasak:
  1. Panaskan minyak dan tumis bahan perencah dan serai hingga terbit aroma.
  2. Masukkan nangka muda. Gaul sebati dan kemudian masukkan santan cair. Biarkan masak mendidih.
  3. Seterusnya asam keping diikuti dengan ikan masin.
  4. Tuangkan santan pekat. Gunakan api perlahan.
  5. Masukkan daun kunyit.
  6. Taburkan garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
  7. Kacau sekali-sekala dan apabila kuah mendidih, padamkan api dapur.

Nangka Muda Masak Lemak dengan Ikan Masin

Ketika masak nangka muda, terkenang pula beberapa kali makan gulai cubadak masakan Padang di beberapa tempat ketika jalan-jalan di Sumatera Barat. Teringat-ingat keenakan sarapan katupek dengan gulai tunjang dan cubadak @ nangka muda. Rasanya kali pertama Amie makan masakan berasaskan nangka muda ketika jalan-jalan diIndonesia ialah pada tahun 2011. Kami makan nasi gudeg di Jalan Malioboro, Jogjakarta. Gudeg ialah masakan yang diperbuat dari nangka muda, dimasak lama dengan santan dengan dirempahi kepayang. Oh, teringat pula sambal goreng kreceknya sekali! Ya Allah, mudah-mudahan ada rezeki lagi untuk jejak kaki ke Jogjakarta.

Tempe & Tauhu Goreng

Ada sambal belacan, harus ada ulamannya. Jom belajar makan ulam daun pudina. Amie belajar makan ulam pudina setelah melihat salah seorang jemaah umrah lelaki dari Turki makan daun herba tersebut ketika bersarapan. Diambilnya beberapa tangkai pudina, dipegang dengan tangan kiri sementara tangan kanannya memetik daun pudina dan dimakan begitu saja diselang-seli mengunyah roti yang dicecah dengan keju biru.

Segar pudina!


Sambal belacan ini agak cair sedikit sebab Amie kisar dengan tomato. Tapi tetap sedaplah.
Sambal belacan lebih sedap kalau ditumbuk dalam lesung kan?

Jemput makan sama.
Bismillah.


27 ulasan:

  1. Fuh! Ini kalau buat pemangkin selera waktu sahur, best ni!

    BalasPadam
  2. Sy nak regukan dgn ceker Kak Amie, nangka muda tu. Masalahnya ceker dah banyak, nangka yg belum jumpa lagi 😁
    Get well soon Daus 💪

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ceker di LD punyalah mahal PH. Kelmarin tengok sekilogram RM9.00.

      Padam
  3. Pagi² nampak nangka muda, sambal belacan dan ikan kerisi goreng, tertelan² air liur dibuatnya 🤣. Sambil telan air liur, dapat timba ilmu tentang jenis² ikan kerisi. Ikan kerisi ni sy kenal dan perasan juga di pasar ada yg kurus ada yang leper, species tak sama la rupanya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Yang leper tu kalau digoreng garing, sedap ooo!

      Padam
  4. cantik je hirisan limau kasturi tu..ikankerisi panas2 garing2 sedap tu

    BalasPadam
    Balasan
    1. Memang sedap Mama Tisya kalau goreng garing.

      Padam
  5. SEDAPNYA HIDANGAN TENGAHARI AMIE N FAMILI ..MOGA DAUS SEGERA SEMBUH SEDIAKALA

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih Kak PI.
      Alhamdulillah, Firdaus sudah sembuh.

      Padam
  6. Semoga saya jadi rajin macam kak Amie, masak beberapa jenis lauk.

    Ilmu baru ni...kerisi pun ada beberapa jenis juga rupanya.

    Moga Firdaus yang rajin tolong di dapur cepat sihat.

    BalasPadam
    Balasan
    1. In syaa Allah, boleh jew Ujie.
      Alhamdulillah, Firdaus sudah sembuh.

      Padam
  7. Nah kalo ikannya digoreng kering begini saya sukaaa... Memang sedap, apalagi makan pakai sambel kecap 😄👍

    Dulu saya ngerasain makan daun pudina atau peppermint, saat di Korea Utara kak.

    Di sana mereka makan grill bbq, daging sapi dan lainnya pakai dibungkus daun pudina. Besar2 daun pudinanya. Setelah di rasa, memang enaak. Apalagi daun ini wangi kan 👍👍.

    Tapi agak susah cari di sini. Saya blm ketemu lagi yg jual.

    Nangka muda atau gori, memang banyak dimasak di Indonesia. Saya pun suka, tapi terkadang hrs ada pedas2nya. Kalo terlalu manis kayak gudeg di Jogja, saya ga terlalu suka. Kecuali sambal kreceknya pedas, baru mantep 😄👍

    BalasPadam
    Balasan
    1. Memang bagus daun pudina. Aromanya menyegarkan.
      Kak Amie pun sebut gori juga untuk nangka muda.
      Saya tak berapa ingat rasa gudeg di Jogja samada manis atau sebaliknya tapi pastinya rasanya kenyal-kenyal gitu.

      Padam
  8. Pandai dah Firdaus masak nasi. Semoga cepat sembuh ye. Ikan kerisi goreng memang sedap

    BalasPadam
    Balasan
    1. Firdaus memang suka masuk dapur. Kalau boleh dia nak masak setiap hari.
      Alhamdulillah, Firdaus sudah sembuh.

      Padam
  9. Cantiknya buah limau kasturi tu. Sedap semua menu menyelerakan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Cantik dan besar saiznya kan Cie. Banyak jusnya.

      Padam
  10. fuhh nampak garing betul ikan kerisi goreng tu

    BalasPadam
  11. Sedapnya masak lemak tu. Pair dengan kerisi goreng memang menambah nambah..

    BalasPadam
  12. Bagus juga dia cergas kak Amie dari melepet mengadu sakit. hihi..rajin pulak tu masak nasi. Pandai Daus. Uishh..ni semua lauk favourite saya ni kak Amie. Ikan kerisi goreng garing cicah sambal belacan memang padu lah.

    BalasPadam