Pages

Rabu, 28 November 2018

Lobster Panggang

Selamat petang semua.
Cuaca masih tidak menentu. Sekajap hujan sekejap panas.
Yang pastinya, menjelang petang kegelapan menyerkup alam lebih awal dari biasa. ditambah dengan langit mendung, dan sudah tentunya suasana suram di mana-mana.
Jom kita masuk dapur, cari apa yang patut untuk diratah-ratah.

Kita ratah lobster, nak tak?
Lobster ini Amie panggang ikut cara kampung-kampung saja.
Tidak ada bahan istimewa yang Amie gunakan, kecuali mentega untuk memanggang. Yang lain semuanya bahan yang ada di dapur termasuk bawang putih, halia, dan lada putih.

Lobster ni lebih berat kulit dan kepalanya berbanding isinya! Sesungutnya pula panjang sungguh!

 Kita buang dahulu sesungutnya.

Lepas tu kita belah, dari kepala sampai ke ekor.

 Bersihkan lobster terutama di bahagian kepalanya.

Amie hanya tumbukkan 2 ulas bawang putih, 1 cm halia dan 1/2 sudu lada putih. Kesemuanya Amie gaul dengan 1 sudu kecil serbuk Maggi Cukup Rasa dan 1 sudu kecil sos tiram. Lepas tu lumurkan secara merata pada isi lobster.

 Panaskan kuali ajaib. Bubuh sedikit mentega dan biarkan mencair. 

Kuali ajaib ini hanya mampu menampung dua ekor lobster. Jadi, lobster yang lain sila sabar menanti giliran ya.

Jangan panggang lama sangat. Dengan menggunakan api sederhana, pangganglah lebih kurang 2 hingga 3 minit, dan kemudian terbalikkan kuali. Gambar di atas (tak berapa terang) menunjukkan lobster sudah sesuai untuk diterbalikkan.

Jika suka, sediakan kicap lada perah jus limau kasturi sebagai pencecah lobster panggang. Nak ratah begitu saja tanpa pencecah pun ok. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan