Pages

Sabtu, 25 April 2020

Resipi Ayam Goreng Garam Kunyit Paling Mudah Tapi Sedap!

Bertemu kembali di dapur maya Amie's Little Kitchen.
Hari ini hari kedua kita menjalani ibadah puasa di bulan nan mulia, bulan Ramadhan. Alhamdulillah, kelmarin kita telah melaluinya dengan penuh jaya. Mudah-mudahan amalan kita akan diterima oleh-Nya, dan kita akan seniasa beristiqamah melakukan ibadah dengan niat kerana-Nya semata-mata.

Resipi Ayam Goreng Garam Kunyit Paling Mudah Tapi Sedap!
Kami berbuka puasa dengan hidangan nasi putih, lauk Ayam Goreng Garam Kunyit dan minuman laici kang. Tidak ada juadah lain sebagai iringan seperti bulan puasa tahun-tahun sebelumnya. Alhamdulillah, rezeki Allah memang patut disyukuri. Tanpa adanya pelbagai jenis juadah menjadikan kita lebih bersyukur dan menginsafi di saat PKP seperti ini masih ada hidangan untuk dijamah sebagai alas perut. Namun begitu, tidaklah terasa sebarang kecacatan atau kekurangannya. Rezeki Allah jua, tidaklah perut terlalu kenyang untuk dibawa ketika menunaikan solat terawih. Benarlah, perancangan Allah itu lebih afdhal untuk hamba-Nya. Akhirnya dapat menunaikan solat terawih seisi keluarga secara berjemaah di rumah.
Encik Suami sudah dua hari sakit gigi. Manalah ada klinik pergigian dibuka sepanjang PKP ini. Terpaksalah menahan sakit dengan memakan ubat sahaja. Encik Suami pesan, ssupaya masak nasi lembik sedikit dari biasa. Ini bermakna lauknya juga perlu lembut juga. Amie kukuskan ikan untuknya, dan untuk masakan ayam ini Amie gunakan bahagian dada sahaja, serta memerapnya dengan sedikit serbuk kunyit. Alhamdulillah, dada ayam yang digoreng tidaklah garing atau keras.

Resipi Ayam Goreng Garam Kunyit Paling Mudah Tapi Sedap!
Bahan-bahan:
600 gram dada ayam - potong dadu - gaul dengan serbuk kunyit dan garam - perap 30 minit
3 biji kentang - kupas kulit dan potong dadu - goreng hingga kuning keemasan - ketepikan
5 batang kacang panjang - potong 3 cm
1 labu bawang Holland - hiris kasar
3 ulas bawang putih - hiris
minyak 
garam / gula / perasa pilihan

Cara memasak:
1. Goreng dada ayam hingga masak. Angkat dan toskan.
2  Tinggalkan lebih kurang 4 sudu minyak bekas gorengan ayam dan goreng bawang putih serta bawang besar hingga terbit aroma.
3. Masukkan dada ayam diikuti dengan kacang panjang.
4. Setelah kacang panjang berubah warna, perasakan masakan dengan garam / gula / perasa pilihan. Tak perlu bubuh banyak garam sebab dada ayam sudah diperap dengan garam sebelum digoreng. Gaul rata.
5. Akhir sekali masukkan kentang goreng dan kacau beberapa kali.
6. Padamkan api dapur.

Resipi Ayam Goreng Garam Kunyit Paling Mudah Tapi Sedap!
Jika suka boleh tambahkan lobak merah atau hirisan cili merah supaya nampak meriah.

2 ulasan:

  1. Sedapp... Masukmsayur so makan satu lauk je dah cukup

    BalasPadam
  2. Mamapp,
    betul tu... tambah sambal belacan dengan telur dadar, cukup daha untuk buka puasa sekeluarga.

    BalasPadam