Entri tertunggak dengan dari cerita kelmarin.
Sedang bermimpi mencari ilham untuk masak juadah berbuka, tiba-tiba Encik Suami telefon dan tanya nak masak apa petang ini. Kita pun kata, tak tahulah nak masak apa. Tapi sebenarnya dalam kepala, masak nasi sajalah, masak sayur dan goreng ikan serta sambal kicap.
Buat mee hoon suplah, pinta Encik Suami dalam corong telefon.
Boleh, tapi tak mahu gunakan ayam dalam peti sejuk.
Nanti beli ayam segar. Dada ayam ya? Apa lagi nak dibeli?
Bla bla blaaaa......
Dah faham sungguh Encik Suami kalau kita nak masak sup ayam, mesti nak gunakan ayam segar...hiks! Dan satu lagi, entah berapa kali dalam sebulan terutamanya bulan puasa, asyik makan mee hoon sup. Encik Suami suka masakan berkuah. Waktu sahur pun, wajib ada sayur berkuah! Kalau kita tak masakkan sayur berkuah, memang dia masak sendirilah di dapur!
Mee sup ayam ini main campak-campak dan rebus-rebus sahaja. Kali ini Amie tak bubuh rempah sup seperti biasa. Bahan perencahnya pun tidak ditumis terlebih dahulu. Semuanya main lebur dalam periuk. Masak dengan api perlahan, maka keluarlah segala manis dada ayam... hehehee.
Jom lihat resepinya.
1 bungkus mee hoon - rendam 3 minit dengan air panas hingga lembut - toskan dan kemudian rendam dengan air sejuk
3 kepingan dada ayam
10 biji bebola ayam - belah 4
2 bonggol akar daun sup - diketuk
2 batang serai - diketuk
1 sudu besar lada putih - ditumbuk
2.5 liter air
garam / perasa pilihan
Bahan hiris:
3 ulas bawang putih
1 labu bawang besar - hiris
2 cm halia
Bahan rempah:
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
Bahan pelengkap:
bawang goreng
hirisan daun sup / daun bawang
telur rebus
limau kasturi
sambal kicap
Cara memasak:
1. Jerang air di dalam periuk.
2. Masukkan dada ayam, semua bahan hiris dan bahan rempah, serai, akar daun sup dan lada putih.
3. Setelah kuah sup mendidih, perlahankan api dapur sehingga dada ayam empuk.
4. Keluarkan dada ayam - sejukkan seketika dan kemudian carik-carik.
5. Masukkan bebola ayam dan renih selama 5 minit.
6. Masukkan garam / perasa pilihan dan sedikit bawang goreng serta hirisan daun sup. Kacau sekali dua, tutup periuk dan padamkan api dapur.
7. Ambil sedikit mee hoon dan masukkan ke dalam mangkuk, tuangkan kuah sup. Tambahkan ayam carik, telur rebus, hirisan daun sup, bawang goreng dan sambal kicap.
8. Sedia untuk dinikmati.
Kuah sup yang simple dimple!
Dada ayam carik yang lembut dan manis!
Mee hoon yang sudah dicelur.
Mee hoon sup sudah semestinya bertambah enak dinikmati dengan bahan pelengkap beraroma segar seperti hirisan daun sup dan daun bawang!
Jangan lupa bawang goreng.
Kalau rajin sediakan sendiri bawang goreng ye...hehehee!
Dan sudah semestinya ada sambal kicap!
Benda wajib ada!
Sekian, cerita Mee Hoon Sup Ayam Simple Dimple!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan