Pages

Jumaat, 1 Jun 2018

Asam Pedas Rusa

Petang tadi teragak-agak nak masak tulang rusuk rusa. Sekejap rasa nak masak sup, sekejap rasa dan masak kicap. Akhirnya sambil menunggu tulang rusuk direndam, kita pun selongkar laci, mengumpul segala sudu garfu dan bawa ke sinki, cuci dan toskan. Kemudian, selongkar pula segala tupperware dan bekas kuih raya. Tak tersedar, ketika leka membasuh semua harta karun itu, tulang rusuk rusa sudah lembut.
Tak terfikir lagi nak masak sup atau masak kicap! Tangan cepat saja capai cili kering, kunyit, halia, bawang putih, bawang merah, serai, belacan dan kisar! Akhirnya, menjelang senja, beberapa minit sebelum berbuka puasa, tersajilah hidangan Asam Pedas Rusa!

Bahan-bahan:
1 kg tulang rusuk rusa
2 biji tomato - belah dua
10 biji kacang bendi - buang tampuk dan potong bahagian ekor
5 tangkai daun kesum
2 batang serai - diketuk
2 keping asam gelugor
1/2 cawan minyak
garam / gula / perasa pilihan
air secukupnya

Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
30 biji cili merah
15 biji cili padi 
2 cm halia
2 cm kunyit hidup
1 cm belacan
1 sudu kecil lada hitam 

 Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar bersama serai hingga terbit minyak.
2. Masukkan daun kesum, tulang rusuk rusa dan gaul mesra dengan bahan tumisan sehingga daging pada tulang rusuk berubah warna.
3. Tambahkan asam air dan asam gelugor. Biarkan mendidih dengan api besar selama 15 minit.
4. Kemudian perlahankan api, dan biarkan masakan direnih sehingga daging tulang rusuk menjadi lembut.
5. Masukkan kacang bendi, tomato dan perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
6. Setelah kacang bendi berubah warna, padamkan api dapur. 

Asam Pedas Rusa masakan Amie kali ini memang pedas berapi tau! Saja jew masukkan cili padi, dah tu pulak tambah lada hitam! Kalau tak mahu pedas, jangan masukkan cili padi dan lada hitam!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan