Sewaktu negara sibuk menjalani PKP sehingga Aidil Fitri yang lepas, Fuad hantar mesej dalam WhatsAap keluarga. Ketika itu Fuad masih lagi berada di Johor. Bolehkah Mommy buat ayam panggang rosemary? Lama rasanya tak makan! Amie pun jawab: Boleh! Encik Suami siap belikan seekor ayam bulat dan Amie juga sediakan bahan pemerapnya. Entah bagaimana, setelah Fuad sampai, dari sehari ke sehari, akhirnya terlupa untuk buat ayam panggang rosemary! Fuad pun tidak sebut-sebut lagi. Kebetulan pula, ayam nan seekor terletak jauh di dasar freezer, jadi tak terjangkau oleh pandangan mata ketika mengambil bahan-bahan sejukbeku lain untuk dimasak! Sehinggalah tiba saat Farid belikan Fuad tiket untuk terbang ke Johor. Dan Amie pun teringat permintaan Fuad yang sudah berbulan lamanya dilupakan tanpa sengaja! Korek-korek timbunan bahan di freezer, terjumpalah ayam bulat yang Encik Suami belikan dahulu....! Memang tidak segar seperti ayam baru, tetapi masih elok.
Satu lagi masalah timbul! Sejak Encik Suami angkut sebahagian barang-barang dapur ke dalam stor baru, malaslah pula nak ambil satu-satu barang yang diperlukan untuk memasak. Oven pun turut dipindahkan ke dalam stor. Bila Amie jenguk kedalam stor, rupanya oven diletakkan di atas almari! Huuurrrmmmm! Malas nak cakap banyak. Encik Suami pun tidak ada di rumah ketika itu. Tak jadilah nak panggang ayam. Amie potong ayam menjadi 4 bahagian dan perap kemudian panggang di dalam kuali sahaja!
Selain ayam (masak) panggang rosemary, ada hidangan murtabak juga serta satu jug minuman oren yang disediakan oleh Fairuz.
Malam semalam Fuad menaiki bas menuju ke Tawau, dan bermalam di rumah anak saudara. Petang ini Fuad akan terbang ke KLIA. Firdaus sangat sedih, dan menangis sewaktu melepaskan Fuad pergi. Rumah kembali sepi. Fuad dan kawan-kawannya dikehendaki mengemas barang-barang di asrama, dan kemudian menguruskan pula rumah sewa yang akan diduduki pada Oktober nanti sebaik sahaja sesi pengajian dibuka semula. Katanya, dia ingin bercuti di Seri Iskandar, menemani Abang Farid dan menjadi tukang masak Abang Farid. Dah bosan di rumah Abang Farid, nanti dia akan kembali pulang ke Lahad Datu. Eloklah kalau mahu temankan Abang Farid yang duduk bersendirian di rumah sewanya. Ada masa nanti bolehlah berkunjung ziarah ke rumah Nenda di Jeram, Selangor.
Rindu pula dengan suara anak-anak! Fairuz pula sedang menduduki peperiksaan STPM, Encik Suami akan menjemput Fairuz dan Firdaus dari sekolahnya. Sebentar lagi akan riuhlah Fairuz mengusik dan menyakat Firdaus!
Hai anak! Benarlah... kalian racun dan kalianlah juga penawarnya!
Alhamdulillah sempat juga, mommy buatkan, kalau tak kempunan pula Fuad :)
BalasPadamWah sedapnya masakannya, jadi pengen nih dimasakin juga sama bundaku tercinta.
BalasPadamsedap ayam rosemary nih... masak macamne pun sedap bagi dana kak...
BalasPadamkesiannya firdaus dah lama dengan abang-abangnya... bila sorang balik sunyi lah dia ya...
waahhh sedapnya ayam rosemary tuuuu. kawan-kawan ada kata masak rosemary ni sedap tapi Cik TK tak pernah cuba lagi
BalasPadamTak pernah makan, nampak sedap sangat tu.
BalasPadamAlhamdulillah..sempat jugak buatkan untuk anak, kalau terlepas nanti rasa sesal pulak.
Sedapnya ayam panggang rosemary tu. kira ala ala dipanggang gitu walau kaedahnya di masak dalam kuali :)
BalasPadam