Petang ini Amie kongsikan lauk makan tengahari kami seisi keluarga, Ikan Cermin Masak Kari.
Anak-anak pun bukan main suka bila terbau aroma kari dari dapur! Kebetulan Fairuz baru pulang dari sekolah dengan perut lapar. Apalagi, sampai 3 senduk besar Fairuz kaut kuah masuk dalam pinggan. Banjirlah pinggan nasinya! Firdaus pula, tak mahu makan ikan, hanya nasi dengan kuah kari saja.
Amie masak kuah kari agak cair sikit, sebab anak-anak suka kuah kari bubuh banyak-banyak dalam pinggan nasi!
Amie masak ikan cermin, ikan segar yang kami beli dua hari lepas di Kampung Bikang. Amie tinggalkan bahagian ekor, dan kepalanya. Ikan cermin ini sudah sedia dibersihkan dan siap dipotong-potong oleh Encik Suami. Semua bahagian isi Amie ambil untuk dimasak, dan dalam lebih kurang 1 kg beratnya.
Resipi : Ikan Cermin Masak Kari
Bahan-bahan:
1 kg ikan cermin - siap dipotong
4 biji tomato - belah 2
10 biji cili hijau saiz kecil
3 cawan air
1 cawan santan
4 sudu besar serbuk kari ikan
2 sudu besar serbuk cili
2 keping asam gelugur
1/2 cawan minyak
garam / gula / perasa pilihan secukupnya
Bahan kisar:
7 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 cm halia
1 cm kunyit hidup
Bahan tumis:
1 labu bawang besar
3 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 sudu kecil campuran biji sawi, jintan putih dan halba
3 tangkai daun kari - lurutkan
Cara memasak:
1. Campurkan bahan kisar bersama serbuk kari dan serbuk cili untuk dijadikan pes. Jika terlalu kering, tambahkan sedikit air. Ketepikan.
2. Panaskan minyak dan tumis bahan tumis hingga terbit bau.
3. Kemudian masukkan pes kari dan 2 biji tomato yang sudah dibelah 2. Masak lagi dan tambahkan sedikit air jika bahan tumis kelihatan kering. Gunakan api sederhana sehinggalah terbit minyak.
4. Masukkan air dan asam keping. Biarkan hingga mendidih.
5. Masukkan ikan cermin dan kemudian tambahkan santan.
6. Setelah kuah mendidih dan ikan masak, masukkan lebihan tomato, cili hijau, garam / gula / perasa pilihan. Kacau sekali dua.
7. Biarkan seketika dan kemudian padamkan api dapur.
wahhh, sedapnyaaa..")
BalasPadamKak Wawa,
BalasPadamjemput ye.
Jamil,
jemput sama.
Nk cuba la....
BalasPadam