Pages

Ahad, 26 Mei 2019

Sedapnya Asam Pedas Ikan Sagai!

Selamat berhujung minggu. 
Tentu hari ini mula sibuk mengemas itu dan ini, maklumlah tak lama lagi kita akan menyambut hari lebaran. Bagi yang mula bercuri, berhati-hatilah ketika memandu untuk pulang ke kampung halaman. Semoga selamat sampai untuk bersama keluarga tersayang.

Pagi ini Amie kongsikan resepi Asam Pedas Ikan Sagai. Masakan ini sudah selamat berada di dalam perut beberapa hari lalu. Alhamdulillah, dapatlah dijadikan untuk dua kali makan iaitu semasa berbuka puasa dan dipanaskan semula untuk lauk makan sahur. Bila dipanaskan semula bertambahlah sedap kuahnya sebab semua bahan sudah meresap! Kalau goreng telur mata kerbau pun, tuangkan kuah makan bersama telur tadi dan nasi panas, alangkah berseleranya!

Inilah rupa ikan sagai, dari keluarga ikan cermin. Ikan sagai ini biasanya Amie suka kukus.

Biasanya kalau masak asam pedas kita akan bubuh bunga kantan dan daun kesum, tapi kali ini Amie hanya gunakan bunga kantan dan daun kesum itu Amie gantikan dengan limau purut. Aromanya tetap membangkitkan selera!
Jangan lupa renih lama sedikit kuah asam pedas sebelum masukkan ikan. Biar segala aroma dikeluarkan sampai terbersin-bersin kita dibuatnya.... hiks!

Bahan-bahan:
2 ekor ikan sagai - bersihkan dan potong 2
1 kuntum bunga kantan - belah 4
2 biji tomato - belah 2
4 helai daun limau purut - buang urat belakang 2 batang serai - diketuk
3 keping asam gelugor
4 sudu besar minyak
1 liter air
garam / gula / perasa pilihan secukupnya

Bahan kisar:
20 tangkai cili kering
7 biji cili padi
1 sudu kecil belacan
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 cm kunyit
1 cm halia

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar dan serai sehingga pecah minyak.
2. Masukkan asam gelugor, dan bunga kantan serta air. Biarkan  mendidih sekurang-kurangnya 5 minit. Lebih lama mendidih, lebih baik.
3. Masukkan ikan sagai dan tomato.
4. Biarkan ikan sagai masak dan kemudian masukkan daun limau purut.
5. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
6. Padamkan api dapur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan