Pages

Selasa, 31 Mac 2020

Resepi Gulai Lemak Perut (Babat) Yang Sedap!

Assalamualaikum.
Hari ini merupakan hari ke-14 PKP, dan kita perlu menjalani 14 hari lagi sehingga 14 April 2020.
Masih terus berdoa mengharapkan keajaiban berlaku, moga Covid-19 segera lenyap untuk selama-lamanya dari muka bumi ini. Hari ini sahaja, bertambah lagi 6 korban Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kepada angka 43 di negara kita! Allahu Akbar. Sebanyak 140 kes baru dilaporkan, dan kini secara rasminya sudah menjadi 2,766 kes positif Covid-19. Kes Covid-19 seluruh dunia melebihi 755,000 angka, dan virus maut ini sudah menular ke 177 buah negara seluruh dunia. Setakat ini, sejumlah 158,000 yang terjangkit virus tersebut telah sembuh.

Kita cerita tentang resepi pula.
Amie kongsikan resepi Gulai Lemak Perut atau Babat. Bahasa orang kampung kami panggil babat. Perut juga dikenali sebagai tuala bagi sesetengah orang. Apa paun sama ada perut, tuala atau babat, ia membawa maksud yang sama. Biasanya kalau Amie beli perut, Amie akan rebus semua sekali hingga lembut, dan kemudian Amie akan bahagikan dalam beberapa buah bekas. Simpan dalam peti sejuk bahagian beku. Kalau nak masak, ambil sahaja satu bekas dan nyahbeku. 
Untuk resepi perut kali ini, Amie masak gulai lemak dengan menambah dua bahan iaitu kundur dan kacang panjang. Melihat setengah biji kundur yang tidak terusik, eloklah Amie olah bersama perut. Gulai lemak perut memang sedap kalau dicampur dengan rebung atau nangka muda. Di tengah-tengah PKP begini, manalah nak cari benda-benda itu semua. Masaklah apa yang ada di depan mata. Kundur pun, kundurlah... ahaks!

Amie rebus dahulu kundur hingga lembut dengan menggunakan 3 cawan air. Apabila air rebusan hanya tinggal separuh, kundur pun sudah lembut, bolehlah masukkan semua bahan kisar, pati santan dan juga perut. Gunakan api perlahan sahaja dan selalu kacau  supaya gulai masak elok. 

Bahan-bahan:
400 gram perut lembu yang sudah direbus hingga empuk / lembut - potong ikut suka
300 gram kundur - kupas kulit - buang biji - potong ikut suka
3 batang kacang panjang - potong serong
1 keping asam gelugor
3 helai daun limau purut - buang urat belakang - ramas
2 batang serai - diketuk
1 biji cili merah - belah 4
1 cawan pati santan
3 cawan air
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
3 tangkai cili kering
15 tangkai cili padi
2 cm kunyit hidup
1 cm halia
3 hiris lengkuas

Cara memasak:
1. Masukkan 3 cawan air ke dalam periuk bersama kundur. Masak dengan api sederhana sehingga kundur lembut.
2. Kemudian masukkan bahan kisar, serai, asam keping, perut dan pati santan.
3. Kacau selalu sehingga kuah mula mendidih.
4. Seterusnya masukkan kacang panjang, daun limau purut dan cili merah.
5. Terus kacau gulai sehinggalah kacang panjang berubah warna.
6. Keluarkan asam keping, dan kemudian masukkan garam / gula / perasa pilihan.
7. Kacau beberapa kali dan kemudian padamkan api dapur.

Jemput makan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan