Jemput jamu mata dengan hidangan Sambal Sotong Tomato.
Suka sangatlah seisi keluarga menikmati menu begini. Amie pula, lebih suka meratah sahaja...hiks! Cara memasaknya pun mudah, sama seperti masak sambal sotong yang biasa kita buat, cuma untuk resepi ini Amie tambahkan tomato. Memang sangat sedap!
Cubalah! Pasti nak masak begini lagi!
Hidangan yang lazat begini selain untuk sajian keluarga, juga sesuai untuk menjamu tetamu.
Tomato segar rasanya manis, dan sedikit masam serta dapat mengeluarkan rasanya yang sangat lazat jika dijadikan kuah sambal. Kalau tak cukup rasa masam manis semulajadinya, bolehlah tambahkan sedikit gula atau asam jawa atau juga asam keping.
Bahan-bahan:
500 gram sotong - bersihkan - potong ikut suka - toskan
5 biji tomato - buang kulit - potong-potong
2 labu bawang besar - hiris nipis
2 sudu besar serbuk cili (boleh gunakan cili padi / cili kering / cili merah)
1/2 cawan minyak
1 sudu kecil pati asam jawa / 1-2 keping asam gelugor (pilihan)
2 cawan air
garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
8 biji bawang merah
1 cm belacan
1 hirisan halia (guna sedikit sahaja - tak bubuh pun tak apa)
Kalau dapat tomato yang lebih ranum lagi lebih baik, sebab isinya lebih lembut, mudah dikupas dan cepat hancur ketika dimasak.
Ikut sukalah nak potong gaya mana, nak lebih kecil atau lebih nipis.
Gambar sotong di atas seberat 1 kg, Amie hanya gunakan 500 gram seperti gambar di bawah (setelah selesai dibersihkan dan dipotong).
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan goreng bawang besar sehingga kekuningan.
2. Masukkan hirisan tomato dan gaul rata. Biarkan masak seketika.
3. Tuangkan serbuk cili dan bahan kisar. Kacau sebati.
4. Masukkan pati asam jawa (pilihan), dan air.
5. Perlahankan api, dan masak lagi sehingga tomato dan bawang besar hancur (kena ambil masa yang agak lama untuk hancur - lebih kurang 1/2 jam).
6. Setelah sambal terbit minyak, besar api dapur.
7. Masukkan sotong dan terus kacau.
8. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
9. Biarkan masak di antara 2 hingga 3 minit sahaja.
10. Padamkan api dapur.
Ada yang suka membuang air sotong terlebih dahulu (dengan cara memanaskan sotong di dalam kuali dan membiarkan sehingga keluar air, kemudian dibuang). Amie masak sambal sotong tanpa berbudat demikian. Hanya toskan sotong yang sudah dibersihkan, dan kemudian masak menggunakan api besar semasa memasukkan sotong ke dalam sambal di kuali. Hasilnya seperti di bawah. Sambal tidak berair (oleh sotong) dan masak sempurna.
Selamat mencuba.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan