Pages

Isnin, 11 September 2023

Kari Ayam Tambah Kulit Kayu Manis Dari Batu Sangkar

Bismillahirrahmanirrahim.
Hari ini Firdaus mengikuti latihan choral speaking di sekolah dari pukul satu tengah hari sehingga pukul empat petang. In syaa Allah kumpulan mereka akan meneruskan pertandingan ke peringkat negeri pula. Nampaknya tidaklah boleh melayan mata hingga ke petang. Sebelum pukul empat petang sudah kena siapkan hidangan makan tengah hari merangkap malam. 

Firdaus sudah tentu teruja kalau masuk ke rumah terus terbau aroma masakan dari dapur. Amie masak nasi lauk kari ayam. Aromanya sudh tentu sangat menggoda selera. Salah satu bahan penumis yang Amie gunakan sudah tentu kulit kayu manis. Istimewanya kulit kayu manis kali ini datangnya dari Pulau Sumatera. Amie beli dua berkas kecil kulit kayu manis ketika singgah minum kopi kawa di KINIKO COFFEE di Tabek Patah Tanah Datar, Batu Sangkar, Sumatera Barat.

Kari Ayam

Kulit Kayu Manis Sumatera

Pekedai di KINIKO KOPI menjelaskan bahawa ada perbezaan di antara kulit kayu manis yang digunakan dalam masakan di negara kita berbanding kulit kayu manis di Sumatera. Kulit kayu manis yang biasa kita gunakan datangnya dari Sri Lanka. Cubalah gunakan kayu manis dari Sumatera pula. Begitulah saranan yang diberikan.

Amie pun beli dua berkas kecil seperti dalam gambar di atas. kalau tak silap setiap berkas berharga 20.000 IDR.

Amie pun tidak pasti apa berbezaannya dari segi aroma atau rasa sebab sudah bercampur dengan bahan penumis yang lain. Setelah siap masak, Amie lihat kulit kayu manis tidak mengembang seperti kulit kayu Sri Lanka yang biasa kita gunakan itu. Apa pun, masakan kari ayam memang sedaplah.... ahaks!

Kulit kayu manis tidak mengembang seperti kulit kayu manis dari Sri Langka.

Amie memang masak kari ayam lebih dan simpan separuh. Esok pagi boleh dipanaskan dan dijadikan bekal.

Kari Ayam
Bahan-bahan:

  • 8 keping bahagian sayap / kepak - potong dua
  • 2 biji kentang - kupas kulit - belah 4
  • 4 sudu besar serbuk kari ayam / daging 888
  • 1 cawan santan pekat
  • 4 cawan santan cair
  • 2 pelepah daun kari - lurutkan
  • 2 batang serai - diititik
  • 4 sudu besar minyak
  • garam / gula / perasa pilihan secukupnya
  • 1 biji limau nipis - ambil jusnya
Bahan kisar / tumbuk:
  • ulas bawang putih
  • 5 biji bawang merah
  • 2 cm halia
Bahan penumis:
  • labu bawang besar - hiris kasar
  • 2 batang kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 3 kuntum bunga cengkih
  • 3 biji buah pelaga
Cara memasak:
  1. Panaskan minyak dan masukkan bahan penumis. Tumis hingga terbit aroma dan bawang besar menjadi kekuningan.
  2. Masukkan bahan kisar / tumbuk dan kacau rata, dan kemudian masukkan serai dan daun kari.
  3. Seterusnya masukkan serbuk rempah kari. Tambahkan sedikit santan cair dan perlahankan api dapur.
  4. Kemudian masukkan ayam, dan masak sehingga ayam menjadi layu atau berubah warna.
  5. Tuangkan lebihan santan cair dan masukkan kentang.
  6. Taburkan sedikit gula.
  7. Apabila ayam mula empuk, tambahkan santan pekat.
  8. Perasakan dengan garam / perasa pilihan secukupnya.
  9. Akhir sekali, tuangkan jus limau nipis. Kacau sekali dua dan padamkan api dapur.

Sambal Bambangan

Sebaik sahaja Firdaus sampai bersama Encik Suami, kami pun terus makan bersama. Selain kari ayam, ada sambal bambangan pemberian kakak ipar, ada ulaman timun dan daun salad, egg century dan ikan cencaru panggang.


Bismillah.

7 ulasan:

  1. Rupa dia lebih menarik dan cantik lagi kak Amie. Mungkin rasa dia tak banyak beza kot. Yang penting masakan kak Amie tetap sedap.

    BalasPadam
  2. panjang sungguh kulit kayu manis nya tu kak oi

    BalasPadam
  3. alahai kakkkkk sedapnyaaaa kari ayam!!!

    BalasPadam
  4. Terimakasih resepnya kak Amie. Saya suka kari ayam Melayu karena tak jauh beda dengan kari ayam sumatera Utara. Soalnya sejak merantau ke Jakarta, saya susah sangat cari kari ayam yg mirip dengan kari ayam sumatera utara. Even kari ayam Padang aja beda rasanya.

    Kalo nak tanya mama, saya suka bingung Krn mama takaran size-nya itu tak pasti 🤣. Maklumlah orang tua kan. Kalo ditanya berapa banyak bumbu ini, pasti jawabannya, secukupnya. 😅. Itu yg saya tak paham, secukupnya seberapa banyak 🤣

    Jadi nak coba lah resep kak Amie ini 👍

    BalasPadam
  5. sedap kak amie semua gabungan lauk2 tu

    BalasPadam
  6. Sejak lepas kahwin berat badan SA naik, SA alami juga masalah selera makan..baru sehari dua ni selera kembali ok..nampak lauk kak amie ni aduhai sedapnyaaa

    BalasPadam