Teringat sewaktu bulan puasa, jiran sebelah rumah, kiri dan kanan selalu hulur juadah berbuka puasa. Seronok rasanya dapat merasa makanan dari kaum lain dengan bertukar-tukar juadah. Ada satu ketika, jiran kami menghulur ikan susu panggang. Ketika itu, Amie belum pernah makan ikan ini. Di sini ikan susu dipanggil ikan bolu. Orang Filipina pula memanggilnya ikan bangos. Di Indonesia pula, ikan ini dikenali dengan nama ikan bandeng. Oleh kerana terpengaruh dengan cakap-cakap kawan di tempat kerja tentang ikan bolu ini, ada yang kata bau tanah, ada yang kata begitu dan begini. Jadi Amie pun biarkan Encik Suami meratah seorang diri ikan susu panggang pemberian jiran kami. Kali kedua, jiran hulur lagi ikan susu bakar. Sama juga. Encik Suami kata, marilah makan. Sedap. Amie diam sahaja.
Kali ketiga!
Jiran hantar lagi ikan susu panggang yang sama dengan ikan susu panggang kali pertama dan kedua, tetapi bukanlah pada bulan puasa. Akhirnya Amie cuba secubit!
Eh! Sedaplah!
Amie terus makan dan Encik Suami biarkan Amie makan sebahagian besar ikan susu panggang itu. Rasa menyesal pula suka dengar cakap orang tentang sedap atau tak sedap sesuatu makanan! Sedap atau tidak itu subjektif sifatnya! Cubalah sendiri dahulu, barulah boleh menilai. Sejak itu, ikan susu menjadi hidangan kegemaran kami sekeluarga. Masaklah apa pun, memang sedap!
Pertama kali makan ikan susu panggang pemberian jiran sebelah rumah rasanya lebih kurang 18 tahun lalu, sebab waktu itu Fairuz masih kecil lagi. Sekarang Fairuz sudah masuk 19 tahun.
Kemudian Amie pun bertanya kepada jiran tadi, bahan yang digunakan untuk memanggang ikan susu. Hari ini Amie kongsikan di sini.
Kelmarin kami beli dua ekor ikan susu yang sudah dibersihkan dan dibuang tulangnya.
Ya, ikan susu memang banyak tulang!
Isinya berlemak terutama pada bahagian perutnya.
Ikan susu banyak tulang halus sama seperti ikan terubuk!
Dengan menggunakan bahan perencah yang jiran kongsikan, ikan susu panggang ini sedap dimakan begitu saja dengan nasi putih.
Amie tambahkan sambal mangga sebagai pelengkap hidangan ikan susu panggang.
Inilah ikan susu @ bolu yang telah dibersihkan dan dibuang tulang besar serta tulang halus.
Kalau kami makan di restoran, ikan susu disalut dengan sambal sebelum dipanggang. Namun begitu, ikan panggang pemberian jiran kami juga yang berkenan di hati... ahaks! Mari kita lihat resipinya di bawah ini.
2 ekor ikan susu @ bolu - bersihkan - belah 2 jangan putus
sedikit minyak
Bahan tumbuk / kisar:
1 sudu besar lada putih
3 ulas bawang putih
2 cm halia
2 cm kunyit hidup
1 batang serai - ambil isinya yang putih
1 sudu kecil pati asam jawa
garam / perasa pilihan
Cara:
1. Lumurkan bahan kisar secara menyeluruh di badan ikan.
2. Renjiskan sedikit minyak pada ikan.
3. Panggang hingga masak.
Lumurkan bahan kisar / tumbuk secara merata, luar dan dalam ikan.
Jika bubuh lebih lada putih tumbuk, rasanya lebih sedap! Memang tak perlu pencecah lagi.
Moga jiran kami sentiasa sihat walafiat.
tk pernh dgr ikan susu...nmpk sedap tu
BalasPadam