Pages

Isnin, 17 Jun 2019

Coto Makassar Hidangan Lazat di Aidil Fitri

Assalamualaikum.
Perkongsian resepi sebelum beradu...hiks!
Bila melihat gambar-gambar suasana hari raya, terpandang beberapa keping gambar makanan yang terselit di antara beratus gambar yang lain. Salah satunya ialah hidangan Coto Makassar. Biasalah, dalam keadaan sibuk menyediakan juadah dan melayan tetamu di rumah sendiri, memang tidak ada masa untuk mengambil gambar. 

Salah satu hidangan hari raya di rumah terbuka kami ialah Coto Makassar. Buat pertama kalinya Amie hidangkan menu ini untuk santapan ramai. Amie masak dua kali untuk menu ini. Kali pertama untuk hidangan keluarga sebelah Encik Suami, dan kali kedua untuk hidangan kawan-kawan Amie dan juga tetamu Encik Suami. Pada mulanya teragak-agak juga untuk Amie cadangkan menu ini kepada Encik Suami memandangkan sebelum ini Amie belum pernah menjamu tetamu dengan Coto Makassar. Bagaimanapun, Amie yakinkan diri boleh menyediakan Coto Makassar yang 'boleh diterima' oleh para tetamu. Lagipun, selama ini Amie sudah mencuba rasa Coto Makassar dari pelbagai gerai dan warung serta pelbagai daerah termasuk Lahad Datu, Sandakan, Tawau, dan juga Telupid. Dan Amie juga sudah beberapa kali masak Coto Makassar di dapur sendiri dan pernah belajar daripada pembantu rumah MIL suatu ketika dahulu.

Coto Makassar ini Amie hidangkan bersama pilihan daging, paru dan perut lembu. Tetamu juga boleh memilih untuk campurkan dengan suhun atau pun nasi himpit.

Biasanya Coto Makassar dinikmati bersama buras.

Teragak-agaklah pula nak tempah buras sebelum menjelang rasa, akhirnya tak jadi tempah!

Tanpa buras, Coto Makassar ditambah suhun dan nasi himpit juga tetap sedap!
Apa yang penting ialah kuah coto. Kuah coto yang sedap akan mempengaruhi keseluruhan rasa Coto Makassar!

Minta maaf sebab gambar kurang jelas. Gambar tangkap-tangkap begitu saja asalkan ada. Amie masak kuah dalam kuantiti yang agak banyak, maklumlah tetamu yang datang bukan boleh dikira dengan jari.... heheeeee! Seronok sangat bila keluarga dan sanak saudara datang bertandang hingga lupa segala penat lelah di dapur. Bila dah penat, nak makan pun kurang berselera. Bila melihat gambar Coto Makassar semula, terliur pulak dah...ahaks!
Jom kita lihat resepinya di bawah ini. Boleh juga klik di sini: COTO MAKASSAR untuk resepi Amie yang lepas, dalam kuantiti yang sedikit, sesuai untuk sebuah keluarga. Bagaimanapun, Amie buat penambahbaikan dalam resepi kali ini hasil perbincangan dengan rakan-rakan dan hasil 'merasa' Coto Makassar di pelbagai tempat. Untuk hasil Coto Makassar yang sedap, biasanya air basuhan beras yang ketiga akan digunakan. Kebetulannya Amie akan memasak nasi tomato, jadi separuh dari air untuk merebus bahan Amie gunakan dari air basuhan beras. Selebihnya Amie tambah dengan air biasa. Tambahan kacang tanah kisar akan menambah kelazatan kuah walaupun hanya separuh sahaja air basuhan beras digunakan.

Bahan-bahan:
4 kg perut lembu
1 kg peparu lembu
1 kg daging lembu
5 liter air
4 liter air basuhan beras yang ketiga
5 cm lengkuas - tambah 1/2 cawan air - kisar - tapis / perah - ambil airnya
5 batang serai - ketuk
8 cm halia - kisar
garam / perasa pilihan secukupnya

Cara:
1. Rebus perut, peparu dan daging menggunakan air biasa sehingga mendidih.
2. Buangkan air rebusan dan bilas bahan rebusan.
3. Masukkan bahan rebusan ke dalam periuk dan tambahkan air basuhan beras, air biasa, serai, halia, air lengkuas yang ditapis dan garam / perasa pilihan. 
4. Rebus dengan menggunakan api perlahan sehingga kesemua bahan empuk. Kalau gunakan api kuat nanti air rebusan akan cepat berkurangan. Jika ada pressure cooker, gunakanlah. Amie lebih suka gunakan periuk biasa, tidak memaksa bahan rebusan menjadi empuk dengan segera...hiks!

Kalau tak suka perut, dan organ dalaman,  boleh gunakan daging sahaja. Pengunaan bahan tidak terhad, boleh gunakan urat, gantikan dengan daging ayam dan sebagainya. Bila bahan rebusan dah empuk, keluarkan dari periuk. Air rebusan tu jangan pulak dibuang! Biarkan terus mendidih dengan api perlahan. Bahan rebusan nanti bolehlah dihiris ikut saiz yang disukai.

Sementara itu kita sediakan bahan tumisan pulak seperti di bawah ini.

Bahan kisar:
5 labu bawang besar
15 biji bawang merah
15 ulas bawang putih
4 sudu besar ketumbar biji
1 sudu besar jintan putih 
5 batang serai - ambil isinya yang putih - hiris -hiris
1 sudu besar lada putih
8 biji buah keras
3 sudu besar serbuk rempah sup

Bahan lain:
3/4 cawan  minyak 
1.5 kg kacang tanah tanpa kulit- goreng - kisar halus
hirisan daun sup / bawang
bawang goreng
(Penggunaan kacang tanah tanpa kulit akan menjadikan kuah coto berwarna cerah keputihan, manakala penggunaan kacang tanah berkulit akan menjadikan kuah coto lebih gelap keperangan). Kalau tidak ada kacang tanah tanpa kulit, goreng saja kacang tanah biasa, dan kemudian buang kulitnya sebelum dikisar halus.

Cara memasak:
1. Panaskan minyak. Tumis semua bahan kisar sehingga pecah minyak.
2. Kemudian masukkan bahan tumisan tadi ke dalam periuk berisi air rebusan yang sedang mendidih.
3. Seterusnya masukkan kacang tanah goreng yang dikisar halus.
4. Terus didihkan dengan api perlahan selama 10 minit lagi, dan kemudian tambahkan bahan perasa lagi sekiranya perlu untuk menyempurnakan rasanya.
6. Taburkan segenggam bawang goreng dan segenggam daun sup/ daun bawang. Kacau sekali dua. Tutup periuk dan padamkan api dapur.

Inilah rupa kuah Coto Makassar yang sempat Amie ambil gambar di tengah kesibukan suasana di malam hari ketika sanak saudara berkunjung. Untuk menjaga rasa Coto Makassar akan enak dinikmati, kuah hendaklah sentiasa panas. Jadi, Amie hanya mengambil kuah secukupnya sahaja dari periuk besar dipindahkan ke periuk yang lebih kecil untuk dihidangkan. Jika berkurang atau agak sejuk sedikit, Amie akan panaskan kembali dan hidangkan semula.

Antara bahan pelengkap Coto Makassar yang disediakan selain perut,daging dan peparu, nasi himpit dan suhun, dan lebih sempurna dengan adanya hirisan batang leek, hirisan daun sup, bawang goreng dan limau kasturi. Fairuz ditugaskan untuk memastikan apa-apa bahan yang kurang, dan mengisinya semula. Farid pula membantu mencuci pinggan mangkuk di dapur. Alhamdulillah. Anak-anak bekerjasama membantu meringankan tugas melayan tetamu.

Ada lagi satu bahan yang Amie tidak sempat ambil gambar untuk dikongsikan di sini iaitu sambal untuk Coto Makassar. Boleh nampak jugakan sambal tu di dalam gambar di bawah ini, yang kebetulan Amie sempat bubuh di atasnya heheee...! Sambal Coto Makassar ini diperbuat daripada campuran cili padi, cili merah, taucu dan juga buah keras yang dikisar halus kemudian ditumis hingga terbit minyak, dan diperasakan dengan garam / gula / perasa pilihan. Bagaimanapun, Amie lihat tetamu lebih suka mengambil 'sambal kicap' yang Amie sediakan untuk pelengkap Laksa Asam untuk ditambah dalam mangkuk Coto Makassar!

Walaupun ada hidangan lain yang disediakan termasuk nasi tomato, opor ayam, daging masak hitam dan jelatah tetapi nampaknya para tetamu lebih teruja untuk menikmati Coto Makassar dan Asam Laksa. Begitulah ceritanya. Kita belajar dari pengalaman. Setelah seharian berhari raya dan menjamu selera dengan pelbagai jenis makanan yang berat seperti ketupat, rendang dan lemang serta buras, tetamu jarang mencari 'nasi' di waktu malam, sebaliknya mencari hidangan yang lebih berupa sup atau berkuah!

Sekian.
Selingkar kisah di hari raya.

2 ulasan:

  1. wahhhhh ni pertama kali dana nampak or kenal masakan coto makassar kak...
    rupanya ala2 mcm soto tp bahan sup nya jugak isi2nya mmg sangat lain n mewah...

    teringinnya nk cuba buat...
    sbb ada perut, paru tuh perkkkhhh mmg terbaik lah

    BalasPadam
  2. Coto Makassar is a spicy beef soup served with ketupat (rice cake wrapped in coconut leaf) or buras (ketupat cooked in coconut milk, so it will taste savoury). The coto will be served with less salt, and you can season it with salt, lime, or sour chilli sauce to suit. You have the option of ordering only meat or a combination of meat and organs. Located near Losari beach and surrounded by bars, it may not be suitable for families at night.Online classes are more convenient than traditional classes. Online programmes, on the other hand, have considerable limitations, prompting some students to consider hiring someone to complete an online course for them. As a result, take my online course for me. Was established in order to give a secure website where you may engage an online class specialist to complete my online course for you.

    BalasPadam