Pages

Sabtu, 9 Jun 2018

Pegedil Kentang

Pegedil @ Begedil Kentang, umurnya tak panjang kalau berada di dapur kami. 
Bonda selalu pesan, rajin-rajinlah buat pegedil, boleh buat sarapan anak-anak.
Amie tak rajin nak buat selalu, kecuali kalau ada keperluan untuk melengkapkan soto ayam atau soto banjar.
Petang tadi rajin pula turun ke dapur mencari bahan-bahan untuk dibuat pegedil sebab terpandang bungkusan kentang yang terletak di atas meja dapur. Banyaklah pula kentang di dapur kali ini, dalam bakul pun penuh kentang juga! Terfikir pula, kalau tidak diolah, nanti sempat pula kentang tumbuh tunas. Maklumlah minggu depan seisi keluarga nak balik beraya di kampung. 
Amie pun sentuhlah kentang yang masih berbungkus di atas meja dapur tadi. Eh! Sudah buruk rupanya kentang ini. Lembik pula. Terpaksalah dibuang. Sayangnya!
Amie pun bawa ke sinki dan buka pembungkusnya.
Ya Allah!
Bukan kentanglah!
Rupanya buah ciku yang sudah masak ranum!
Baru teringat, dua tiga hari lepas Amie beli 1 kg ciku dan sebiji betik mengkal di tempat kerja! Betiknya pula sudah dua kali Amie masak. Amie terlupa buah ciku yang sepatutnya Amie peram dalam tong beras, tapi Amie biarkan dalam bungkusan begitu sahaja!
Amie pun gunakanlah kentang yang berlonggok di dalam bakul untuk dibuat pegedil.

Resipi : Pegedil Kentang
Bahan-bahan:
1 kg kentang - kupas kulit dan potong baji / wedges - sebiji kentang - 6 potongan
3 tangkai daun sup - hiris nipis
3 pokok daun bawang - hiris nipis
1 cawan bawang goreng - campur bawang merah & bawang putih
1 sudu kecil lada putih - tumbuk
1 biji telur - dipukul ringan
perencah Maggi Cukup Rasa secukupnya / garam / perasa pilihan
minyak

Cara:
1. Goreng kentang hingga masak. Angkat dan toskan.
2. Tumbuk kentang di dalam lesung hingga hancur / lumat. Kalau nak lenyek saja pun boleh.
3. Masukkan kentang tumbuk tadi ke dalam sebuah bekas. Tambahkan daun sup dan daun bawang, bawang goreng, lada putih dan perasa pilihan.
4. Gaul sebati. Kepalkan bahan tadi menjadi sebesar bola ping pong atau mengikut saiz yang disukai. Bulat-bulatkan, kemudian leperkan menjadi pegedil yang mampat.
5. Panaskan minyak menggunakan api panas sederhana untuk menggoreng tenggelam.
6. Celupkan pegedil ke dalam telur dan goreng hingga kuning keemasan.
7. Angkat dan toskan.

Pegedil Kentang memang sedap kalau diratah begitu saja. Lebih sedap kalau ada pencecahnya. Amie tumbukkan cili padi bersama bawang putih, tambahkan kicap pedas dan perahan limau nipis. Sambil sembang-sembang di dapur selepas balik solat terawih, bolehlah sambung meratah pegedil!

Inilah buah ciku @ sawo yang Amie sangka kentang!
Alhamdulillah, masih elok isinya, walaupun sebiji hancur sebab kuat sangat Amie picit semasa Amie sangka kentang busuk!

Petang tadi berbuka puasa dengan Mee Suhun Sup. Simple dimple.....hiks! Tetap mengenyangkan dengan kehadiran Pegedil Kentang! Sebelum menulis entri, Amie ke dapur, buka tudung saji. Sebiji pegedil pun tak tinggal!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan