Rasanya tidak ada apa lagi yang hendak ditulis dalam entri terakhir ini melainkan melihat jejak-jejak yang ditinggalkan sepanjang perjalanan kami selama 7 hari 5 malam bermula dari KLIA - New Delhi - Srinagar - Pahalgam - Gulmarg. Ikut perjalanan Amie dan Kamsiah menjadi 9 hari 6 malam sebab perjalanan dari Lahad Datu - Tawau - KLIA - Tawau. Amie tambah lagi satu hari, bermalam di Tawau, jadi 10 hari.
Tertunailah hasrat hati untuk melihat sendiri Taj Mahal di depan mata.
Tumpang tangkap gambar di bilik Salawati dan Dayah. Pintu sarat dengan ukiran kayu yang cantik itu ialah pintu yang memisahkan bilik tidur dengan tandas.
Beginilah suasana ketika para peniaga datang ke houseboat. Mula-mula terkejut juga melihat seseorang duduk di ruang tamu dan menyapa kami dengan ucapan salam! Rupanya beginilah keadaannya! Mereka datang silih berganti membawa barangan dagangan masing-masing. Ada pula pada satu-satu masa dua hingga tiga orang peniaga datang sekaligus. Caca menghidangkan minuman panas untuk kami. Para peniaga ini pandai menyusun waktu. Ditunggunya kami selesai makan malam, mereka pun beri salam di luar pintu.
Hasrat untuk duduk santai di beranda houseboat sambil menikmati angin malam yang dingin serta alunan merdu bacaan al-Quran di persekitaran terbantut kerana setiap kali menjenguk keluar pintu, sudah ada beberapa orang peniaga di beranda dengan barang dagangan mereka.
Mula-mula suka juga nak tengok-tengok, tapi bila sampai bab tawar-menawar ni Amie tarik dirilah.
Menjelang pagi, kami ingin memanaskan diri di ruang tamu dengan hawa hangat dari bakaran kayu maple di dalam selinder logam.
Dan mengambil gambar di beranda sambil menikmati suasana pagi.
Sedang sibuk menangkap gambar, beberapa buah perahu datang mendekat.
Dah orang bagi ucapan salam, kita pun jawablah.
Tak sampai hatilah pulak untuk terus lari dan tutup pintu bila mereka ingin menjual barang yang diniagakan. Lelaki di dalam perahu ini merapatkan perahunya sampai ke dinding houseboat dan menghulur sesuatu kepada Amie.
"Bungga...bungga...benih...benih," katanya.
Amie menolak dengan baik dengan mengatakan suhu di negara kita kurang sesuai dengan benih bunga dari tanah bersuhu rendah seperti Kashmir.
Amie bergegas tinggalkan beranda, dan entah bila masanya peniaga yang satu ini berada di ruang tamu! Terkejut beruk dibuatnya bila tiba-tiba dia beri salam!
Nampaknya Kamsiah sedang sibuk memilih key chain. Para peniaga ini tidak bimbang meninggalkan barangannya di dalam houseboat, dan pergi mengambil barang yang dikehendaki pelanggan di dalam sampannya! Ishh...issshhh! Memang mereka menaruh sepenuh kepercayaan kepada pelanggan!
Seboleh-bolehnya mereka tidak mahu 'melepaskan' kita agar membeli. Katakan pada waktu malamnya mereka datang membawa barangan perhiasan, Amie hanya mencuba dan bertanya harga sahaja, tetapi keesokan paginya dia datang semula menawarkan harga yang lebih rendah sehinggalah kita meninggalkan houseboat!
Caca pula tidak melupakan kewajipannya menambah bahan bakar ke dalam selinder logam untuk memastikan ruang tamu sentiasa dalam keadaan hangat.
Kelmarin glove Amie basah akibat hujan semasa menunggang kuda di Pahalgam. Rupanya glove tersebut masih lembab. Amie letakkan di hujung selinder logam untuk mengurangkan kelembapannya, sebab sebentar lagi akan dipakai lagi untuk meneruskan aktiviti di Gulmarg.
Penjual baju sejuk yang gigih ini tidak putus asa membuat tawaran harga.
Nampaknya Salawati dan Izah sedang mencuba baju sejuk yang ditawarkan.
Baju sejuk yang dicuba pakai oleh Izah akhirnya beralih ke tangan Amie. Ta tahulah murah atau mahal, dengan harga RM250.00 (mereka terima mata wang kita) Amie terus bayar kepada peniaga tersebut. Pada masa yang sama, terdengar teriakan dari luar houseboat. Rupa-rupanya kumpulan kami sudah lama ditunggu untuk naik bas di shikara stand. Apalagi, kelam kabut kami dibuatnya! Amie yang sedang mencuba baju sejuk baru, terus membayar, kemudian mencapai glove, beg sandang dan cepat-cepat menyarungkan kasut! Baju sejuk terus melekat di badan!
Tiba hari terakhir kami di Dal Lake.
Ketika itu Amie sudah tidak menghiraukan sebarang jualan lagi kerana beg sudah penuh, dan rasanya melebihi 20kg! Apa tidaknya, malam tadi melayan lagi peniaga, entah apa lagi yang dibeli!
Menaiki shikara buat kali terakhir pada 23 Mac 2018, bersama pada pagi Jumaat.
Entah bila lagi kaki kita akan jejak ke sini kan Izah!
Dalam perjalanan dari houseboat menuju ke shikara stand pun, kami dikerumuni oleh beberapa buah perahu...peniaga masih berusaha untuk menjual barangan dagangan mereka!
Suasana di shikara stand. Gambar ini Amie ambil dari dalam bas. Rasa kasihan melihat para peniaga yang sanggup mengejar kami hingga ke dalam bas, memujuk kami agar membeli barangan mereka dengan tawaran harga yang semakin rendah! Suasana begini mengingatkan Amie keadaan yang sama di Agra, para peniaga fridge magnet berusaha menjual barang mereka sehingga ke pintu bas, dan Mr. Salman Khan serta Mr. Candra terpaksa memaksa mereka beredar dai situ! Nak tutup pintu bas pun susah!
Selamat tinggal Dal Lake!
Peniaga ini mengekori kami sehingga ke tangga bas dan ada yang terlepas naik masuk ke dalam bas!
Urus niaga di dalam bas masih diteruskan sehinggalah Mr. Tariq dan Mr. Candra terpaksa 'menghalau' mereka turun kerana jadual perjalanan ke Airport Srinagar sudah tiba. Kami perlu berada lebih awal sekurang-kurangnya 4 jam untuk melalui pemeriksaan keselamatan yang dikatakan sangat ketat!
Memang pemeriksaan keselamatan sangat ketat! Satu kilometer sebelum tiba di pintu lapangan terbang, kami sudah melalui pemeriksaan pertama. Pada masa ini beg-beg kami terpaksa diturunkan untuk melalui mesin pengimbas. Kami juga diperiksa. Syukurlah, Atie bersama Mr. Tariq mampu menguruskan dengan cekap dan sangat memahami tugas menurunkan beg dan mengangkut beg ke dalam bas adalah sesuatu yang agak sukar. Beg bukan sahaja berat tetapi memerlukan masa untuk sampai ke lapangan terbang! Beberapa orang pekerja di situ membantu dengan tips yang dikhaskan untuk mereka. Beberapa kali juga Mr. Tariq dan MR. Candra mengingatkan kami supaya jangan memberi sebarang tips sekiranya diminta kerana mereka sudah diberikan tips oleh Mr. Tariq!
Beginilah keadaannya, turun naik beg sehingga beg pun sudah tidak tersusun dan sebahagiannya terpaksa diletakkan di bahagian tempat duduk! Minta maaf, Amie tidak kira berapa kali turun naik, dan berapa kali melalui pemeriksaan di luar dan di dalam lapangan terbang! Rasanya lima kali, atau enam kali...atau mungkin tujuh kali. Bukannya tiga kali ye!
Keadaan di luar lapangan terbang. Kami menunggu di bahagian luar sebelum check in.
Keadaan di perkarangan lapangan terbang Srinagar.
Nampaknya orang ramai yang berurusan terpaksa beratur panjang sampai ke jalan!
Wokeh, akhirnya kami pun selamat mendaftar masuk. Kami terpaksa melalui beberapa pemeriksaan lagi. Yang paling tak seronok sudah tentulah bila hand carry kena buka dan keluarkan segala isinya! Kamera Amie pun disuruhnya buka, nak tengok gambar apa di dalamnya! Adeeehhh... satu lagi dua pasang brooch Amie terpaksa 'dibuang' dan yang sedihnya sebab kedua-dua brooch tersebut Amie belum pernah pakai. Saja jew Amie simpan dalam beg sandang, mana tahu brooch di tudung tercabut, adalah gantinya! Dompet pun kena selongkar sama!
Sempat masuk kedai buku.
