Pages

Sabtu, 21 Oktober 2023

Nasi Goreng Perencah Mi Bandung Muar & Tart

Bismillahirrahmanirrahim.
Pagi tadi berangan atas katil, berkira-kira hendak sediakan sarapan. Rasanya, hanya ada nasi putih sejuk sahaja yang boleh dijadikan sajian pagi. Eloklah buat nasi goreng tom yam, bubuh nanas dan udang. Bingkas bangun ke dapur dan keluarkan nasi putih dari peti sejuk. Terbayang-bayang  olahan Mama Cella dengan NASI GORENG NANAS. Kemudian kumpulkan bahan perencah untuk nasi goreng. Krong krang krong kreng! Nasi goreng siap.

Tapi bukan nasi goreng tomyam sebaliknya Nasi Goreng Perencah Mi Bandung Muar!

Ceritanya, apabila terpandang sepaket Perencah Mi Bandung Muar, terlupalah perencah tom yam dan nanas nan sebiji di atas meja! Timbul pula idea untuk goreng nasi gunakan perencah mi bandung.

Huurrmmm... lain yang hendak dimasak, lain yang dihidang. Memang betul, kepala ini sudah penuh sarat dengan pelbagai muatan yang difikir. Itu pasal, lain yang dirancang lain kejadiannya! Barangkali usia semakin senja turut mempengaruhinya.

Jadinya, pagi Sabtu yang redup ini kami sarapan:

  • Nasi Goreng Perencah Mi Bandung Muar
  • Creme Brulee Tart
  • Portuguese Egg Tart

Nasi Goreng Perencah Mi Bandung Muar & Tart



Resipi Nasi Goreng Perencah Mi Bandung Muar
Bahan-bahan:
  • 3 cawan nasi putih sejuk
  • 3 sudu besar perencah Mi Bandung Muar
  • 2 papan petai - ambil isinya
  • 1/2 cawan hirisan dadu lobak merah
  • 1 cawan isi udang
  • 3 ulas bawang putih - cincang
  • 1 labu bawang besar - cincang
  • 5 tangkai cili padi - cincang
  • 3 sudu besar minyak
  • garam / perasa pilihan
Cara memasak:
  1. Panaskan minyak.
  2. Tumis bawang putih, bawang besar dan cili padi cincang. 
  3. Setelah bahan tumis terbit bau, masukkan perencah Mi Bandung Muar dan lobak merah serta udang.
  4. Kacau beberapa kali dan biarkan sehingga udang bertukar warna.
  5. Masukkan nasi putih bersama petai.
  6. Taburkan garam / perasa pilihan secukupnya.
  7. Gaul rata dan biarkan seketika.
  8. Padamkan api dapur.

Creme Brulee Tart - 2 ketul
Portuguese Egg Tart - 3 ketul

Tart lima ketul ini sebenarnya dibeli dua hari lepas tapi terlupa untuk dimakan sebab Encik Suami masukkan dalam peti sejuk. Pagi tadi panaskan dalam air fryer. Elok lagi keadaannya dan yang terlebih sedap sudah tentulah Portuguese Egg Tart berkulit rangup itu!

6 ulasan:

  1. dua dalam satu la nasi goreng amie, nasi goreng perisa mee bandung hehe :)

    BalasPadam
  2. Malam2 lihat ini, lapar langsung saya kak 🤣. Masih lama pula pagi.. jadi nak bikin nasi goreng utk pagi nanti 😄

    BalasPadam
  3. Kalau masakan cikgu amie sentiasa menggoda

    BalasPadam
  4. uishhh.. ada petai lah.. sedap ni!

    BalasPadam
  5. oh tak pernah tau kalau pes mee bandung boleh dijadikan rencah nasi goreng. Versatile sungguh chef amie

    BalasPadam