Pages

Isnin, 9 Oktober 2023

Ikan Batu Masak Kari Tanpa Santan

Bismillahirrahmanirrahim.
Seperti biasa, petang-petang begini memang sedang menunggu Encik Suami dan Firdaus pulang dari sekolah agama. Dan semestinya sudah siap masak nasi untuk makan malam kami sebelum masuk waktu maghrib. Pada mulanya Amie hendak masak kari kepala ikan batu dan goreng sekeping isi ikan batu untuk Firdaus. Kemudian Amie ubah fikiran kerana minggu lepas, Amie masak kari kepala ikan lausu @ landuk dan gorengkan isinya tetapi Firdaus ambil lauk ikan masak kari pula! Jadi, petang ini Amie hanya masak kari saja, sekeping bahagian kepala dan sekeping bahagian isi dan dipotong kepada beberapa bahagian.

Oleh kerana kami beli ikan yang sudah siap dibersihkan dan dipotong, jadi tak dapatlah hendak kongsikan rupa ikan batu. Ikan batu ini ada yang bersaiz sederhana dan saiz besar. Seperti biasa, Amie tambahkan sayur seperi kacang panjang dan terung yang digoreng terlebih dahulu. Amie tidak bubuh asam jawa atau asam keping dalam masakan, sebaliknya Amie perahkan jus limau nipis sebagai sentuhan akhir proses memasak.

Ikan Batu Masak Kari Tanpa Santan


Resipi Ikan Batu Masak Kari Tanpa Santan
Bahan-bahan:
  • 1 keping bahagian kepala ikan batu + 1 keping bahagian isi - potong ikut saiz yang sukai - cuci bersih - toskan
  • 3 batang kacang panjang - potong sepanjang 5 cm
  • 1 biji terung - potong 2 dan belah 4
  • 7 biji tomato ceri - belah tak putus
  • 1 pelepah daun kari - lurutkan
  • 1 batang serai - ketuk
  • 1 sudu kecil halba campur
  • 1 sudu kecil biji sawi
  • 5 sudu besar serbuk kari ikan 888
  • 1 sudu besar serbuk cili
  • 3 cawan air
  • garam / gula / perasa pilihan
  • 3/4 cawan minyak
  • 2 sudu besar jus limau nipis
Bahan hiris halus:
  • 3 ulas bawang putih
  • 5 biji bawang merah
  • 1 labu bawang besar
  • 2 cm halia

Cara memasak:
  1. Kacang panjang digoreng hingga layu. Angkat dan toskan.
  2. kemudian goreng terung hingga layu. Angkat dan toskan.
  3. Tinggalkan 3/4 cawan minyak gorengan kacang panjang di dalam kuali. Tumis bahan hiris halus, serai, halba campur, daun kari dan biji sawi.
  4. Setelah bahan tumis layu dan terbit aroma, masukkan serbuk kari. Perlahankan api dapur.
  5. Untuk menghalang tumisan terlalu kering, masukkan satu cawan air. Masak sehingga terbit minyak.
  6. Masukkan 2 cawan air lagi dan biarkan kuah mendidih dan terbit minyak sekali lagi.
  7. Seterusnya masukkan kepala dan isi ikan batu.
  8. Biarkan seketika sehingga kepala ikan masak.
  9. Masukkan tomato ceri, dan perasakan dengan gula / garam / perasa pilihan.
  10. Tuangkan jus limau nipis.
  11. Kacau beberapa kali dan padamkan api dapur.
  12. Hidangkan panas dan masukkan kacang panjang goreng serta terung goreng.

Jemput makan!


Kalau makan kari ikan di Sabah Tea Restaurant, selalunya ditambah aksesori kacang panjang atau kacang buncis goreng dan terung goreng. Jadi, cubalah ikut-ikut gaya masakan kari ikan di sana.

9 ulasan:

  1. Nak cubalah cara masak kari style Kak Amie ni...sy biasanya guna air asam jawa utk kari ikan dan sayurnya pun tidak digoreng dulu... terus campak dalam periuk 🤭

    BalasPadam
  2. Walau tak kenal ikan batu tapi dah terasa sedapnya ..
    Lagi pulak ada kacang panjang dan terung goreng .
    Blog cikgu memang dah jadi Kamus Ikan untuk Adah rujuk nama-nama ikan

    BalasPadam
  3. Masak macam ni jimat masa kan Kak Amie. Tak payah masak lauk sayur sbb dah ada sayur dalam kari ni.

    BalasPadam
  4. sedapnya, saya pn kalau masak tak letak santan kak

    BalasPadam
  5. Menyelerakan betul masakan kak Amie. Ohh macam tu, senanglah dicampur sekali sayur. Sekali masak gitu.

    BalasPadam
  6. Ini bahan2ny saya banyak baru dengar 😅. Jadi rasa susah nak buat. Halba, biji sawi, semacam jarang ada di pasar sini 😁.

    Tapi kalo lihat bentuknya saya dah yakin lah ini sesuai selera saya kak 😍😍😍

    BalasPadam
  7. Dah lama x buat kari tanpa santan..kena buat semula ni since Mak Pah x leh makan santan

    BalasPadam