Beli sebuah buku resepi berharga INR495. Amie bayar guna duit INR500. Boleh pula mamat ni pandang saja, tak pulangkan baki INR5. Amie tanya mana baki duit. Selamba saja dia jawab, tak ada duit kecil. Ikutkan hati mahu saja lempar balik buku tu! Apa boleh buatlah, kita di tempat orang! Tak apalah mat, INR5 tu dihalalkan. Lepas ini jangan buat begitu kat pembeli lain ye, nanti terbakar pulak kedai buku tu!
Pada mulanya tertanya-tanya kenapa seperti ada kesan tahi burung di tempat duduk? Rupanya memang ada burung dalam airport! Burung merpati!
Dalam catatan terakhir ini ada dua peristiwa pahit yang ingin Amie kongsikan.
Peristiwa pertama di Srinagar Aiport:
Ketika kami menuju ke pintu untuk pemeriksaan sekali lagi (entah kali ke berapa) sebelum menaiki kapal terbang, entah bagaimana Amie boleh terjatuh ketika menuruni tiga anak tangga yang terletak di bahagian luar pintu! Apa yang Amie sedar ketika itu ialah passport Amie terlempar bersama beg sandang serta hand carry. Ketika Amie menjerit, wanita India di hadapan Amie segera membantu Amie untuk bangun, dan seorang anggota tentera meluru ke arah Amie sambil bertanya : Are you okey? Dia kemudian cuba menarik lengan Amie tapi bila Amie kata 'okay' cepat-cepat anggota tentera tersebut bergerak ke arah anak tangga. Rupa-rupanya anak tangga ketiga berlubang, dan Amie tersalah pijak lubang tersebut lalu tersungkur jatuh! Sempat juga Amie melirik melihat lubang tersebut segera 'ditutup' oleh kaki anggota tentera itu. Rupanya selepas insiden yang berlaku sebentar tadi, dia terus bertindak pantas menutup kesilapan agar penumpang yang seterusnya tidak 'terlanggar' lubang di tangga tadi! Maka berdiri tegaklah anggota tentera tersebut di atas anak tangga menjadi penghalang kepada penumpang seterusnya agar tidak tersungkur seperti Amie!
Sakit?
Tuhan saja yang tahu betapa sakitnya tapak tangan menahan berat badan yang tersungkur, dan juga lutut yang tiba-tiba jadi kuda-kuda! Syukurkan bahagian bawah lutut (seluar) tidak terkoyak!
Peristiwa kedua di New Delhi Airport:
Kami meletakkan beg masing-masing di dalam troli, dan perlu menaiki empat atau lima kali (mungkin 4) eskulator yang landai. Kalau tak silap Amie, ketika kumpulan kami bersama troli masing-masing sedang menaiki eskulator yang ke tiga, tiba-tiba berlaku kemalangan yang tidak terduga! Apa yang Amie sedar ialah Amie berada di sudut untuk naik ke eskulator yang seterusnya bersama troly dan hand carry. Beg besar bersama passport hilang entah ke mana! Rupa-rupanya berlaku perlanggaran disebabkan sebuah troli yang tidak sempat keluar dari landasan eskulator! Ketika itu dentuman troli serta jeritan kedengaran bertalu-talu! Ya Allah! Di hadapan mata Amie sendiri menyaksikan dua kanak-kanak kecil tersebit di celah troli dan Amie sendiri turun berteriak ketakutan! Ibu kanak-kanak tersebut sudah berada di atas eskulator yang seterusnya hanya mampu berteriak meminta tolong. Mujurlah ada seseorang yang dengan pantas menarik kedua-dua kanak-kanak tersebut dari tersepit di celah troli. Ketika itu barulah Amie terpandang passport Amie yang tercampak, dilanggar oleh troli-troli mabuk yang kehilangan tuan.Tiada pengawal keselamatan di situ! Mujurlah mereka yang belum menjejakkan kaki di atas eskulator tidak melakukan demikian, jadi entah troli yang ke berapa buah berlanggaran dan tonggang terbalik, barulah keadaan menjadi reda!
Astaghfirullahalaziimmm!
Peristiwa itu sungguh mengerikan kerana berlaku dalam tempoh yang sangat singkat di depan mata!
Khabarnya Maria turut terjatuh terlentang di atas eskulator dan Salawati mengalami lebam dan luka pada bahagian kakinya! Yang lain, Amie tak tahulah apa ceritanya.
Beg! Ya... beg!
Entah bila masanya beg Amie boleh terjatuh dari atas troli.
