Mangga udang nan sebatang di belakang dapur berbuah lagi.
Tak sempat nak jenguk!
Cuma dengar berita, sebiji buah mangga yang sedang membesar dikekah tupai!
Encik Suami risau, nanti buah-buah yang lain pun dimakan tupai.
Jadi, dibungkusnyalah buah-buah mangga dengan kertas.
Tak nampaklah buah mangganya.
Setiap kali Encik Suami bawa masuk dapur sebiji dua mangga yang sudah masak, Fairuz akan jadikannya sebagai puri mangga. Sedap jew puri mangga masuk tekak kita!
Oleh kerana saiz mangga udang ini besar, jadi puri dari sebiji mangga sudah cukup untuk seisi keluarga nikmati berkali-kali dalam sehari. Itu sahajalah yang Fairuz suka buat kalau ada mangga udang masak. Kadang-kadang Fairuz petik sendiri, dan makan dengan kicap lada!
Hari Khamis malam Jumaat lepas, kami ke kampung Encik Suami untuk menghadiri kenduri dan tahlil di rumah MIL & FIL (arwah). Encik Suami petik 5 biji buah mangga udang untuk dibahagi-bahagikan. Setiap sebiji beratnya melebihi 1.7 kg. Memang besar sungguh!
Amie sangka, tentu habis buah mangga di pokok.
Petang tadi, menerusi tingkap dapur ketika membersihkan ikan lampam untuk digoreng, terpandang buah mangga udang dicelah-celah daun! Tiba-tiba rasa teringin untuk buat sambal mangga!
Dah siap pun Sambal Mangga Belacan!
Dan ikan lampam goreng garing!
Jom kita tengok mangga udang di belakang rumah kami.
Nampaknya masih ada lagi beberapa biji mangga udang yang tak sempat dibungkus. Rasanya mangga ini baru sahaja membesar, sebab mangga yang lain lebih dua bulan yang lalu Encik Suami bungkus!
Mangga yang di atas ini pun tak dibungkus juga. Kalau begini saiznya ketika muda, mangga ini boleh membesar lagi dan ketika tua beratnya boleh mencecah 2 kg. Mangga muda begini belum ada rasa, masam pun tidak! Jom kita lihat mangga lain yang tidak dibungkus. Yang di bawah ini mungkin boleh dipetik.
Nak petik yang mana satu?
Amie petik yang bersaiz agak kecil, dengan harapan isinya sudah tua atau matang.
Inilah... mangga udang saiz agak kecil yang Amie maksudkan.
Petik ya! Walaupun kecil tapi beratnya mencecah 1.3 kg! Jom kita potong sikit bahagian tangkainya, nak tengok dan tua ke belum.
Yuhuuuu...
Warnanya agak kekuningan!
Bukan putik mangga!
Memang sesuai, dan memang sedap dibuat kerabu sebab isinya rangup, tidak berapa masam dan tidak pula manis!
Tapi kita nak buat sambal belacan mangga!
Heheee... baik kerabu atau sambal, memang akan banyak hasilnya gunakan sebiji mangga ini.
Alhamdulillah!
Isinya sedang elok!
Kita kupas sebelah sahaja, dan ambil sepotong. Selebihnya Fairuz terus ambil, dan makan dengan kicap lada.
Jom kita mula buat sambal mangga bubuh belacan.
350 gram mangga cincang / sagat
3 biji bawang merah - hiris
1 biji cili merah - hiris
1 biji cili hijau - hiris
1/2 cawan jus limau kasturi
garam / gula / perasa pilihan
Bahan tumbuk:
30 biji cili padi
25 gram belacan - bakar
2 biji bawang merah
Cara:
1. Masukkan hirisan mangga ke dalam sebuah bekas / mangkuk.
2. Tambahkan bahan tumbuk, bawang merah hiris, cili merah dan cili hijau hiris, garam / gula / perasa pilihan secukupnya. Tuangkan jus limau kasturi. Gaul sebati.
3. Biarkan seketika sebelum dinikmati.
Terliur tak?
Amie bubuh lebih jus limau kasturi sebab mangga ini tidak masam. Sedap ratah begitu sahaja... heheheeh!
Lauk hari ini : Sambal Mangga Belacan dengan ikam lampam goreng, ulam kacang bendi. Simple dimple!
Aduhai Amie..tengok gambar dah start drooling dah ni..sedap ni.
BalasPadamSuzana,
BalasPadamaduhai....marilah sini ratah sama heheee.
sedapnya tengokkk, nanti buat sebelum buka puasa :)
BalasPadam