Pages

Ahad, 12 Mei 2019

Menu Berbuka Puasa : Kari Ayam Kenchana

Selamat Hari Ibu buat semua yang bergelar ibu, emak, mommy, mother, umi dan yang sewaktu dengannya. Ramadan ketujuh ini, pagi-pagi lagi Encik Suami sudah menjinjing kotak kek. Dari anak-anak, katanya.
Terima kasih anak-anak atas ucapan kalian.
Sayang dan cinta setulus hati buat Abang Farid, Fuad, Fairuz dan Firdaus. Moga kalian semakin dewasa dengan bekalan ilmu untuk kebahagian dunia dan akhirat. Mudah-mudahan sentiasa sihat dan terus cemerlang dalam mengejar cita-cita.
Hari ini Amie masak hidangan kari ayam untuk berbuka puasa. Amie gunakan resepi yang dikongsi oleh Kenchana Dewi, seorang pelakon dan pelawak popular tanahair. Kenchana kongsikan resepinya di Facebook : Kanchanas Secret Whitening Cream.
Resepi Kari Ayam Kenchana ini bagi Amie sungguh istimewa kerana tiada penggunaan santan sewaktu memasak, aromanya memang cukup menggoda! Ada beberapa jenis bahan yang digunakan oleh Kenchana dalam masakannya yang tidak kita gunakan ketika masak kari, dan langkah-langkah memasaknya juga mempunyai kelainan dengan cara kita. Antara bahan yang digunakan termasuklah penggunaan cili kering dan juga tomato serta perahan jus lemon. Cara memasaknya juga berbeza, misalnya serbuk kari ditambah dengan sebuk cili sertas serbuk kunyit, dibancuh dengan air dan kemudian dituangkan ke dalam masakan yang sedang mendidih.

 Inilah hasilnya, Kari Ayam Kenchana yang sungguh sedap walaupun tanpa santan!

Warnanya juga cantik!
Makan seketul pun rasa tak cukup!
Bila makan masakan Kari Ayam Kenchana ini, teringat pada arwah MIL dan FIL. Kalau mereka masih ada, tentu suka sangat rasa masakan ini sebab ada rasa masam-masam lemon! Biasanya MIL akan bubuh perahan limau nipis di hujung masakan. Al-Fatihah buat MIL dan FIL.

Jom kita lihat resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan:
1 ekor ayam - potong ikut saiz yang disukai - lebih baik jika dibuang kulit
4 biji kentang - kupas kulit - belah 4 (Amie gunakan kentang saiz sederhana besar)
4 sudu besar minyak
1 biji tomato - belah 8
1 sudu besar perahan jus lemon
garam / gula / perasa pilihan - ikut perasa pilihan masing-masing

Bahan penumis:
2 biji cili merah - potong 2
5 tangkai cili kering 
1 labu bawang besar - hiris
3 tangkai daun kari - lurutkan
2 batang serai - diketuk
1 batang kulit kayu manis
5 kuntum bunga cengkih
5 biji buah pelaga
2 kuntum bunga lawang
1 sudu besar jintan manis

Bahan kisar:
3 cm halia
1 labu bawang besar
5 ulas bawang putih
4 biji cili padi
1 batang serai
1 biji tomato
Kesemua bahan di atas hendaklah dikisar basah, dengan menggunakan air. Amie gunakan 300 ml air. (Air yang Amie gunakan itu agak-agak sahaja ketika melihat Kenchana memegang mesin pengisar  yang mengandungi bahan-bahan di atas).

Bahan lain:
4 sudu besar serbuk rempah kari ayam / daging
2 sudu besar serbuk cili
1 sudu kecil serbuk kunyit
500 ml air
Campurkan serbuk kari, serbuk cili dan serbuk kunyit di dalam sebuah bekas, dan tuangkan air. Amie gunakan 500 ml air. Bancuh sebati. (Air yang Amie gunakan itu juga agak-agak sahaja ketika melihat melihat Kenchana menuangkan air ke dalam mangkuk untuk dibancuh dengan serbuk rempah kari, serbuk cili dan serbuk kunyit). 


Cili kering, inilah antara bahan yang Amie katakan tidak kita gunakan dalam masakan kari yang biasa kita buat. Kali ini kita cuba masukkan dalam masakan kari. Menurut Kenchana, dengan adanya cili kering, aroma dan rasanya turut berubah!

Jangan lupa gunakan serbuk cili dalam masakan kari ini. Hasil masakan akan menjadi cantik jika ditambah serbuk cili, tapi kalau tak suka pedas jangan bubuh banyak! 


Bahan dah sedia. Jom kita mulakan langkah pertama untuk masak kari. Mula-mula kenalah letak kuali atas dapur. Nyalakan api dapur dulu... he heheee!

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dalam kuali.
2. Masukkan rempah 4 sekawan : kulit kayu manis, bunga cengkih, buah pelaga, bunga lawang dan satu kawan tambahan iaitu jintan manis.
3. Kemudian masukkan cili kering dan juga serai. Seterusnya masukkan bawang besar, daun kari dan cili merah.
4. Tumis sehingga terbit bau dan bawang besar kelihatan kekuning-kuningan.
6. Masukkan bahan kisar dan biarkan seketika.
7. Seterusnya masukkan kentang, dan biarkan sehingga kuah mendidih, baharulah masukkan ayam.
8. Setelah ayam separuh masak, tuangkan rempah kari yang sudah dibancuh bersama serbuk cili serta serbuk kunyit.
9. Masak lagi sehingga kentang dan ayam empuk. 
10. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan - ikut perasa kegemaran masing-masing.
11. Akhir sekali masukkan tomato dan perahan jus lemon.
12. Kacau beberapa kali dan padamkan api dapur.

Inilah hasil kejadian Kari Ayam Kenchana Dewi! Kari ayam tanpa santan! Lebih sedap dan lebih menyihatkan! Kalau inginkan kelainan, cubalah resepi ini. Makan dengan nasi panas...wallaahhhh! 
Kalau Encik Suami makan nasi dengan lauk kari ayam, mesti nak digandingkan dengan acar. Jadi Amie sediakan juga acar campur-campur timun, lobak dan mangga.


Terima kasih Encik Suami.
Walaupun tidak semua anak berada di sisi, tapi tetap juga sambut Hari Ibu. Rasa terharu sangat! Sebenarnya kita pun terlupa hari ini hari ibu! Bila Encik Suami minta izin keluar awal pagi tadi, Amie pun tak sempat tanya nak ke ke mana? Mungkin ada urusan kerja. Rupanya mencari kek.

Fairuz dan Encik Suami kata Kari Ayam Kenchana ini sedap. Firdaus pun menambah-nambah nasi dan lauk ke dalam pinggan. Kalau begitu, bolehlah Amie masak lagi bila Farid dan Fuad pulang berhari raya nanti. Alhamdulillah. Cukuplah kalau dapat mendengar kata 'sedap' itu. Hilang penat memasak hari ini.

Terima kasih daun keladi buat Kenchana Dewi. Ada resepi yang lain, nanti Amie cuba masak lagi.

3 ulasan:

  1. Mesti cuba ni, nampak sedap sangat ni k. Amie.

    BalasPadam
  2. wah kak... sedapnya...
    mesti sedap betul kari yg org india buat, sbb selalu bau nya sedap sgt... dana pernah berjiran ngn org india... kalau dia msk bau masakan dia tuh... perkkkkh mantops sgt

    BalasPadam
  3. Puan Hazel,
    silakan, menu yang sedap dan menyihatkan.

    Nurhidana,
    memang aromanya mengancam selera, tak sabar nak tunggu hingga masak heheeee.

    BalasPadam