Pages

Selasa, 12 April 2022

Cerita di Kedai Mamak Z

Petang tadi kita goreng mi, Encik Suami siapkan satu jug jus tembikai. Itulah juadah berbuka puasa kami. Selalunya Encik Suami beli murtabak dan dua jenis kuih, tetapi tidak untuk hari ini. Kita pula, konon hendak masak asam pedas ikan senangin, tetapi sudah siap siang ikan, kita masukkan semula ke dalam freezer. Tidak jadilah buka puasa dengan nasi. Selepas solat terawih, Encik Suami ajak keluar minum. Katanya kalau pergi ke Restoran  Mamak X dan Y, penuh sesak dengan pelanggan yang baru balik terawih. Jadi kami pun pergilah ke restoran Mamak Z pula. Setibanya di Restoran Z, setiap penjuru dipenuhi dengan orang berkopiah yang baru balik dari solat terawih. Kami masuk jugalah. Hampir sepuluh minit duduk, dan lebih lima kali Encik Suami melambai tangan ke arah pelayan restoran, tapi tak seorang pun menghampiri kami. Masing-masing sibuk melayan pelanggan.

Akhirnya Encik Suami memanggil pekerja di kaunter. Pekerja kaunter datang ke meja kami, dan setelah Encik Suami terangkan tidak ada pekerja yang datang ke meja kami, pekerja kaunter tadi pun terus memanggil seorang pelayan restoran yang lalu di depannya.

Kami memesan:

  • Tosei
  • Roti Tisu
  • Roti Telur
  • Milo Ais
  • Lemon Panas Tanpa Gula
  • Teh Tarik


Makanan yang pertama tiba di meja ialah tosei. Amie punyalah itu. Biasanya kalau makan di sini, tosei masih panas tapi kali ini sejuk dan lembik pula. Kita tak banyak songel, makan sajalah walau pun chutney kelapanya tawar tapi kita bersangka baik, mungkin disebabkan puasa, tukang masak pun tak dapat nak agak tawar masinnya.


Encik Suami pula, diletakkan di hadapannya teh lemon dan ada gula pasir di dasar gelas. Kata Encik Suami, lain yang diminta lain yang dihantar. Mungkin melihat pelayan restoran sibuk, jadi Encik Suami tidaklah minta ganti minumannya.

Tidak lama kemudian pelayan restoran datang ke meja kami dan memberitahu roti tisu tidak ada. Oleh kerana Firdaus yang hendak makan roti tisu, jadi kami minta Firdaus minta makanan lain. Firdaus minta nasi goreng pataya tetapi kata pelayan tadi tidak ada nasi goreng pataya. Yang ada ada nasi goreng seafood. Jadi Firdaus pun setuju makan nasi goreng seafood.


Kita makan tosei dahulu sambil menanti teh tarik. Setelah habis makan tosei, teh tarik tak sampai juga.


Firdaus sabar menunggu nasi goreng seafoodnya. Encik Suami mula merungut-rungut. Katanya, datang ambil pesanan pelanggan dengan telinga, bukannya dicatat. Manalah nak ingat semua? Kita malas nak menyahut. Biasanya elok sahaja layanan restoran ini setiap kali kami datang makan di sini.


Nasi goreng seafood sampai ke meja. Bertutup dengan telur pula nasi goreng seafood ini. Firdaus pun baca doa makan.


Sementara Firdaus makan nasi goreng seafoodnya, Encik Suami terus membebel. Roti telurnya tidak sampai-sampai lagi setelah lebih 45 minit menunggu! Encik Suami lambai pelayan restoran yang mengambil pesanan dari meja kami. Apabila pelayan restoran tiba di meja, Encik Suami tanya mana roti telurnya dan mana minuman [Encik Suami tunjuk ke arah kita]. Boleh pula pelayan restoran itu tanya kita : Nak minum apa? Kita terus jawab: Bagilah air suam.

Tak elok bulan puasa nak marah-marah orang, kata Encik Suami. Kata-kata itu dia tujukan kepada dirinya sendiri. Walau pun tak marah-marah, roti telur tak sampai juga. 


Setelah Firdaus selesai makan, Encik Suami bergerak ke kaunter untuk membuat pembayaran. Ketika itu roti telur dibawa ke meja. Encik Suami minta pelayan restoran bungkuskan saja roti telur. Satu jam menunggu roti telur!

Firdaus tidak menghabiskan nasi goreng seafoodnya. Minuman milo ais pun masih berbaki 3/4 gelas. Ketika itu Amie baru perasan ada seorang kanak-kanak perempuan memandang kami makan. Amie tanya: Kamu laparkah? Kanak-kanak perempuan itu mengganggukkan kepalanya.


