Pages

Sabtu, 18 April 2020

Resipi Sedap Asam Pedas Daging Tetel

Assalamualaikum.
Dah siap masak ke untuk hidangan tengahari?
Amie belum angkat periuk, sebab perut masih kenyang makan lempeng pisang pagi tadi. Sekejap lagi memang akan atur langkah ke dapur untuk melaksanakan tugas harian. Sementara itu Amie kongsikan dahulu resipi Asam Pedas Daging Tetel yang Amie masak kelmarin. Resepi asal untuk masakan ini Amie jumpa di FB : Asam Pedas Daging Tetel Melaka. Kalau ada 'Melaka' memang sedap sangatlah asam pedasnya. Terima kasih buat empunya resipi asal di FB : Nimrah Susu Unta HQ.
Daging tetel memang sedap.
Pandai-pandailah pilih bahagian yang lembut. Daging ini biasanya bercampur dengan urat, dengan lemak dan tulang, juga dengan lemak harimau menangis. Orang kata, bahagian lemak harimau menangis inilah yang paling sedap. Hahaaa.... harimau pulak yang menangis! Kenapa? Kata orang tua-tua, bahagian ini letaknya di celah tulang belakang lembu. Memang harimau tak dapat makan sebab bahagian ini tak dapat dicapai oleh mulut atau gigi harimau. Maka, menangislah harimau sebab kempunan tak dapat makan bahagian paling lembut dan paling sedap ini.... ahaks!

resepi asam pedas daging tetel
Apa yang menarik perhatian Amie terhadap resepi ini ialah adanya daun pokok ketumbar dan daun limau purut yang dikisar sekali dengan bahan-bahan perencah yang lain. Oleh kerana Amie tiada simpanan bunga kantan, Amie gantikan dengan daun kesum. Jom kita lihat resipi yang nampaknya menjanjikan kelazatannya ini. Amie ubahsuai bahan mengikut bahan yang ada.

Bahan-bahan:
500 gram daging tetel 
2 biji tomato - potong baji
1 kuntum bunga kantan - Amie gantikan dengan 7 tangkai kesum
700 ml air rebusan daging tetel
250 ml air asam jawa  - Amie gantikan dengan 2 keping asam gelugor
4 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar:
1 pokok ketumbar
4 helai daun limau purut - buang urat belakang 
10 tangkai cili kering
6 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
2.5 cm lengkuas
2.5 cm halia
3 batang serai -hiris 
3 biji buah keras
2 cm belacan

resepi asam pedas daging tetel
Cara memasak:
1. Rebus daging tetel hingga empuk. Toskan. Simpan air rebusan.
2. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar hingga pecah minyak.
3. Masukkan asam keping (atau perahan air asam jawa), air rebusan dan daging tetel.
4. Masak sehingga kuah mendidih dan daging tetal lembut sempurna.
5. Seterusnya masukkan daun limau purut, daun kesum (atau bunga kantan kalau ada) serta tomato.
6. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
7. Renih seketika dengan api sederhana kecil sehingga kuah pekat dan pecah minyak.
8. Padamkan api dapur.

resepi asam pedas daging tetel
Asam Pedas Daging tetal dah siap!

resepi asam pedas daging tetel
Kuah asam pedas daging tetel ini nampak pekat. Rasanya pun sungguh sedap. Memang sedaplah... ahaks!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan