Pages

Khamis, 15 November 2018

Kepak Ayam Panggang / Goreng

Hai, selamat petang semua.
Ini cerita resipi petang kelmarin ketika cuaca mendung dan langit gelap gelita.  Memang akhir-akhir ini cuaca tidak menentu dan biasanya hujan atau angin kuat di petang hari.
Amie sempat perap sayap @ kepak ayam untuk ratah-ratah sekeluarga. 
Biasanya, tentu masing-masing ada resipi tersendiri untuk memerap ayam samada untuk dipanggang atau digoreng. Maksudnya kisah dua dalam satu, sekali perap boleh dijadikan 2 menu iaitu goreng dan juga panggang atau bakar.

Amie gunakan 15 belah sayap @ kepak ayam. Amie juga tambahkan satu 2 sudu kecil serbuk rempah kari di dalam perapan supaya lebih beraroma. Kalau nak warna lebi cantik, bolehlah tambahkan kicap dan minyak bijan sikit.

Bahan-bahan:
15 belah sayap @ kepak ayam - potong 2 - bersihkan dan toskan
2 batang serai - diketuk
1 sudu kecil serbuk kunyit
2 sudu kecil serbuk rempah kari
4 sudu besar sos tiram
1 sudu besar Maggi Cukup Rasa
2 sudu kecil gula
3 sudu besar minyak

Bahan kisar / tumbuk:
1 sudu kecil lada putih
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
4 cm halia

Cara:
1. Letakkan sayap ayam dalam sebuah mangkuk besar.
2. Masukkan semua bahan kisar, serai. serbuk kunyit, serbuk kari, sos tiram, Maggi Cukup Rasa, gula dan minyak.
3. Gaul rata kesemua bahan dalam mangkuk.
4. Biarkan / perap selama 15 minit.
5. Kemudian bolehlah dipanggang atau digoreng.


 Amie panggang gunakan kuali ajaib.

 Gunakan api perlahan sahaja.

 Dapur sebelahnya pula, Amie gunakan untuk goreng.

Sambil menggoreng tu jangan lupa jeling-jeling kuali ajaib!
Lebih kurang 5 minit begitu, terbalikkanlah kuali ajaib tadi, dan hasilnya seperti di atas. Tutup semula kuali ajaib untuk bagi masak bahagian sebelah sayap tu.

 Sementara itu, ayam yang digoreng pun sudah cukup masak untuk diangkat.

Ayam panggang dalam kuali ajaib sudah cukup masak setelah 2 kali proses menggoreng ayam!
Nampaknya, memanggang lebih lama berbanding menggoreng, dan rasanya pula? Sudah tentulah sayap panggang lebih sedap sebab isinya berjus!

Sekian, cerita Kepak Ayam Panggang / Goreng dari Amie's Little Kitchen.

2 ulasan:

  1. Sedapnya, Amie! Ada dua pilihan pulak - panggang dan goreng. Dua2 pun best!

    BalasPadam