Amie suapkan lebihan nasi goreng seafood Firdaus ke mulut kanak-kanak perempuan tadi.  Pada masa yang sama Encik Suami kembali ke meja setelah membuat pembayaran di kaunter. Amie minta Encik Suami tunggu beberapa minit lagi. 

Amie tanya kanak-kanak perempuan tadi: Kamu sudah kenyangkah?
Kanak-kanak itu anggukkan kepala. Kemudian Amie hulurkan gelas milo ais dan kanak-kanak tadi menyedut hingga habis.


Di dalam kereta, Firdaus bertanya dari tempat duduknya di belakang:
Siapa budak perempuan itu?
Di mana ibu ayahnya?
Di mana tempat tinggalnya?
Kenapa Mommy suap dia makan?

Kita jawab:
Budak perempuan itu hidup di jalanan.
Tidak tahu di mana ayah ibunya dan tempat tinggalnya.
Mommy suap dia sebab dia lapar. Daus rasa kesian tak?

Iya. Daus kesian. 

Daus kena banyak bersyukur sebab ada Mommy dan Baba. Ada tempat tinggal. Tidak perlu meminta-minta di jalanan untuk isi perut yang lapar.

Iya Mommy. Sayang Mommy.
Firdaus hulurkan kepalanya dan terus cium pipi kita.

14 ulasan:

  1. Allahu Akbar! Tersentak hati kita, Kak Amie. Kita cuma diuji dengan makanan yang tak ditunggu satu jam, tapi entah berapa lama budak itu menahan kelaparan 😓

    Nampak nasi goreng Daus, rupa nasi goreng pataya.

    BalasPadam
  2. Masya Allah..sebak saya tengok budaknya kak..moga Allah murahkan lagi rezeki kak Amie sekeluarga.. mungkin Allah jadikan akak sekeluarga menunggu lama kerana ada yang lain akan datang dan memerlukan...hikmah di sebalik kejadian..

    BalasPadam
  3. Kena banyak bersabar kalau kedai mamak ramai orang. Itulah tu, dia tak tulis. Mana nak ingat. Lama betul menunggu air dan makanan pun. Menguji kesabaran. Bagus masih bersabar dan tak banyak bunyi. Alhamdulillah dapat berkongsi rezeki. Kesiannya anak jalanan entah mana tinggalnya dan tak terjaga makan minum. Bagus Firdaus faham. Sweet dia kiss mommy terus.

    BalasPadam
  4. Semoga dipermudahkan urusan adik tu... kesian.. sebak tgk... lucu pulak tgk gambar firdaus tadah tgn baca doa... mcm bersemangat je dia nk mkn tu

    BalasPadam
  5. allahu...sedih plak baca part anak perempuan tu..kesiannya..bergenang air mata...selalu nampak orang tua je kat depan kedai mamak ni..biasanya Kena halau dengan pekedai..tapi selalunya SA marah pekedai tu..jangan halau..dia lapar tu..takpe bagi je dia makan saya bayarkan...

    BalasPadam
  6. Allahu..
    (فَبِأَيِّ آَلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ)

    BalasPadam
  7. Sedih pulak penutup entry kak Amie ni. Harap nasib budak tu terbela. Kasihan juga suami kak Amie tunggu sampai sejam, tapi tulah kalau lepas terawih memang meriah kedai mamak

    BalasPadam
  8. Samalah, kadang tengok waiter sibuk sangat, malas nak panggil lagi.

    BalasPadam
  9. kesian anak kecil tu moga Allah limpahkan rezki kehidupannya

    BalasPadam
  10. Sebaknya lihat anak kecil tu... kesiannya. Kita perlu muhasabah diri, perlu banyak bersyukur dengan apa yang kita punyai sekarang.

    BalasPadam
  11. Jarang kedai mamak lambat ambil pesanan.. biasa baru duduk je pelayan dah tanya sampaikan kita pula minta tunggu sekejap untuk pilih menu.

    Allahu.. ada juga budak jalanan di sana kak.. kasihannya. sebak.

    BalasPadam
  12. lamanyaaa tunggu roti telur. jarang resto mamak lambat dpt order


    alahai kak... psl bdk lapar tu terus teringat anak2 pendatang kt semporna... mmg kesian dan x terurus. tp dia seorg je ke tu kak? bahayanya...

    BalasPadam
  13. Kesian tgk budak tu.. nampak berselera makan. Semoga dimurahkan rezeki akak

    BalasPadam
  14. MasyaAllah.. Bila baca perenggan akhir kak Amie, sebak terus jadinya..

    BalasPadam