Pages

Khamis, 2 April 2020

Resepi dan Cara Mudah Membuat Ayam Pandan Thai Yang Sangat Sedap!

Assalamualaikum.
Apa khabar semua?
Harap sihat-sihat sahaja di samping keluarga tersayang. Jaga diri, jaga keluarga dan jauhi Covid-19 dengan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan. Nampaknya, kes positif Covid-19 di negara kita tidak kunjung surut. Hari ini sahaja sudah dilaporkan pertambahan 208 kes terbaharu. Jumlah kes keseluruhannya sudah mencecah angka 3,116! Jumlah tertinggi di Asia Tenggara.
Nampaknya negeriku di sanun mengekalkan jumlah angka tertinggi berbanding negeri-negeri lain! 800 bilangan kes kumulatif!
Dan sudah tentunya berita paling menyedihkan ialah tentang jumlah kematian yang juga bertambah dari angka 45 kepada 50! Innalillahiwainnailaihiraajiuunnn! Salam takziah buat semua keluarga mangsa. Moga tabah menerima ujian Allah ini.
Bagaimana dengan perkembangan terkini di seluruh dunia?
Italy mencatat rekod kematian paling tinggi di dunia iaitu sebanyak 14,428 kes daripada 105,792 kes keseluruhan. Seterusnya Sepanyol mencapai 8,189 kematian, diikuti dengan Perancis yang merekodkan 3,523 kematian. Amerika Syarikat pula mencatat 3,440 kematian manakala China yang dikatakan sudah pulih sepernuhnya, tiba-tiba kembali merekodkan kes kematian yang baharu sebanyak 48 kes!
Allahu Akbar!
Kun Fayakun!


Hari ini Amie kongsikan resepi Ayam Pandan Thai. Memang suka meratah makanan begini tapi nak membuatnya itu terpaksa berfikir 11 kali terutama bab menyimpul dan menganyam daun pandannya itu! Orang kata, kalau hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih. Setelah beberapa kali melihat tutorial cara paling mudah Ayam Pandan Thai, tak perlu menganyam dan menyimpul, maka tak bertangguh kita pun memulakan kerja. Boleh klik di sini untuk lebih lanjut: 
Mari kita mulakan dengan pergi ke belakang rumah, ambil daun pandan secukupnya.
Huurrmmm... lidi pencungkil gigi entah ke mana perginya! Nak keluar ke kedai macam tak berbaloi di musin PKP begini. Jadi, gunakan sajalah lidi sate, gunting bagi tajam sedikit hujungnya.


 Ayam Pandan Thai ini memang sedap dimakan begitu sahaja. 

Jom kita lihat bahan-bahan yang diperlukan untuk menyediakan Ayam Pandan Thai seperti di bawah ini. Amie ubahsuai jumlah dan bahan yang digunakan mengikut selera. Amie gunakan bahagian dada ayam sebanyak 1 kg. Buang tulang leher dan kulit, mungkin tinggal 800 gram sahaja isi ayam. Gunakan bahagian lain pun boleh terutama peha, dan tentu lebih sedap sebab agak berlemak pada bahagian itu.

Bahan-bahan:
800 gram dada ayam - potong 4 segi sama - anggaran 3 cm x 1.5 cm
2 sudu besar gula perang
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos ikan
1 sudu besar minyak bijan
1 kiub ayam
1 sudu kecil serbuk kunyit - sepatutnya tak perlu tapi Amie 'termasuk' 

Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
2 cm halia
1 sudu besar ketumbar biji
1/2 sudu kecil lada putih

Bahan lain:
daun pandan secukupnya
lidi pencungkil gigi / lidi sate

Cara penyediaannya:
1. Perap kesemua bahan selama 3 jam.
2. Letakkan dua keping ayam di atas daun pandan, dan gulung sebanyak 5 kali gulungan. 
3. Ambil lidi dan cucuk gulungan daun pandan berisi ayam tadi. Buat sampai habis.

Dah siap!
Tak perlulah ambil banyak masa untuk menyimpul ayam dalam daun pandan.
Semua gulungan daun pandan berisi ayam ini berjumlah 28 gulung.

 4. Didihkan air di dalam periuk pengukus. Seterusnya susun gulungan ayam daun pandan tadi ke dalam periuk pengukus.

 5. Kukus selama 10 minit atau sehingga daging ayam separuh masak.

 Oh!. Aroma wangi daun pandan memang sungguh menggoda ketika ayam sedang dikukus!


 Inilah rupa ayam pandan Thai yang baru dikukus.

 6. Panaskan minyak, dan goreng ayam pandan yang dikukus tadi. Oleh kerana ayam sudah hampir masak, tak perlulah goreng terlalu lama.

 Ini dia, Ayam Pandan Thai yang sudah siap digoreng.

Jom kita tengok isi di dalamnya. Tak sabar nak makan!



Ayam goreng pandan ini juga dikenali dengan nama tempatannya Gar Hor Bai Toey. Biasanya dinikmati dengan sos bijan. Katanya, Gar Hor Bai Toey hanya disajikan di restoran menengah dan mewah disebabkan cara penyediaannya yang unik. Tapi kini, semua orang boleh menikmatinya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan