Pages

Selasa, 21 Jun 2022

Tanjung Aru - Terminal Feri Menumbok - Labuan

Bismillahirrahmanirrahim.
Pada mulanya hanya hendak berus gigi, cuci muka dan ambil wudhu' sahaja sebelum meneruskan perjalanan pada pukul 3 pagi ke Menumbok. Encik Suami kata, eloklah mandi supaya rasa segar. Kita pun suruh Firdaus sekali mandi. Mas sekeluarga sudah menunggu kami seawal pukul 2:45 pagi di dalam keretanya. Sewaktu kami bersiap, memang terdengar suara Izzuddin dan langkah kaki mereka turun ke tempat letak kereta, sebab bilik kami bersebelahan sahaja.

Tepat pukul 3 pagi, kami meninggalkan Seapark Condotel. Mas kata suaminya tidak pernah memandu ke Menumbok, jadi mereka mengekor kereta kami. Perjalanan sejauh 145 kilometer dijadualkan selama lebih kurang 2 jam 15 minit, mengikut kelajuan kereta yang Encik Suami pandu. Maklum sahajalah, memandu dalam suasana gelap dan jalan raya yang tidak berapa mesra alam dan mesra dengan kami, jadi eloklah berhati-hati. Di sana-sini kerja-kerja menurap jalan (projek lebuhraya) sedang dijalankan. Banyaklah lencongan perlu dilalui.

Perancangan awalnya, sebaik sahaja meletakkan kereta di petak khas di jeti feri, kami hendak tunaikan solat subuh d masjid. Oleh kerana feri akan bertolak pukul 7 pagi, jadi kami masih mempunyai masa di antara waktu ketibaan lebih kurang pukul 5:15 pagi sehingga ke pukul 6 untuk solat.

Hendak dijadikan cerita, ketika di persimpangan jalan menuju ke terminal feri, Encik Suami terus ke depan. Pak WAZE beritahu perlu patah balik buat u-turn. Dua tiga kali Encik Suami berpusing-pusing di jalan yang sama, dan akhirnya Mas telefon. Ya, kami sedar kami sudah salah jalan. Pada mulanya Mas sangka kami cari masjid, tetapi apabila dilihatnya kereta berulang-alik di jalan yang sama, Mas syak kami tak nampak signboard arah Terminal Jeti Feri Menumbok! Maklumlah, dalam keadaan masih gelap, signboard pula tertutup sedikit oleh daun!

Alhamdulillah! Akhirnya kami sampai juga ke Terminal Jeti Feri Menumbok. Semua kaunter masih bertutup! Hendak solat di surau, masih berkunci! Setelah meletakkan kereta, kami mencari kawasan yang rata untuk bentang sejadah. Alhamdulillah, air wudhu' belum terbatal. Kami bawa air dalam botol, jadi sesiapa yang sudah terbatal wudhu' bolehlah gunakan air tersebut untuk berwudhu' semula. Dalam keadaan yang masih gelap, dan samar-samar lampu jalan, solatlah kami secara berjemaah.

Selesai solat, barulah kami perasan! Tanah rata tempat kami bentang sejadah rupanya terletak betul-betul di hadapan tokong!

"Niat kita hendak sembah Allah," kata Mas.
"Bukan kita solat di dalamnya," katanya lagi.

Wajah ceria Firdaus di pagi hari. Ini merupakan kali ketiga Firdaus naik feri ke Labuan. Kali pertama ketika usianya 2 bulan. Firdaus ikut hantar Abang Farid ke Kolej Matrikulasi pada tahun 2013. Kali kedua, sewaktu mengunjungi Fuad di Kolej Matrikulasi juga pada tahun 2016.


Feri Goodwill Star sudah berada di jeti.


Kami beli tiket secara online untuk membawa kenderaan. Bayaran yang dikenakan mengikut jenis kenderaan. Semakin besar saiz kenderaan, semakin banyaklah jumlah yang dikenakan. Sebelum kenderaan dipindahkan ke dalam feri, cukai perlu dijelaskan di kaunter.


Kenderaan mula memasuki feri mengikut tempat dan saiz.


Matahari belum bersinar sepenuhnya.
Ketika ini jam sudah menunjukkan pukul 6:30 pagi.


Firdaus dan Izzuddin tidak boleh duduk diam di dalam feri! Maklumlah sesekali berada di tempat yang berbeza, sudah tentu mereka berasa teruja.


Setelah merengek-rengek berkali-kali dengan kita, akhirnya Firdaus dapat juga bersarapan dengan mi segera yang dijual di dalam feri!

Macam sedap sangat mi segera tu...ahaks!


Lebih kurang 2 jam dalam pelayaran, feri pun mula menghampiri Pulau Labuan.



Pukul 8:58 minit pagi, feri yang kami naiki tiba di jeti.


Kami pun bersedia untuk turun ke bawah, masuk ke kenderaan masing-masing untuk menjejak tanah Labuan.

Ketika ini masih teringat-ingat peristiwa solat subuh di Menumbok! Ampunkan kami ya Allah. Amie tanya seorang kawan, iaitu guru agama. Katanya, jika tidak sengaja tidak mengapa dan tidak berdosa.  Teringat pula peristiwa Gang Bas Sekolah (ketika ini dalam perjalanan ke Sipitang) solat di sebuah masjid di Tambunan (ketika kami sama-sama kembara pada 2020). Setelah selesai solat, barulah disedari menghadap arah yang lain, dan bukannya arah qiblat! 

Sesungguhnya banyak ibrah dan pengajaran dapat dikutip dalam tempoh permusafiran. Oleh kerana tidak yakin dan masih was-was, kami solat semula. Semoga mendapat pengampunan daripada-Nya. Astaghfirullahalaziimm!

8 ulasan:

  1. Waze memang selalu buat confuse kan hehe

    BalasPadam
  2. Aduhai, tidak sengaja tapi memang akan tetap rasa bersalah. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Allah swt pastinya tahu niat kita, Kak Amie.

    Daus, buat aunty tergelak seorang la.

    BalasPadam
  3. wah x pernah lagi jejak Labuan... x sabar nak baca kisah kak amie di Labuan

    BalasPadam
  4. Saya pernah naik feri bawa kenderaan dari Labuan ke Menumbuk. Mengimbau betul apabila baca Puan Amie hendak ke Labuan. Hendak tengok gambar-gambar terkini bangunan Labuan!

    BalasPadam
  5. Takpe Amie, tak nampak kan, waktu nak solat tu.
    Bestnya naik feri, pergi Labuan.

    BalasPadam
  6. Antara yang saya teringin nak buat inilah - naik feri ke Labuan.

    Kelakar juga kisah solat jemaah di depan tokong tu 😅. Apa2 yang tak sengaja, bukanlah satu kesalahan.

    BalasPadam
  7. Allahu...Allah maha pengampun,in sha Allah akan jadi peringatan juga untuk kita semua.

    Sedap makan mee segera dalam feri..dalam flight dan ketika berkhemah...sedapnya lain macam kan Daus..hihihi

    BalasPadam
  8. Firdaus tu seronok makan sebab ada geng. Hehe. Semoga Allah terima ibadat kalian dan diampunkan dosa. Gelap kan, manalah nak nampak

    BalasPadam