Pages

Selasa, 30 Ogos 2022

Pucuk Betik Tumis Pedas

Bismillahirrahmanirrahim.
Berhenti rehat seketika (sedang menyiapkan kerja hakiki secara online)  untuk masuk dapur maya.
Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-65 tahun! Moga negara kita bertambah makmur dan sebagai penghuni majmuk, sudah tentu kita mengharapkan perpaduan akan terus berkekalan sesuai dengan tema Keluarga Malaysia Teguh Bersama.

Sekarang ada kesempatan untuk kongsikan menu hidangan makan tengahari merangkap makan malam kami. Seperti biasa, Amie masak lauk-pauk kampung. Kali ini Amie panggang ikan kitang, tumis pucuk betik dan renih sup ceker bersama labu kundur dan kurma merah. 


Hidangan Tengah Hari / Malam.


Ikan Kitang Panggang

Pucuk Betik Tumis Pedas

Dua minggu lepas Amie kongsikan entri Dari Warung ke Warung tentang sayur daun betik. Waktu itu tak puas makan sebab tuan kedai makan letak seco'et saja. Nak minta tambah segan pula. Jadi petang tadi kita masaklah sendiri. Barulah puas makan dan puas hati sebab dapat kekalkan warna hijau daun betik. Nanti kita kongsikan resipinya di bawah.

Sup Ceker @ Kaki Ayam dengan Labu Kundur & Kurma Merah.

Kita renih sup ceker @ kaki ayam dengan labu kundur dan buah kurma merah. Seperti biasa, hanya tambahkan bawang besar, bawang putih dan halia. Rebus sehingga mendidih dan biarkan sepuluh minit, kemudian perlahankan api dan tutup periuk. Masaklah sehingga kaki ayam empuk. Sewaktu merenih sup, aromanya aduhai! Tak sabar hendak hirup kuahnya yang sedap itu.


Semua maklum, pucuk betik, bunga betik dan daun betik pahit rasanya. Yang manis sudah tentulah buah betik. Itu pun kalau sudah masak. Untuk mengurangkan rasa pahit pucuk betik, macam-macamlah caranya. Waktu remaja, Amie pernah makan pucuk betik yang langsung tidak rasa pahit. Caranya ialah rebus dengan menggunakan air tanah liat. Maksudnya, larutkan tanah liat ke dalam air dan kemudian tapis. Selepas itu gunakan untuk rebus pucuk betik. Hasilnya, pucuk betik dijamin tidak pahit langsung!
Ada cara lain untuk kurangkan rasa pahit seperti tambahkan daun senduduk. tambahkan asam keping dan sebagainya.
Amie hiris-hiris daun betik dan kemudian ramas dengan satu sudu besar garam sehingga daun betik menjadi layu dan basah. Amie tidak ramas bunga dan batang pucuk betik. Kemudian didihkan air dan masukkan daun betik bersama batang dan bunganya sekali. Setelah batang menjadi lembut, angkat semuanya dan cuci. Perah airnya. Bolehlah ditumis. Rasa pahit masih ada tetapi yang pahit itulah ubat. Encik Suami sangat suka masakan begini.

Bahan-bahan:
  • pucuk betik termasuk daun muda dan bunga (jika ada) secukupnya - hiris daun muda - ramas dengan garam - rebus - toskan - cuci - perah airnya
  • segenggam ikan bilis
  • 3 ulas bawang putih
  • 5 biji bawang merah
  • 15 tangkai cili padi - boleh tambah / kurangkan ikut kepedasan yang diingini
  • 3 sudu besar minyak
  • garam / perasa pilihan
Cara memasak:
  1. Panaskan minyak.
  2. Goreng ikan bilis seketika (tidak sampai garing) - tolak ke tepi kuali.
  3. Masukkan bawang putih, bawang merah dan cili padi. Goreng sehingga layu dan kemudian gaul bersama ikan bilis.
  4. Masukkan daun / pucuk betik.
  5. Taburkan garam / perasa pilihan.
  6. Gaul rata.
  7. Padamkan api dapur.


Ikan Kitang Panggang ini kita temankan dengan budu.


Sekian untuk kali ini.



8 ulasan:

  1. ya Alloh kelihatan enak enak semua.. mbul langsung kebayang sayur labu ceker seger banget ada kurmanya pula dan yang sayur hijau alamak ku kemlecer pengen icip kak amie hihihi

    BalasPadam
  2. Sedapnya sayur pucuk betik...Tadi baca lates entri nampak di bawah kibaran Jalur Gemilang @ Kampung Cocos...ada banyak pucuk betik.Geram tengok

    BalasPadam
  3. Grayson Home is a top home Eurostyle Cabinets Store with many options for the modern household. They offer Euro-style desks in different colors and sizes, along with other styles of furniture such as cabinets and shelving.

    BalasPadam
  4. If you're looking for the best in Interlude Home Furniture, then Grayson Luxury is your destination. We are based in world renowned Beverly Hills and have access to an unprecedented selection of the most desired home brands in the world.

    BalasPadam
  5. Kak Amie, labu kundur tu boleh gantikan dgn labu air ke? Nampak sedap, teringin nak cuba.

    BalasPadam
  6. terima kasih berkongsi petua kak Amie

    BalasPadam
  7. tak pernah jumpa ikan tu.. nampak mcm bawal tp bukan

    BalasPadam