Pages

Isnin, 20 Mei 2019

Selamat Menyambut Malam Ketupat - 15 Ramadan

Malam ketupat datang lagi!
Malam ketupat tiba pada hari ke 15 Ramadan.
Malam ketupat merupakan sambutan tradisi masyarakat Melayu Cocos, keluarga sebelah Encik Suami.
Pada malam ketupat, selepas menunaikan solat tarawih di masjid, mereka akan bertukar-tukar ketupat untuk dibawa pulang ke rumah masing-masing.
Bertukar-tukar ketupat!
Ketupat berisi pulut, yang dimasak bersama santan.
Ada ketupat pulut ditambah udang kering.
Ada juga ditambah kacang hijau.
Sewaktu hayat MIL dan kakak ipar masih ada, kami hanya datang ke kampung membawa lauk-pauk sahaja. Ketupat sudah disediakan!
Setelah MIL pergi, kakak ipar pula yang mengambil alih menyediakan ketupat.
Allah lebih sayangkan kakak ipar, pada akhir Februari 2019 kakak ipar pula dijemput-Nya.
Malam tadi, Encik Suami berkata:
Sayang sungguh tradisi malam ketupat kalau pupus ditelan zaman.
Sekarang nak cari daun kelapa pun susah.
Tak apalah. Esok pagi cuba cari daun kelapa kalau ada.
Dan pagi tadi, dibawanya pulang daun kelapa muda bersaiz kecil. Dijinjingnya sekali daging ayam, kelapa parut, serai dan barang dapur yang lain.
Buatlah ketupat, katanya.
Biarpun sedikit, tapi sekurang-kurangnya ada. Untuk kita makan di rumah,  katanya lagi. 
Kita pun gigihlah menganyam ketupat.
Tak pernahlah kita anyam ketupat yang bersaiz kecil!
Barangkali kalau gunakan daun kelapa sawit, besarlah juga saiznya.
Bila kita kata, saiz kelongsong ketupat kecil sangat.
Encik Suami kata, biarlah kecil asalkan jadi.
Tersentuh pula hati kita. Agaknya dia rindu ketupat hasil air tangan arwal MIL dan arwah kakak ipar. 

Menjelang pukul 5 petang, siaplah ketupat yang dinanti-nantikan oleh Encik Suami. Seronok sungguh dia bila Amie tunjukkan ketupat yang kecil-kecil ini. Katanya: Eloklah tu. Tak membazir.

Inilah kelongsong ketupat yang mampu Amie anyam. Ada saiz yang agak besar sedikit tetapi sebenarnya kecil juga. Dari satu pelepah ke satu pelepah, saiznya semakin mengecil!

13 kelongsong ketupat saiz kecil dan kecil-kecil yang sudah diisi dengan beras pulut dan akan direbus menggunakan santan kelapa.

 Ketupat yang baru keluar dari periuk.

Nampak comellah pulak ketupat kecil-kecil ini bila dibubuh dalam pinggan! Yang dihadapan itu saiz kecil tapi besar sedikit dan di belakangnya itu saiz yang memang kecil. Rasanya, seumur hidup inilah kali pertama menganyam dan merebus ketupat saiz kecil comel begini.

 7 biji ketupat dalam pinggan batu bunga kangkung!

 Alhamdulillah.
Sempat siapkan rendang ayam.

 Dan juga kuah kacang daging rusa.

Amalan tradisi bertukar-tukar ketupat memang patut diamalkan kerana amalan ini mampu mengeratkan hubungan silaturahim di samping mengekalkan tradisi malam ketupat dalam masyarakat Melayu Cocos di Lahad Datu.  Selamat menyambut malam ketupat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan