Assalamualaikum.
Bertemu di pagi Jumaat, moga Allah sentiasa murahkan rezeki dengan melimpahkan berkah-Nya pada hari ini. Mudah-mudahan kita terus mendapat kesejahteraan, kebahagiaan dunia dan akhirat. In shaa Allah.
Jom sarapan mee hoon goreng, tambah dengan telur mata kerbau dan kicap lada. Kicap lada ini nama yang diberikan oleh penduduk tempatan untuk sambal sebagai pelengkap hidangan mee hoon goreng, mee goreng, mee hoon sup, soto dan sebagainya.
Beberapa bahan wajib perlu ada untuk menghasilkan kicap lada termasuklah bawang putih, cili padi dan jus limau kasturi seperti di bawah ini.
Bahan-bahan:
7 ulas bawang putih
20 biji cili padi
7 biji limau kasturi - ambil jusnya
2 sudu besar cuka makan
2 sudu besar gula pasir
2 sudu besar kicap lemak manis
garam / gula / perasa pilihan
Cara:
Campurkan kesemua bahan dan kisar. Biarkan seketika sebelum dinikmati. Kicap lada ini semakin lama semakin enak! Ada juga yang tak bubuh kicap. Itulah yang dinamakan pelbagai versi. Hasilnya ada kicap lada warna hijau, warna merah dan warna gelap kicap!
Sekarang kita masak mee hoon goreng pula. Kali ini Amie goreng mee hoon kosong sahaja, hanya tambah sayur sawi. Perencahnya pula Amie kisarkan bawang putih, bawang merah, udang kering dan cili kering. Amie gorengkan telur mata kerbau. Biasanya telur mata kerbau ini ada dua kuningnya, tapi Amie buat satu mata sahaja. Asal telur mata kerbau ini ialah terjemahan dari bahasa Perancis iaitu Œil de Bœuf yang bermaksud telur mata lembu. Orang kita sebut telur mata kerbau. Maksudnya ialah telur yang digoreng tanpa dipukul terlebih dahulu. Jadi, sama ada dua kuning telur atau satu kuning telur sahaja, tetap dipanggil telur mata. Mata tidak semestinya ada dua... betul tak? Satu atau sebelah mata pun disebut mata.... ahaks!
Bahan-bahan:
1 bungkus mee hoon - rendam dengan air biasa hingga lembut - toskan
1 pokok sayur sawi - potong-potong - pisahkan batang dengan daun
4 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar:
3 tangkai cili kering
3 ulas bawang putih
1/2 labu bawang besar
2 sudu besar udang kering - rendam hingga lembut
Cara memasak:
1. Panaskan minyak.
2. Tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
3. Masukkan batang sayur sawi. Masak hingga layu.
4. Masukkan mee hoon dan daun sayur sawi. Gaul rata.
5. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
6. Gaul sekali lagi dan padamkan api dapur.
Mee Hoon Goreng Telur Mata & Kicap Lada dah siap.
Jom makan!
Bismillah.
Walaupun bihun kosong tp sedap..ada telur mata,ada sambal kicap
BalasPadam