Pages

Isnin, 29 Oktober 2018

Rusa Masak Lemak Cili Padi dengan Belimbing Buluh

Sesekali masak daging rusa memang mengujakan! Bukan hanya disebabkan kesukaran mendapatkan dagingnya, tetapi memikir untuk mengolahnya menjadi masakan juga turut diambil kira. Bukan apa, kadang-kadang terbeli daging yang agak liat, mungkin rusa tua dan adakalanya dapat rezeki daging muda! 

Untuk hidangan petang ini (makan tengahari merangkap makan malam), Amie olah daging rusa dengan cara memasak lemak cili padi. Alhamdulillah, sebaik sahaja Encik Suami sampai di rumah, Rusa Masak Lemak Cili Padi dengan Belimbing Buluh siap sedia untuk dihidangkan bersama nasi.

Daging rusa yang Amie masak ini Amie beli melalui seorang rakan sekerja. Katanya, hasil buruan dari hutan Kalabakan. Alhamdulillah, dapatlah Amie dan kawan-kawan beli. Amie beli 2 kilogram. Pada mulanya Amie ingin jadikan daging rusa ini sebagai serunding, tetapi memikirkan masa yang agak terhad dan tempoh menyiapkannya yang memakan masa, jadi Amie bahagi dua. Separuh Amie gunakan untuk dijadikan lauk, dan separuh lagi dibuat serunding.

Kesemua daging rusa yang Amie beli itu Amie rebus dengan api perlahan. Alhamdulillah, tidak sampai 45 minit daging rusa sudah lembut dan empuk! Kemudian Amie toskan dan ambil beberapa ketul untuk dimasak lemak cili padi campur dengan belimbing buluh.

Terima kasih Cikgu Jusna kerana sudi bahagi-bahagikan belimbing buluh, limau kasturi dan bunga kantan kepada rakan-rakan. Moga belimbing buluh semakin lebat berbuah, begitu juga dengan limau kasturi dan pokok bunga kantan yang ditanamnya.
Di sini Amie kongsikan resepi Rusa Masak Lemak Cili Padi dengan Belimbing Buluh yang sungguh enak! Bahan yang digunakan pun tidak banyak.

Bahan-bahan:
400 gram daging rusa yang sudah direbus - hiris ikut citarasa
2 cawan santan
7 biji belimbing buluh - belah jangan sampai putus
1 batang serai - dititik
garam / gula / perasa pilihan

Bahan tumbuk:
20 biji cili padi kampung
2 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
2 cm kunyit hidup

Cara:
1. Masukkan santan ke dalam periuk bersama bahan tumbuk, serai dan hirisan daging rusa.
2. Jerang atau didihkan di atas api sederhana.
3. Apabila kuah mula mendidih masukkan belimbing buluh dan kacau selalu sehingga belimbing buluh berubah warna.
4. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
5. Padamkan api dapur.

 Hidangkan panas!

2 ulasan:

  1. Assalam Amie,

    Selera nampak lauk daging rusa. Mesti habis dinikmati. Kawasan kediaman kami banyak rusa liar (white tail deer) berkeliaran. Mereka nampak jinak tetapi liar...merosakkan tanaman pantang lepa. Kami tidak pernah tangkap mereka walaupun dibenarkan memburu di bulan November - February.

    Mak Long

    BalasPadam
  2. Waalaikumussalam Mak Long,
    Rusa liar macam jinak-jinak merpati ye Mak Long, dikejar tak dapat, didekat lari.

    BalasPadam