Pages

Ahad, 28 Ogos 2022

Ikan Kandaman Panggang & Manuk Ballahan Lahad

Bismillahirrahmanirrahim.
Esok hari Isnin. Eh, sudah terbayang hari esok pula. Jangan ber'monday blues sudahlah... ahaks! Sepanjang cuti dua hari, Sabtudan Ahad memang kami pulun siapkan tugas hakiki yang dibawa pulang ke rumah. Alhamdulillah, siap juga akhirnya. Jadi malam ini bolehlah tidur lena.

Petang tadi sebab jalan-jalan keluarkan peluh di Taman Bandar Lahad Datu. Kami tiga beranak sama-sama mengelilingi taman rekreasi. Encik Suami dapat 8 pusingan. Amie 7 pusingan. Firdaus 6 pusingan. Budak satu itu sempat singgah beli dan makan aiskrim! Kiranya Amie hanya dapat jalan-jalan sejauh 4.2 kilometer sahaja. Tak apalah, yang penting dapat keluarkan peluh.

Kita cerita tentang hidangan makan tengah hari pada hari minggu. Hari ini Amie kongsikan masakan masyarakat Bajau iaitu Manuk Ballahan Lahad. Istimewanya, ada Ikan Kandaman Panggang. Tambah lagi, ulam latok dan juga acar peria campur mangga muda>

Hidangan Makan Tengah Hari.

 
Ikan Kandaman.

Pagi tadi Amie kongsikan gambar ikan kandaman. Ikan ini bersisik keras dan agak sukar untuk disiang. Biasanya dipanggang atau dibakar bersama sisiknya sekali. Amie panggang tanpa menggunakan minyak, dan lapik kuali dengan daun pisang. Jadi, ikan tidak hangus. Satu lagi, Amie tidak lumur garam atau serbuk kunyit. Apabila mata ikan bertukar warna putih dan terbeliak, maknanya isi ikan panggang sudah masak. Kami suka isi ikan yang masih berjus, jadi tidak perlu panggang sampai garing.

Ikan Kandaman Panggang.


Amie masak Manuk Ballahan Lahad, sejenis masakan tradisional masyarakat Bajau juga. Resipinya Amie perolehi daripada Puan Hajjah Al Maidah. Beliau merupakan rakan sekerja tetapi sudah pencen awal. Resipi Manuk Ballahan Lahad atau Ayam Masak Kampung ini Amie pernah kongsikan di sini: MANUK BALLAHAN LAHAD (AYAM MASAK KAMPUNG).

Ketika menumis bahan perencah Manuk Ballahan Lahad, aroma yang terbit sangatlah menggoda selera! Apabila ditambah hirisan labu kundur, bertambahlah semerbaknya! Terima kasih untuk yang kesekian kalinya buat Hajjah Al Maidah yang sudi kongsi resipi ini.

Manuk Ballahan Lahad @ Ayam Masak Kampung

Bahan-bahan:
  • 500 gram daging ayam - potong ikut citarasa
  • 400 gram labu kundur - kupas kulit dan potong dadu
  • 1 batang serai - dititik
  • 1 liter air
  • garam / gula / perasa pilihan
  • 3 sudu besar minyak
Bahan tumbuk:
  • 3 ulas bawang putih
  • 5 biji bawang merah
  • 3 cm kunyit hidup
  • 3 cm halia
  • 20 biji cili padi
Cara memasak:
  1. Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk serta serai hingga wangi.
  2. Masukkan daging ayam dan kacau rata.
  3. Setelah daging ayam layu dan berubah warna, tambahkan air. Biarkan hingga kuah mendidih.
  4. Masukkan labu kundur, dan masak sehingga ayam menjadi empuk.
  5. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
Acar Peria dengan Mangga Muda


Jemput makan!


Amie sediakan sambal pencecah Ikan Kandangan Panggang. Sambal ini juga sangat sedap dinikmati bersama latok! Pertama kali makan sambal di Semporna, terus jatuh cinta sehingga minta tiga kali tambah! Di sinilah ceritanya: MASAKAN TRADISI BAJAU SEMPORNA. Walaupun kita tidak tahu resipinya, tapi kita buat eksperimen berdasarkan 'rasa' nya. Akhirnya berjaya juga kita buat sambal sendiri.

Inilah sambalnya. Sambal yang dihidangkan di Semporna nampak halus, tapi kita kisar kasar sedikit.


Kita kisar cili merah dengan cili padi, tambahkan bawang merah, tomato, perahkan jus limau kasturi dan perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan. Entah kenapa, sedap sangat rasanya!

Dan sudah tentulah sambal akan licin apabila ratah latok, cecah tak tahu berhenti!

Latok @ Rumpai Laut @ Anggur Laut


Sekian, cerita di hari minggu.
Jumpa lagi.


7 ulasan:

  1. Nampak menyelerakan semuanya
    Selamat menjamu selera

    BalasPadam
  2. Ikan itu jarang di temui kalo di JKT. Ada, tapi kebanyakan dijual Ama restoran seafood, dan lumayan mahal 😄. Tapi saya suka rasa dagingnya.

    Penasaran sangat dengan anggur laut. Temen saya pernah cerita rasanya ada bau2 amis dikit, tapi enak. Krn saya blm coba, jadi tak bisa bilang dulu. Tapi memanglah, kalo ketemu anggur laut di sini, pasti saya nak Cuba 😄

    BalasPadam
  3. Letak bawang merah mentah pada sambal ya?
    Bahaya ketagih sambal. Hehe.

    BalasPadam
  4. Tertarik dengan ikan kandaman ni.. merah menyala.

    BalasPadam
  5. Nampak menggoda masakan kak Amie, lagi pulak dihidang cantik gitu dalam dulang.

    Bukan main merah warna ikan Kandaman tu.

    BalasPadam
  6. besarnya mata ikan tu kak oi, dahla besar sisik dia pulak merah menyala tuh

    BalasPadam
  7. Nampak sedap ikan tu..semua makanan sedap tapi mata tertancap pada pinggan2 klasik tu...cantik la..best kalau ada koleksi sendiri

    BalasPadam