Pages

Ahad, 13 Januari 2019

Nasi Lemak Beras Bario

Sewaktu Abang Farid pulang bercuti akhir Disember 2018, memang Amie tak sempat untuk masak-masak seperti biasa. Waktu itu kami bawa Abang Farid bercuti ke Kota Kinabalu, dan seterusnya Amie meneruskan tugas di luar kawasan. Berbeza dengan kepulangan Fuad seminggu kemudian. Amie mempunyai masa untuk masak makanan kegemarannya. Katanya, dia rindu masakan sambal nasi lemak yang selalu kami makan ketika bersarapan. Ketika makan nasi lemak di Johor, mesti teringat sambal nasi lemak air tangan Mommy, katanya. Begitu juga ketika bertandang ke UTP, tempat Abang Farid. Ada sekali rakannya mengajak datang ke rumah, dan dijamu dengan nasi lemak. Teringat lagi sambal nasi lemak di rumah sendiri.
Oh!
Begitu rupanya kuasa air tangan seorang ibu!

Pagi ini Amie sempat sediakan juadah Nasi Lemak Beras Bario untuk seisi keluarga. Bukan main seronok dan berselera anak-anak makan! Sesuai dengan Sambal Udang Dengan Petai, yang rasanya manis-manis itu.
Cerita tentang beras bario ini, bukan selalu kami dapat bekalannya kerana tidak dijual di LD, kecuali kalau ada kawan-kawan yang murah hati memberi secara percuma. Beras bario yang Amie masak ini bukanlah didatangkan dari Sarawak yang memang terkenal dengan pengeluaran beras bario itu. Beras bario di dapur Amie ini datangnya dari Kundasang, dan memang ditanam di sekitar kaki gunung di Kundasang dan juga Ranau. Beberapa tahun yang lalu, memang Amie selalu mendapat 'habuan' beras bario dari seorang rakan yang tinggal di Ranau kerana beliau mempunyai sawah padi dan menanamnya sendiri. Selain menanam padi sawah, beliau bersama suaminya juga menanam padi bukit (huma). 
Gambar di bawah ini menunjukkan rupa beras bario yang kami beli di Kundasang. Alhamdulillah, walaupun di tempat lain harga beras bario sangat tinggi, tetapi kami masih mendapat harga mampu beli, sekitar RM20 untuk 1400gram beras. Dengarnya beras bario sentiasa mendapat permintaan yang tinggi dari pengguna kerana dikatakan ia memiliki pelbagai khasiat dan manfaat seperti kandungan kabohidratnya yang rendah serta mampu menurunkan kandungan gula dalam dalam. Selain rasanya yang lemak, dan sedikit melekit seperti pulut, beras bario ini mempunyai rasa yang sedap!

Cara memasak beras bario ini mungkin sedikit berbeza dengan cara memasak beras biasa. Sukatan air hendaklah sesuai dengan kuantiti beras. Biasanya Amie memasak dengan menggunakan sukatan 1:1, tetapi untuk masakan nasi lemak ini Amie lebihkan sedikit santannya iaitu 3 cawan beras = 3 1/2 cawan santan, atau 3:3.5. (Sekiranya anda sukakan nasi yang lebih lembut, boleh lebihkan air / santan).

Bahan-bahan:
3 cawan berasa bario - cuci bersih dan toskan airnya
1 cawan santan pekat
2 1/2 cawan santan cair
3 cm halia - hiris
3 biji bawang putih - hiris
2 kuntum bunga lawang
1 batang kulit kayu manis
sehelai daun pandan (disiat-siat dan disimpul)
1 sudu kecil garam

Cara memasak:
1. Masukkan beras ke dalam periuk nasi (rice cooker) bersama semua bahan lain.
2. Tekan butang 'on' dan biarkan sehingga masak seperti memasak nasi biasa.

 Nasi Lemak Beras Bario sedia untuk dihidangkan bersama Sambal Udang Dengan Petai.

Bahan-bahan:
1 kg udang kertas - buang kulit dan belah bahagian belakang- tarik keluar uratnya
1/2 cawan minyak
1 cawan isi petai1 sudu kecil pati asam jawa
1 labu bawang besar - mayang kasar 
garam / gula melaka / perasa pilihan secukupnya
Bahan kisar:
25 biji cili kering wonder hot - buang biji
5 ulas bawang putih
20 biji bawang merah
1 cm halia muda
1 batang serai - ambil isinya yang putih dan hiris
2 sudu makan udang kering - rendam hingga lembut 

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga pecah minyak. Gunakan api panas sederhana.
2. Masukkan pati asam jawa, gula melaka parut, dan garam secukupnya. Gaul hingga mesra.
3. Masukkan isi udang kertas, bawang besar serta petai.
4. Masak sehingga udang masak, dan bawang besar layu serta kuah menjadi pekat.
5. Padamkan api dapur.

 Jemput makan.
Nasi Lemak Beras Bario, Sambal Udang Dengan Petai, ikan bilis dan kacang tanah goreng, hirisan mentimun dan juga telur rebus.

Bismillah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan