Pages

Ahad, 4 November 2018

Asam Pedas Ikan Mabung

Asam Pedas Ikan Mabung!
Kenapalah engkau sedap sangat?

Nyaman sungguh cuaca petang minggu ini. Nak keluar rumah pun malas. Layan sajalah jika nak berehat-rehat di rumah bersama keluarga. Kami baru sahaja selesai santap hidangan tengahari. Amie hidangkan nasi dengan lauk-pauk biasa-biasa sahaja, tak susah dan tak perlu ambil masa yang lama untuk menyediakannya.

Selain Asam Pedas Ikan Mabung yang sangat sedap itu (perasan), Amie lengkapkan hidangan dengan terung taiwan goreng, tempe goreng dan ulam kacang panjang, serta sambal cencaluk. Kelmarin Amie lihat Encik Suami macam sedap jew makan sambal cencaluk. Ada lebihannya sedikit, jadi Amie tambahkan lagi bahan-bahan lain untuk hidangan hari ini.

Betulkan ini ikan mabung? Kalau salah, tolong betulkan ye. Di LD orang panggil ikan lumahan. Kadang-kadang Amie keliru dengan nama-nama ikan yang berkeluarga dengan ikan kembung seperti ikan pelaling dan juga ikan temenung! Nampak macam sama saja bentuk dan rupanya kan? Rasanya ikan mabung agak gemuk sedikit berbanding ikan kembung yang agak leper.
Rasa seronok sangat sebab dapat ikan mabung segar!
Beli sekilogram, dapat 6 ekor.
Tak sabar nak masak ikan mabung ini. Terasa-erasa isinya yang manis dan lembut.

Sambil menyiang ikan, termenung juga memikirkan nak masak apa. Akhirnya teringat ada lebihan bunga kantan, daun kesum dan serai yang tidak habis digunakan tempohari sewaktu masak asam pedas daging rusa. Jadi Amie putuskan untuk memasak 1/2 kilogram ikan mabung.

Kali ini Amie ingin masak Asam Pedas Ikan Mabung berkuah cair. Tak mahu kuah pekat seperti kebiasaannya. Bahan yang digunakan pun ringkas sahaja, hanya yang asas sahaja. Jom lihat resepinya di bawah ini:

Bahan-bahan:
500 gram ikan mabung - bersihkan dan potong 2
5 pokok kesum
1 kuntum bunga kantan - belah 4
2 biji tomato - belah 2
2 batang serai - diketuk
3 keping asam gelugor
4 sudu besar minyak
1 liter air
garam / gula / perasa pilihan secukupnya

Bahan kisar:
20 tangkai cili kering
7 biji cili padi
1 sudu kecil belacan
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 cm kunyit
1 cm halia

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar dan serau sehingga pecah minyak.
2. Masukkan asam gelugor, daun kesum, bunga kantan dan air. Biarkan  mendidih selama 5 minit.
3. Masukkan ikan mabung dan tomato.
4. Biarkan ikan mabung masak.
5. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
6. Padamkan api dapur.

Jom makan tengahari.
Nasi berlauk Asam Pedas Ikan Mabung, dengan tempe goreng dan ulam kacang panjang.

 Ada terung taiwan goreng.

 Dan juga Sambal Cencaluk + petai + belimbing buluh + tomato ceri.

Mmmmm.... Asam Pedas Ikan Mabung ini Amie punya....ahaks1 Firdaus pun makan nasi dengan kuah asam pedas! Pandai bujang kecil tu makan asam pedas rupanya.

2 ulasan: