Pages

Jumaat, 17 Mei 2019

Tips Mudah Ayam Masak Kicap Jawa Style

Assalamualaikum.
Semoga semuanya sihat dan berbahagia di samping keluarga tercinta.
Alhamdulillah, di samping kita menunaikan ibadat puasa, marilah kita sama-sama berusaha memperbaiki diri sebagaimana benarnya yang dikatakan bahawa puasa mampu mendidik kita untuk sentiasa menuturkan perkataan yang baik. Perkataan yang baik dikira sebagai satu doa. Elakkan diri dari menyakiti hati sesama jiran tetangga dan rakan taulan.Maksud hadis Rasulullah yang berkaitan dengan kenyataan di atas ialah:
"Sesungguhnya seseorang yang berbicara dengan kalimat yang mendatangkan keredhaan Allah dan dia tidak mengira kalimatnya itu mampu mencapai apa yang aku capai, maka Allah akan menetapkan untuknya keredhaan hingga kelak datang hari kiamat. (Riwayat Imam Malik).
Dengan ini, semoga amalan baik kita di bulan puasa akan dapat diteruskan selagi hayat dikandung badan.

Hari ini Encik Suami minta Amie masakkan untuknya Ayam Masak Kicap. Amie teringat, sewaktu MIL dan FIL masih ada, memang selalu makan Ayam Masak Kicap, masakan mengikut gaya mereka dengan tambahan bahan iaitu kentang dan suhun. Apabila Amie cerita dengan Bonda tentang masakan mereka, Bonda kata memang begitulah orang kampung kami masak kicap ayam, tapi itu cara dahulu. Ada suhun di dalamnya. Sekarang sudah sangat jarang ditemui suhun di dalam masakan tersebut. Jadi, kali ini Amie tambahkan suhun di dalam masakan ini. Cara masakannya sama seperti yang kami dan orang kampung selalu masak. Maklumlah, Ayam Masak Kicap ini memang sangat terkenal dalam kalangan kami kerana ia merupakan salah satu masakan untuk dijadikan lauk nasi ambeng, dan juga untuk majlis kenduri-kendara serta hari raya.
Mungkin ada sedikit beza dengan cara masak kicap ayam yang lain. Kalau ikut cara orang kampung kami, ayam dan kentang hendaklah digoreng terlebih dahulu sehingga masak. Masakan ini biasanya tidak begitu berkuah dan tidak dibubuh dengan sebarang sos seperi sos tiram atau sos cili, melainkan kicap sahaja..... itu pun sejenis sos juga ye. Amie gunakan kicap lemak manis Habhals (Cap Kicap Udang), jadi rasanya sudah cukup sempurna, ditambah pula ayam yang digoreng sudah diperap dengan sedikit garam.
Mari kita lihat resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan:
1 kg daging ayam - potong menjadi 10 bahagian - perap dengan sedikit garam dan serbuk kunyit - ketepikan
4 biji kentang - kupas kulit dan potong wedges
1 cawan suhun yang sudah direndam hingga lembut
1 labu bawang besar - mayang kasar
1 biji cili merah - hiris kasar
1 biji cili hijau - hiris kasar
5 sudu besar kicap lemak manis - Amie gunakan Kicap Cap Kipas Udang
1 sudu besar lada putih - tumbuk (gunakan lada hitam pun boleh)
rempah 4 sekawan - 3 cm kulit kayu manis, 2 kuntum bunga lawang, 3 biji buah pelaga dan 3 kuntum bunga cengkih
1 cawan air
garam / gula / perasa pilihan - jika perlu

Bahan tumbuk / kisar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
3 cm halia

Cara:
1. Goreng daging ayam yang diperap sehingga masak. Toskan.
2. Goreng kentang sehingga masak - kuning keemasan. Toskan.
3. Tinggalkan 4 sudu besar minyak bekas goreng ayam dan kentang tadi di dalam kuali.
4. Tumis bahan tumbuk / kisar hingga wangi dan kemudian masukkan rempah 4 sekawan.
5. Masukkan ayam goreng  dan gaul rata. Tuangkan kicap, lada putih/ hitam serta air dan biarkan kuahnya mendidih dan kemudian masukkan suhun. Gaul rata.
6. Untuk menyempurnakan rasa, tambah dengan garam  / gula / perasa pilihan - jika perlu.
7. Akhir sekali masukkan hirisan bawang besar, cili merah dan cili hijau. Gaul rata beberapa kali dan padamkan api dapur.

Inilah rupa Ayam Masak Kicap Jawa Style yang terkenal di kampung kami. Dahulu, sebelum adanya bekalan elektrik makanan tidak boleh disimpan agak lama. Sudah tentulah akan basi. Kalau sekarang, boleh simpan dalam peti sejuk. Jadi, itulah rasionalnya masakan kicap ini kurang berkuah, semua digoreng terlebih dahulu agar tahan lama sedikit. Kebetulannya pula, dalam hidangan nasi ambeng, kebanyakan lauk-pauknya memang kering-kering belaka seperti serunding, sambal goreng Jawa, dan juga mee goreng atau mee hoon goreng.
Begitulah adanya.

Tukang buat air (Fairuz) nampaknya sudah sediakan lebih awal jus mangga udang. Satu jug jus mangga (lebih kepad puri sebenarnya), dengan warnanya yang kuning pekat asli mangga sedia untuk dinikmati.

Encik Suami tetap setia membawa pulang sejenis dua kuih!
Pulang dari solat tarawih, biasanya Encik Suami akan buka tudung saji di dapur. Jadi, tidaklah hampa kalau masih terdapat kuih-muih yang belum sempat dijamah sewaktu berbuka puasa.

Jumpa lagi!

3 ulasan:

  1. Air mangga sedap Di tambah sebiji dua air perahan limau nipis.
    Letak air Batu hancur hancur Banyak Banyak... Selalu buatvsecerek besar bawa gi surau utk minum Lepas terawih ..

    Kadang kadang campur macam macamjenis mangga masak. Mangga apple apngga malgua. Manggasiam mangga Kling janji masak.. blend letak gula sikit. Limau nipis dua tiga biji.. sedap ..

    BalasPadam
  2. terima kasih kongsi resepi ayam kicap ni kak:) Ayam kicap ni memang feveret anak dan family saya.Nampak sedap bila ada kentang dalam menu tu..:)

    BalasPadam
  3. G,
    betul tu, boleh dipelbagaikan cara penyediaannya.

    Cik Matahariku,
    masakan orang kampung kami.

    BalasPadam