Pages

Khamis, 21 Mei 2020

Bubur Lambuk Daging Rusa

Arwah Ayahanda kita lahir di Kampung Baru, Kuala Lumpur, tempat yang terkenal dengan bubur lambuknya ketika menjelangnya bulan Ramadhan. Sewaktu Amie masih kecil,  umur lima enam tahun begitu, teringat pada suatu hari Bonda menziarahi arwah Nenda Fatmah (Bonda kepada Ayahanda kita)  di kampung. Bonda bawa buah tangan berupa bubur lambuk yang disimpan dalam tepen, sejenis mangkuk bertingkat-tingkat yang diperbuat daripada aluminium. Bukan main suka Nenda Fatmah menyambut kedatangan kami. Bonda terus ke dapur dan hidangkan Nenda Fatmah bubur lambuk. Nenda Fatmah kelihatan menikmati bubur lambuk dengan penuh selera sambil berbual dengan Bonda. Amie tidak ingat semua butir bicara arwah nenda Fatmah dengan Bonda, tetapi Amie dapat memahami cara Nenda Fatmah bercakap tentang bagaimana untuk menjadikan bubur lambuk bertambah sedap. Bonda mendengar dengan tekun dan penuh santun menyetujui dan mengiyakan saranan Nenda Fatmah. Ada satu perkara yang Amie masih ingat sehingga sekarang:
Ada cendawan payung. Banyak jumpa di kebun, kata Bonda.
Kenapa tak masukkan dalam bubur? Tanya Nenda Fatmah.
Boleh ke masukkan dalam bubur?
Begini! Jawab Nenda Fatmah sambil menunjukkan ibu jarinya ke atas!
Dan itulah, masih terbayang senyum manis Nenda Fatmah... tanpa gigi!
Kalaulah waktu itu fikiran Amie sudah matang, sudah boleh berfikir tentang resipi-resipi warisan, sudah tentu Amie akan 'dokumentasikan' semuanya dalam kepala!


Bubur Lambuk Daging Rusa
 Hari ini kami berbuka puasa dengan Bubur Lambuk Daging Rusa. 

Bubur Lambuk Daging Rusa
Setengah orang suka makan bubur yang hanya pecah nasi sahaja, dan ada yang suka bubur yang nasinya sudah hancur. Agaknya sejak dahulu Bonda masak bubur sehingga beras hancur, jadi sehingga kini Amie suka makan masakan bubur cara begini. Sedap hirup 'kuah'nya yang pekat. Bonda pernah ingatkan, tak bubuh jintan putih pun tak apa, tapi kalau nak bubuh juga, bubuh sikit saja.

Bubur Lambuk Daging Rusa
Bubur Lambuk Daging Rusa sudah siap untuk dinikmati.

Bubur Lambuk Daging Rusa
Sekarang ini banyak maklumat yang boleh didapati hanya melalui hujung jari. Begitu juga dengan bubur lambuk, khususnya Bubur Lambuk Kampung Baru. Anda boleh melihat di you tube atau pun blog. Di FB pun banyak. Antara perkara yang menarik perhatian Amie sudah tentulah identiti Bubur Lambuk Kampung Baru yang masih mengekalkan 7 rempah hingga ke hari ini iaitu:

  1. Kulit kayu manis
  2. Bunga lawang
  3. Buah pelaga
  4. Bunga cengkih
  5. Jintan manis
  6. Halba
  7. Lada hitam

Bubur Lambuk Daging Rusa
Inilah antara rempah 7 yang wajib ada dalam ramuan Bubur Lambuk Kampung Baru. Ada lagi rempah lain yang digunakan, nanti kita bincangkan di bawah.

Bubur Lambuk Daging Rusa
Untuk menghasilkan bubur lambuk yang lazat, minyak sapi diperlukan untuk menumis perencahnya. Menurut Pak Google, pengasas resipi Bubur Lambuk Kampung Baru (1949) bernama Said Benk, seorang warga Pakistan. Resipi ini tidak pernah berubah sejak lebih 60 tahun yang lalu sehingga ke hari ini. Seronok sangat bila setiap kali Ramadhan tiba, dapat menonton dalam berita, orang ramai berbaris mengambil bungkusan bubur lambuk yang diberi secara percuma di Masjik Jamek Kampung Baru. Bayangkan setiap hari petugas di situ memasak 15 periuk besar bubuk lambuk dan menjadikan 3,000 bungkusan untuk diagihkan kepada orang ramai.

Bubur Lambuk Daging Rusa
Wokey!
Kita cerita Bubur Lambuk Daging Rusa dari dapur Amie pula... ahaks! Asas bubur lambuk memang tak lari dari Bubur Lambuk Kampung Baru, cuma bezanya Amie gunakan daging rusa saja. Amie masak bubur hingga hancur.

Bahan-bahan:
1 cawan beras - cuci bersih - toskan
400 gram daging rusa - hiris kecil
250 ml pati santan
1.8 liter air
2 sudu besar udang kering - rendam hingga lembut - tumbuk hingga hancur
1 sudu kecil serbuk ketumbar
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu kecil serbuk jintan putih
1 sudu kecil lada putih - tumbuk
1 sudu kecil lada hitam - tumbuk
3 biji buah keras - tumbuk
2 helai daun pandan - siat dan simpul
2 sudu besar minyak sapi
2 sudu besar minyak masak
garam / perasa pilihan

Bahan hiris halus:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
3 cm halia

Rempah penumis:
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga lawang
1 sudu kecil halba

Bubur Lambuk Daging Rusa
Kalau tak ada daging rusa, biasanya Amie gunakan daging lembu atau daging ayam. Kadang-kadang Amie masak bubur lambuk seafood, dengan menggunakan udang dan sotong.

Bubur Lambuk Daging Rusa
 Penggunaan buah keras bertujuan untuk memekatkan kuah.

Bubur Lambuk Daging Rusa
Kalau rajin, bolehlah sangai terlebih dahulu rempah-rempah seperti jintan manis, jintan putih, ketumbar, lada putih dan lada hitam. Kemudian kisar kering sehingga halus. Aroma rempah sewaktu menumis memang semerbak kalau disangai terlebih dahulu. Amie gunakan serbuk sahaja.

Bubur Lambuk Daging Rusa
Cara memasak:
1. Panaskan minyak sapi dan minyak masak di dalam periuk.
2. Tumis bahan hiris, diikuti dengan rempah penumis, serbuk jintan manis, jintan putih, ketumbar, lada putih, lada hitam, buah keras serta daun pandan. Jika terlalu kering, tambahkan sedikit air.
3. Kemudian masukkan udang kering dan daging rusa.
4. Masak sehingga daging rusa berubah warna dan kelihatan layu.
5. Masukkan beras, dan tuangkan air. Masak dengan api besar sehingga mendidih dan kemudian perlahankan api.
6. Setelah daging empuk dan beras telah hancur lembut, tuangkan santan pekat. Kacau perlahan sehingga bubur mula mendidih. Janganbiarkan mendidih lama, nanti pecah minyak pula.
7. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.
8. Taburkan bawang goreng dan hirisan daun sup. 
9. Kacau sekali dua dan padamkan api dapur.

Bubur Lambuk Daging Rusa
 Inilah rupa Bubur Lambuk Daging Rusa yang sudah sedia untuk dinikmati.

Bubur Lambuk Daging Rusa
 Selain bubur lambuk, Amie masak sedikit nasi dan sempat masak sayur kacang buncis.

Bubur Lambuk Daging Rusa
 Dan goreng ayam salut tepung.

Bubur Lambuk Daging Rusa
Tak lupa, buatkan juga cucur bawang permintaan Firdaus!
Hari ini dia buka puasa dengan bubur lambuk dan cucur bawang saja. Dua mangkuk habis licin bubur lambuk disantapnya!

Bubur Lambuk Daging Rusa
Tukang buat air sakit kepala.
Encik Suami ambil alih buat jus nanas.

Bubur Lambuk Daging Rusa
Sekian.
Cerita Bubur Lambuk Daging Rusa dengan juadah lain untuk berbuka puasa.
Al-Fatihan buat Arwah Ayahandaku dan Arwah Nendaku.

2 ulasan: