Pages

Rabu, 20 Januari 2021

Singgang Ikan Tudung Periuk @ Telinga Gajah

Suhu dingin hingga ke petang, alangkah enaknya dapat hirup kuah singgang ikan! Teringat Bonda suka masak singgang bubuh daun kunyit untuk tambah aroma masakan. Waktu makan, Bonda hirup kuah singgang dari pinggan nasi. Orang dulu-dulu, begitulah gaya makannya. Hirup kuah dari pinggan makan. Hirup minuman panas dari alas cawan... eh! Masih adakah lagi orang sekarang minum begitu.... ahaks!

Menjelang petang, siapkan hidangan ringkas untuk makan engahari merangkap makan malam keluarga. Kelmarin Encik Suami beli dua ekor ikan buna, siap dibersihkan dan dipotong-potong oleh penjual ikan. Hari ini Amie masak seekor. bahagian kepala dan ekor Amie masak singgang. Isi ikan Amie goreng garam kunyit. Goreng ikan pun tidak garing, sebab nak jaga keenakan isinya yang lembut itu. Kalau ikan begini Abang Farid pun ikut makan. Jadi tak perlulah masak ayam. Ikan buna, nama tempatan. Nama lain bagi ikan ini ialah ikan tudung periuk dan  ikan ikan telinga gajah. 
Amie selalu kongsikan gambar ikan ini. Bagi yang belum pernah melihatnya, ikan buna @ ikan tudung periuk @ ikan telinga gajah rupa parasnya seperti di bawah ini.

Ada saiz kecil dan ada saiz besar. Kalau beli saiz besar biasanya kami minta penjual ikan bersihkan dan potong-potong. Beratnya pula, ada yang pernah kami beli mencecah 4 kg seekor. Ikan ini sedap digoreng begitu saja, dimasak sambal, masak singgal, masak lemak cili padi san sebagainya. Isinya lembut dan bahagian siripnya berlemak. Lebih besar saiz ikan ini, lebih banyak lemaknya di bahagian tersebut.

Bukan selalu dapat beli ikan ini sebab jarang ada di pasar. Kalau kami jumpa, memang tak fikir dua kali untuk membelinya.
Selain masak singgang ikan tudung periuk dan goreng ikan sebahagian ikan tadi, Amie dadar telur campur kacang panjang. Kalau dihidangkan telur dadar kacang panjang, anak-anak akan makan. Tapi kalau goreng nasi campur kacang panjang, dikuis-kuisnya pula bubuh tepi pinggan! Entah apa-apalah budak-budak ni. Sambal belacan tak tinggal, tapi terlebih tomato pula. Hilanglah rupa belacannya. Itulah hidangan makan kami petang tadi.

Ikan Tudung Periuk @ Telinga Gajah Goreng

Telur Dadar Kacang Panjang

Sambal Belacan 

Hirisan Limau Sunkist & Kiwi

Puaslah dapat hirup kuah singgang ikan. Kalau Bonda suka bubuh tambahan daun kunyit untuk aroma yang menyegarkan, Amie tambahkan beberapa helai daun limau purut. Masukkan di akhir masakan, sekadar untuk dapatkan aromanya sahaja. Kali ini Amie tidak bubuh tomato selepas ikan masak, sebaliknya tomato dimasukkan sekali bersama bahan perencah, dan dapatlah rasa sedikit masam manisnya dalam kuah.


Bahan-bahan:
4 kepingan ikan buna @ tudung periuk @ telinga gajah
1 batang serai - diketuk
2 cm lengkuas - diketuk
2 biji tomato - belah dua
7 biji kacang bendi
3 helai daun limau purut - buang ura belakang - ramas sedikit daun
1 labu bawang besar - mayang kasar
3 ulas bawang putih - diketuk
1 keping asam gelugur
4 cawan air
garam / perasa pilihan

Cara memasak:
1. Dalam sebuah periuk, masukkan semua bahan di atas kecuali ikan, kacang bendi, daun limau purut dan garam / perasa pilihan.
2. Jerang sehingga mendidih.
3. Masukkan ikan dan kacang bendi. Masak lagi selama 5 minit.
4. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.
5. Kemudian masukkan daun limau purut. Biarkan seketika sehingga daun limau purut berubah warna. Kacau sekali dua, dan padamkan api dapur.

7 ulasan:

  1. Hari ni saya belajar ikan buna/ikan tudung periuk/ikan telinga gajah pulak :)
    boleh tahan besar sekor boleh masak macam macam dan sedap. Raja ayam pun suka makan ye.
    Telur dadar kacang panjang nice juga idea tu kak amie :)

    BalasPadam
  2. besar juga ikan telinga gajah mesti mahal tu

    BalasPadam
  3. telur dada kacang panjang tu sedap!!!! atie suka

    BalasPadam
  4. cantiknya gambar gambar makanan. suka tengok teknik ambil gambarnya. kemas

    BalasPadam
  5. Saya belajar ilmu baharu tentang ikan hari ini.
    Terliur tengok singgang tu, kak.

    BalasPadam
  6. Patut pun namanya tudung periuk sbb ikan tu lebar bagaikan tudung periuk

    BalasPadam
  7. Baru terjumpa ikn ni kmarin..2.5kg..tadi Goreng kunyit..esk nk masak kari.. sedap ikn ni..

    BalasPadam