Pages

Rabu, 15 Mei 2019

Resepi Ayam Ungkep Yang Mudah Tapi Sedap!

Assalamualaikum.
Alhamdulillah, hari ini diberi kesempatan untuk menunaikan puasa hingga waktu berbuka, dan dapat menikmati juadah bersama keluarga tercinta. Jangan lupa selepas menunaikan solat Maghrib, segera bersiap untuk ke surau atau masjid bagi menunaikan solat Isya' dan seterusnya sunat tarawih. Bagi kita kaum hawa, kebaanyakannya lebih selesa menunaikan solat tarawih di rumah, kerana sememangnya solat seorang wanita lebih afdal di rumahnya sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang maksudnya: Solat seorang wanita di rumahnya adalah lebih baik daripada solat di biliknya, dan solat di tempat tidurnya lebih baik daripada solat di rumahnya. Bagaimana pun bukanlah suatu larangan sekiranya kaum wanita ingin menunaikan solat di masjid, asalkan mendapat izin suami, memelihara batas aurat dan pergaulannya serta tidak bercampur dengan lain jantina.

Hari ini Amie sediakan menu ringkas sahaja, iaitu masakan ayam ungkep untuk dinikmati bersama nasi putih. Ayam Ungkep yang sangat terkenal dalam kalangan masyarakat berketurunan Jawa ini memang tak lapuk dek hujan, dan tak usang dek panas! Kalau dahulu, sebelum adanya kemudahan seperti mesin pengisar, segala bahan perencah dan rempah-rempahan seperti ketumbar dan jintan hanya ditumbuk sahaja dengan menggunakan lesung.
Bonda selalu pesan, jangan tumbuk ketumbar jintan terlalu halus, biar kasar sedikit! Memang begitulah cara masakan Bonda. Kalau Bonda membuat adunan rempeyek, apa-apalah rempeyek sama ada rempeyek kacang tanah, kacang dal atau kacang hijau, memang Bonda hanya tumbuk-tumbuk manja sahaja ketumbar dan jintan manis. Asalkan pecah biji ketumbar, okeylah tu! Bila makan rempeyek, terasalah biji ketumbar dan jintan tergigit terkunyah...eh! Cerita rempeyek pulak dah....ahaks!
Mari sambung cerita Ayam Ungkep.

Bila makan nasi panas dengan Ayam Ungkep, pastikan tidak ada lauk lain... hiks! Bila tidak ada saingan lauk -pauk lain, barulah terasa nikmatnya makan nasi dengan Ayam Ungkep! Kuah Ayam Ungkep yang berminyak itu pun sudah terasa enaknya. Sebenarnya minyak dalam kuahnya itu terhasil daripada lelemak kulit ayam (kalau tak buang kulit ayam) kerana tempoh 'mengungkep' yang agak lama dan dengan menggunakan api perlahan, jadi keluarlah minyak asli semulajadi dari ayam tadi.

Ini antara bahan wajib ada sebagai perencah Ayam Ungkep, iaitu cili padi, kunyit hidup dan serai. Kalau tidak ada bahan-bahan tersebut, maka kurang menjadilah masakan kita. Apa pun, kena fahami mangksud 'ungkep' ialah tutup. Ayam yang dimasak ini ditutup sepanjang proses memasaknya, dan gunakan api perlahan sahaja supaya serap semua bahan ungkepannya.
Terdapat sesetengah resepi Ayam Ungkep yang menambah penggunaan santan, tetapi bagi masyarakat Jawa Amie rasa tidak gunakan bahan tersebut. Mungkin mereka gunakan santan untuk memenuhi citarasa masing-masing. Begitu juga dengan penggunaan asam keping atau asam jawa, ada yang bubuh dan ada yang tidak. Kadang-kadang Amie pun tak bubuh sebarang asam dalam masakan ini, tapi kali ini Amie bubuh pula.

Kalau rajin, bolehlah sangai terlebih dahulu ketumbar jintan sebelum ditumbuk atau dikisar. Amie tak sempat nak sangai, dan tak pernah sangai pula untuk masakan ungkep ini. Jom kita lihat resepi Ayam Ungkep di bawah ini. Amie tambahkan 1 labu bawang besar (selalunya Amie hanya gunakan bawang merah sahaja). Tujuannya ialah untuk menambah kuantiti kuah, sebab Firdaus suka cari kuah Ayam Ungkep!

Bahan-bahan:
1 ekor ayam seberat 1.4 kg - potong menjadi 10 - 12 ketul -  bersihkan dan lumur dengan sedikit garam dan serbuk kunyit - perap seketika antara 25-30 minit
batang serai - dititik
1 sudu kecil pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air 
cawan air
garam / gula / perasa pilihan secukupnya
1/2 minyak

Bahan tumbuk / kisar:
5 ulas bawang putih
5 biji bawang merah 
1 labu bawang besar
sudu besar ketumbar biji
1 sudu besar jintan manis
1 sudu kecil jintan putih
3 cm kunyit hidup
2 cm halia
20 biji cili padi kampung

Cara:
1. Panaskan minyak. Tumis semua bahan kisar sehingga terbit minyak.
2. Masukkan bancuhan air pati asam jawa dan biarkan hingga mendidih. Kemudian masukkan  serai dan daging ayam dan kemudian gaul rata hingga ayam kelihatan layu atau berubah warna.
3. Tambahkan air, garam /  gula / perasa pilihan.                                           
4. Tutup kuali rapat-rapat. Gunakan api sederhana.
5. Kacau sekali-sekala untuk memastikan daging ayam tidak hangus kekeringan atau hancur.
6. Apabila kuah hampir kering, dan terbit minyak (jika suka kuahnya, tak perlu masak sampai kering) dan ayam empuk, padamkan api dapur.

Nampak tak kuah yang berminyak-minyak tu? Kuah Ayam Ungkep inilah yang jadi rebutan! Itu yang kami selalu kata, dapat makan nasi dengan kuahnya yang berminyak itu pun sudah cukup enak!

Firdaus menambah tiga kali nasi dalam pinggannya, dan makan dua ketul Ayam Ungkep! 

Juadah berbuka puasa kami hari ini, selain makan nasi lauk Ayam Ungkep, minuman jus epal, tetap tidak ketinggalan kuih yang Encik Suami beli di bazar Ramadan. Kuih bulat-bulat kecil dan besar.

 Entah kuih apa namanya...hiks!
Jumpa lagi.

4 ulasan:

  1. Nampak sedap... nak cuba lah masak ayam ungkep hari ni...

    BalasPadam
  2. Thank you for your post, I look for such article along time. myself very happy to read it because it can give me more insight, thanks.. Visit my blog..thankyou

    Link Alternatif Sbobet
    Mpo368 Slot
    Dewaslot88
    Nagaslot

    BalasPadam
  3. I just loved your article on the beginners guide to starting a blog.If somebody take this blog article seriously in their life, he/she can earn his living by doing blogging.

    Slot328
    Judi Slot88
    Hokibet77
    Naga slot

    BalasPadam