Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah. Hasrat untuk berehat seketika dari rutin kerja akhirnya tercapai jua walau pun hanya dalam masa yang singkat. Awal pagi Sabtu, kira-kira pukul 6 pagi, kami meninggalkan Lahad Datu, destinasi ke Kota Kinabalu. Sebelum tidur pada sebelah malam, sempat baca mesej daripada Ros. Ros pesan, kalau jalan-jalan ke Kota Kinabalu, singgahlah ke rumahnya di Ranau. Amie kata esok pagi kami akan singgah di rumahnya.
Setiap kali cuti sekolah, Ros sekeluarga bersama anak-anak dan suaminya akan ke Keningau. Katanya, di situlah mereka akan bertemu keluarganya yang datang dari Pensiangan.Ros juga mengambil kesempatan menguruskan kebun kelapa sawitnya.
Sebenarnya kami bertemu semula secara maya beberapa bulan lepas. Masing-masing telah menukar telefon dan entah bagaimana kedua-duanya lost contact. Alhamdulillah, Allah atur kembali pertemuan kami! Perjalanan selama 5 jam dari Lahad Datu ke Ranau, akhirnya membuahkan hasil pertemuan kami setelah berbelas tahun tidak berjumpa.
Kelmarin, bergambar kenangan bersama Ros dan suami. |
Inilah Lorong Bunga Talang (Telang) menuju ke rumah Ros. Kami mengekori kereta Ros yang menjemput kami dari simpang jalan ke Poring ( Hot Spring) menuju ke Kampung Minihas Lohan.
Menurut Ros, sempena nama Lorong Bunga Talang (Telang), jadi penduduk kawasan tersebut dikehendaki menanam pokok bunga telang di kediaman masing-masing. Menarik sungguh idea ini!
Pokok bunga telang menjalar di pagar rumah Ros.
Alhamdulillah. Akhirnya kami sampai ke rumah Ros yang tersergam indah, penuh dengan kehijauan alam!
Pokok bidara di hadapan rumahnya menyambut kedatangan kami! Sementara Encik Suami bersembang dengan suami Ros di ruang tamu, Ros ajak kita ke dapur. Ros beritahu, ibu saudara dan anak perempuannya sedang masak di dapur. Katanya, mereka sedang menyiapkan sup buah tarap (terap) dengan daging salai.
Seronoknya kita melihat suasana dapur basah Ros yang terletak di bahagian luar. Lebih terbuka dan nyaman. Maklumlah, Ranau letaknya di bahagian lembah. Memang rasa tenang, dan pada ketika itu suhunya juga rendah. Sejuk!
Sup Tarap dengan Daging Salai. |
Buah tarap muda. |
Ros suruh kita cuba makan buah tarap muda yang dijadikan masakan sup. Memang sedaplah makan ratah sahaja. Agaknya boleh makan dengan kicap lada kot.
Di tepi dapur, ada serumpun pokok kantan yang sedang berbunga. Selain bunga, ada buah kantan juga! Rupanya buah kantan boleh dimakan! Ros ajak kita melawat kebun tanaman herbanya. Sebelum itu, Ros semburkan sesuatu di kaki kita. Katanya supaya nyamuk tak gigit! Kita pun tak ingat apa benda yang disemburnya. Yang kita ingat, Ros kata semburan itu bukan ubat nyamuk! Allahu Akbar! Takut betul Ros kalau nyamuk gigit kita.... ahaks!
Bunga Kantan. |
Ros cantas beberapa kuntum bunga kantan. Nanti bawa balik ya Mie, katanya.
Buah Kantan Tua. |
Ini buah kantan yang sudah tua. Warnanya kuning cerah.
Buah Kantan Muda |
Buah kantan muda, warnanya merah jambu.
Bunga Kunyit. |
Kita leka melihat pelbagai jenis herba yang ditanam di sekitar rumah Ros. Antaranya pokok ketumbar jawa atau pokok bisuq dalam bahasa Murut. Entah berapa kali kami tanam pokok ketumbar jawa, tapi tak pernah hidup!
Ros cungkil anak-anak ketumbar jawa dan katanya kalau mahu tanam bisuq terus hidup, taburkan saja biji benihnya. Alhamdulillah, ada biji benih yang sudah tua dan Ros letakkan di dalam pasu berisi tanah.
Ros cungkil anak-anak bisuq. |
Kemudian Ros tunjukkan pokok tuhau. Biasanya kami beli jeruk tuhau di Kundasang. Kalau dapat tuhau segar memang rezekilah! Boleh tumis dengan ikan masin campur cili putih.
Anak-anak tuhau ini ada yang tumbuh dekat dengan ibunya, dan ada yang tumbuh jarak-jarak pula.
Ros cungkilkan anak tuhau untuk kami bawa pulang untuk ditanam. Selepas kami makan tengah hari, suami Ros cungkil pula serumpun pokok tuhau dengan tanahnya, dan memotong separuh daripada batangnya. Katanya, rumpun itulah yang akan hidup apabila ditanam nanti. Kami tertawa gelihati. Encik Suami kata: Nampaknya tanah Ranau dibawa pulang ke Lahad Datu.
Pokok Benggali |
Ros tunjukkan lagi sejenis tumbuhan hijau dan suruh kita ambil daunnya dan hidu. Ada aromanya, tapi kita tak dapat hendak jelaskan! Katanya, ini pokok benggali. Boleh dibuat minuman.
Hirisan tuhau. |
Kami masuk semula ke dapur. Aroma ikan bilis goreng singgah di hidung! Sukanya kita dapat belajar sesuatu yang baharu tentang masakan Dusun dan Murut. Suami Ros keturunan Dusun, Ros pula Murut. Kami masak kodop, beritahu ibu saudara dan anak perempuan Ros.
Firdaus yang ada di situ menyampuk: Sedapnya hotdog!
Bukan hotdog dik. Kodop. Anak perempuan Ros membetulkan.
Kodop ialah cendawan sisir atau kulat sisir.
Beginilah cara memasak kodop. Bahan perencahkan hirisan cili putih, hirisan bawang putih dan bawang merah. Ikan bilis yang sudah digoreng dicampurkan kemudian ke dalam masakan ini.
Oh! Harap tidak lupalah nanti sewaktu balik dari Kota Kinabalu, singgah di pekan Kundasang beli bahan-bahan untuk masakan kodop! Berulang-ulang Encik Suami sebut keenakan lauk kodop ini!
Ini antara oleh-oleh untuk kita dari kebun belakang rumah Ros.
Buah Kantan |
Menurut Ros, buah kantan ini boleh dicampur dalam masakan sup. Cuba buat jus campur madu, pesan Ros lagi. Boleh jadi ubat sakit tekak, Ros berikan petua.
Boleh juga dibuat sambal, kata Ros lagi. Kemudian Ros cantas satu bonggol buah kantan. Ros belah buah kantan dan nampaknya isinya. Ros suruh kita rasa. Oh, masam!
Isi buah kantan. |
Isi buah kantan dicungkil. |
Sambal Buah Kantan |
Ros tambahkan hirisan cili padi, bawang putih dan bawang merah, daun ketumbar jawa, perahkan limau kasturi, bubuh garam dan perasa. Gaul.
Sewaktu makan nasi, Firdaus pun makan sambal buah kantan!
Kodop Tumis & the Gang |
Sup Tarap dengan Daging Salai. |
Allah ya Allah!
Nikmat manakah lagi yang ingin aku dustakan?
Pelbagai ilmu pengetahuan diperoleh selama tiga jam berada di rumah Ros!
Pokok Keladi |
Selepas kami makan tengah hari dengan lauk-pauk yang sangat sedap itu, Ros dan suaminya bercerita tentang sayur keladi yang mereka selalu masak dipanggil sup buntoi. Nanti kalau kau datang lagi, aku mahu kasi kau rasa sup buntoi pulak. Ujar Ros bersungguh-sungguh. Ros tunjukkan rumpun keladi yang dikatakan itu.
Ah! Masa sangat cemburu kepada kami. Kira-kira pukul 2 petang, kami terpaksa tinggalkan Ros seisi keluarga untuk sambung perjalanan ke Kota Kinabalu.
Sebelum ini Amie pernah ceritakan kenangan bersama Ros dalam beberapa entri. Kalau sesiapa pernah terbaca, tentu teringat kisah yang Amie tulis dalam Antologi Cerpen Remaja Berkerjaya : Mengurai Impian. Watak utamanya ialah Bunga, dan Amie terinspirasi dari kisah perjuangan Ros untuk keluar dari kepompong hidup di Kampung Silungai di Daerah pensiangan.
Kisah Ros yang Amie abadikan dalam :ANTOLOGI CERPEN REMAJA BERKERJAYA : MENGURAI IMPIAN
Kata Ros, dia sangat terharu sambil tersenyum membaca cerpen Bunga Kampung Silungai. Rasa bangga, rasa gembira tetapi ada rasa sedih juga. Katanya lagi, tak sangka Amie masih ingat semua cerita tentang dirinya. Ya, watak Bunga itu adalah Ros!
Ros:
Tahun 2005, pertama kali aku menjejak kami ke daerah Pensiangan! Banyaknya pengalaman.... kalau boleh ingin rasanya membukukan pengalaman indah dan berharga itu!
Doakan kami terus berhubungan! Dan in syaa Allah, moga ada izinnya untuk Amie mengutip lagi kenangan di Kampung Silungai!
Semoga ukhwah ini terus berpanjangan..seronoknya ada macam2 kat rumah kawan kak amie...
BalasPadamBiasa nampak bunga kantan tapi tak pernah jumpa buah kantan.
BalasPadamSuka tengok kawasan rumah kawan cikgu. Tenang dan sejuk je.
Allahu bestnya baca. Seronok laman ditanam macam-macam dan dipanjangkan rezeki pada kawan-kawan. Semoga persahabatan kalian berdua kekal sampai bila-bila.
BalasPadamBagusnya idea tanam bunga ikut nama lorong..Kalau saya,saya nak pilih lorong Bunga Ros Jepun @ kami panggil Bunga Kembang Pukul 10..hihihi
BalasPadamSeronoknya dapat ilmu dan rasa masakan rare macam tu..Nak bertamu jugak lah ke rumah Ros🤭
Selama ni sy tak terfikir pokok kantan ni berbuah sebab biasa bunganya sahaja yg menjadi pujaan. Seronok agaknya tinggal di Ranau, dalam suhu sejuk. Yang saya terbayang Tombiruo, hehehhe.
BalasPadamBerbunga-bunga hati kita baca cerita dua sahabat..
BalasPadamMenarik idea nama jalan tu. Nampak bunga telang sepanjang jalan rumah orang dah tahu jalan talang. Cantiknya suasana rumahnya. Ada kitchen open air memang seronok berlatarbelakangkan permandangan cantik dan ada kebun herba. Macam macam herba ada. Seronok masak ni. Nak masak apa ambil je dari kebun. Semua fresh fresh. Baik hati kak Ros bagi macam macam untuk dibawa pulang. Betullah tu tanah Ranau dibawa pulang ke Lahad Datu.Hehe...Alhamdulillah..rezeki mengenali mereka yang baik hati. Tambah lagi kenangan tu dibukukan.
BalasPadamwahh mcm-mcm ada di kebun Ros ya. suka tgk persahabatan kak amie..
BalasPadam