Pages

Jumaat, 19 April 2019

Jalan-Jalan Cari Ikan Air Tawar di Pasar Tamu di Kampung Paris

Selamat pagi semua.
Moga sihat-sihat saja.
Hari ini Jumaat, negeri Sabah cuti umum selama sehari sempena Good Friday.
Kesempatan ini kami gunakan untuk ke pasar tamu di Kampung Paris yang jauhnya sekitar 40 minit perjalanan dari Lahad Datu. Lama sungguh tak berkunjung ke pasar tamu hari Jumaat ini. Kalau tak silap sewaktu Farid masih kecil (sekarang sudah 24 tahun usianya), Amie selalu juga ke pasar tamu Kampung Paris terutama ketika cuti sekolah, dan ikut menemani Encik Suami mengurus pembersihan rumput di sana (waktu itu Encik Suami membantu arwah abang iparnya mengurus kerja-kerja kontrak dengan TELEKOM).
Ketika itu Encik Suami gemar bercerita tentang pelbagai jenis ikan sungai yang dijual di pasar tamu ini. Dan kadangt-kadang Encik Suami beli sayur-sayuran dan ikan sekiranya kebetulannya urusannya di sana jatuh pada pagi Jumaat.
Pagi tadi, seawal pukul 6:35 pagi, perlahan-lahan Encik Suami memandu ke sana. Firdaus pun kami angkut sama supaya luaslah pandangan matanya melihat alam ciptaan Allah, daripada duduk di rumah menonton kartun atau main komputer sahaja! Kami tiba di sana lebih kurang pada pukul 7:15 pagi.

Nampaknya tidak banyak hasil sungai yang dijual di pasar tamu Kampung Paris! Tidak seperti dahulu! Selain ikan sungai, banyak ikan laut yang dijual oleh peniaga ikan dari luar kawasan, tetapi kami tidak beli memandangkan kami akan dapat bekalan yang lebih segar dari Lahad Datu. Setelah berpeluh-peluh mengelilingi tamu, kami terpaksa berpuas hati dengan satu sahaja gerai yang menjual ikan air tawar. Kesemua jenis kami beli, termasuk ikan patin, ikan lampam jawa dan udang galah. Kesemua ikan sudah dibuang isi perutnya terlebih dahulu. Kami beli 2 ekor ikan patin seberat 1.7 kg. Dua ekor ini sahaja bersaiz agak besar. Yang lain kecil-kecil, sekitar 500 gram seekor. Dan ada seekor bersaiz besar seberat 3 kg, dan bila dibuang isi perutnya berat ikan tersebut menjadi 2.5 kg. Nampaknya isi perutnya sahaja sudah seberat1/2 kg!

Seterusnya kami beli 2 kg ikan lampam. Penduduk tempatan menggelarnya ikan salap. Kalau rajin boleh pancing sendiri ikan salap di sungai. Memang seronok sangat pancing ikan salap dengan menggunakan isi kelapa sawit! Dulu Encik Suami rajin bawa Amie pancng ikan salap di Sungai Segama. Sekarang, katanya tak ada masa!

 Seterusnya kami beli udang galah. Masih segar!

Banyak hasil kampung yang dijual di sini. Kecur liur nampak buah jambu! Terbayang sampai di rumah boleh cicah kicap lada! Belilah 2 kg.

Encik Suami beli tembikai, nanas dan mangga.
Lepas itu, katanya jari tangannya hampir putus sebab berat menjinjing bahan-bahan yang dibeli. Terpaksalah dibawanya terlebih dahulu untuk disimpan dalam kereta. Letak kereta bukannya dekat! Nun jauh parking di tepi jalan sanun!
Firdaus pula buat hal!
Agaknya cuaca panas (walaupun baru pukul 8 pagi!) Memang berpeluh-peluh mukanya. Mulalah dia cari pasal...huhuhuuuu! Sabar sajalah!

Jumpa daun kemangi segar. Belilah seikat dengan harga RM1.00. Bolehlah masukkan dalam sup ayam campur betik! Memang sup ayam campur betik, dan tambahkan daun kemangi 'di hujung masakan' menjadi hidangan kegemaran Amie!

Antara sayur yang sempat Amie beli. Sampai rumah terlupa apa nama sayur ini. Yang Amie ingat hanya bunyi awal dan hujung iaitu pa.... da. Perada atau pedada?  Penjual sayur siap terangkan cara memetik daun sayur ini dan celur terlebih dahulu sebelum dimasak bersama santan dan ikan masin atau apa-apa sahaja. Nanti Amie update namanya. Tadi sempat masukkan dalam FB kalau-kalau ada rakam-rakan FB yang boleh bantu.

 Cantik warna terung putih keunguan ini. Amie pun beli dengan harga RM2.00 selonggok.

Ada beberapa jenis buah tomato yang dijual di tamu tadi termasuklah tomato kampung yang cantik dan segar. Oleh kerana masih ada lagi sebungkus tomato kampung dalam peti sejuk, jadi Amie beli tomato biasa saja sebanyak 2 kg.

Nampaknya sudah ada respon dari PUAN ZAINAB NASRUDDIN, katanya sayur ini  kalau masyarakat Bugis dipanggil PARAPA, dimasak dengan santan dan lebih sedap lagi jika ditambah dengan ikan salai. Jadi, benarlah kata penjual sayur tadi : PARAPA!
Bila tanya Pak Google, apa itu sayur PARAPA?
Keluarlah SAYUR PARAPA, IKAN PARUPU & SAMBAL TEMPOYAK. Entri tersebut dari blog Amie sendiri.... adeeehhhh! Bolehnya lupa! Terbit 2011! 8 tahun lalu!

6 ulasan:

  1. Bestnya amie masuk kg cari ikan segar dan sayur mayur yg harga lebih murah dari pekan.. yg penting segar bugar.. parapa tu mcm pernah tgk.. ada iras daun kesum juga kan amie

    BalasPadam
  2. Sedap mata memandang tengok produk dari kampung yang segar bugar tu k. Amie. Sy suka buat ulam mentah je daun kemangi. Cicah sambal belacan umph!

    BalasPadam
  3. Kak, sayur parapa atau bayam sawah mak saya panggil sayur nie, mmg selalu masak lemak jer. Orang utara semenanjung panggil pucuk keremak atau kurmaq, biasa juga beli kat pasar malam, gerai yang jual sayur2 kampung.

    BalasPadam
  4. Rosa,
    sayur parapa tu rupanya saya pernah tengok, masa kecik2 dulu mak suka ambil bunga, kunyah2 kalau sakit gigi, tapi lupa namanya.

    Puan Hazel,
    Daun kemangi tu saya rasa armanya lebih kuat dari serai, saya suka bubuh dalam sayur sup sebelum matikan api dapur.

    Nasa Mulia,
    saya dah masak lemak sayur ni, teringat balik masa kecik dulu mak saya selalu panggil pokok keremo (bahasa Jawa), tapi tak pernah mak buat sayur.

    BalasPadam
  5. bestnya dpt pegi pasar pagi kak... kalau dana dpt tgk segala jenis syr2 kampung ngn ikan2 fresh tu mmg seronok betul, lg seronok bila dpt beli segala mcm tuh...

    dana tak pernah msk daun kemangi tuh kak, mcmne ye rasanya...
    pastu sayur parapa tu dana rasa mcm tak pernah jumpa hehehe...

    BalasPadam
  6. Norhidana,
    daun kemangi tu kira spesies daun selasih juga, ada aromanya yang tersendiri, ada sedikit bau serai, sayur parapa tu memang jarang jumpa, tapi kalau rajin tengok rumput tepi jalan, kadang2 ada pokok tu,

    BalasPadam