Rupanya Kamsiah terlihat beg Amie, dan begnya juga jatuh! Segera ditariknya beg Amie dan begnya sendiri ke satu sudut!
Alhamdulillah! Teringat pada ketika itu Amie berteriak... mana beg? Mana beg saya? Bayangkan sekelip mata segalanya boleh berubah!
Moral of the story dari peristiwa yang mengerikan ini, hati-hati sewaktu membawa troli ketika menaiki eskulator. Pastikan jarak perlu jauh, dan bukannya rapat-rapat. Mungkin kami rapat, tapi tak tahulah pula barangkali suasana panik, dan cemas! Segala-galanya boleh berlaku.
Malam itu, kami terbang dari New Delhi dengan pelbagai kenangan! Harap-harap segala rasa sakit kaki dan tangan tidak berlarutan. Ni tak boleh cerita lebih-lebih dengan Encik Suami....hihihiii! Nanti tak bolehlah jalan-jalan lagi. Lupa pulak nak rakamkan seribu terima kasih Encik Suami kerana benarkan Amie jalan-jalan ke India bersama teman-teman. Malam itu Air Malindo menghidangkan kami nasi bersama sayur-sayuran, hidangan vegetarian tapi tak dapat nak telan. Sakit-sakit badan masih terasa, dan mungkin juga sudah merindui masakan tempatan!
Pukul 4.15 pagi, 24 Mac 2018 kami mendarat di KLIA dan seterusnya bergerak ke KLIA2 untuk check in ke Tawau. Kami berpisah di KLIA dan terima kasih kawan-kawan kembara. In shaa Allah jumpa lagi dalam kembara akan datang. Selamat pulang ke Ipoh buat Salawati, Dayah dan ekor-ekornya, dan selamat kembali juga Izah dan Ilah ke tempat masing-masing bersama rakan-rakan yang lain. Terima kasih Atie Said kerana telah menguruskan trip kami dengan baik. Ada jodoh, mudah-mudahan ketemu lagi.
Di KLIA2 kami bersarapan bubur....Alhamdulillah!
Dan selepas itu kami ke surau untuk berehat seketika sebelum daftar masuk. Hairan pula, timbangan beg Amie semasa di New Delhi tertulis 20/1 bermaksud 20 kg sebuah beg, tapi bila ditimbang semula di KLIA2 seberat 22.4kg pulak! Amie tambahkan buku resepi yang tak dipulangkan INR5 di Srinagar Aiport dan menjadi 22.9kg. Bayar sajalah lebihan berat sebanyak 3 kg dengan harga RM37.10 setiap satu kg dan berjumlah sebanyak RM111.30 sen.
Rindunya dengan anak-anak!
Alhamdulillah flight KLIA2 - Tawau selamat mendarat pada pukul 4 petang. Encik Suami bersama Fairuz dan Firdaus sudah menunggu!
Ini oleh-oleh sebiji epal Kashmir yang diagih-agihkan oleh Atie di KLIA.
Terima kasih Atie.
Manis bersari epalnya, wangi lagi!
Saiznya pun besar!
Moga dapat ke Kashmir di musim yang lain pula! Nak rasa petik epal dan guling-guling bawah pokok epal Kashmir!
Happy belated birthday sayaaaangg Firdaus! Dia menagih janji untuk sambut birthdaynya sekali lagi! Kami tidak terus pulang ke Lahad Datu, sebaliknya bermalam di King Park Hotel kononnya meraikan ulang tahun si bujang kenit! Esoknya baru sambung perjalanan.
Sekian.
Terima kasih sudi baca catatan perjalanan Amie sepanjang berada di bumi India.
Entri berkaitan perjalanan ke India (New Delhi - Srinagar - Pahalgam - Gulmarg) :
Melancong ke India : Persediaan Awal
Lahad Datu - Tawau - Kuala Lumpur - New Delhi
India : Kami Datang! Bermalam di Glitz Westend Inn
Taj Mahal - Sehari Bersama Salman Khan di Agra
Makan Tengahari di Priya Restaurant Agra
New Delhi - Srinagar - Dal Lake
Dal Lake Houseboats
Menjamu Selera di Houseboat Dal Lake
Shopping Saree dan Kacang Walnut
Pahalgam - Hotel Pine Spring - Menunggang Kuda di Kaki Gunung
Gulmarg - Gondola Ride - Sledge - Snowbike - Skiing
Mengintai ke Luar Jendela Pahalgam - Srinagar - Gulmarg
Jejak Kenangan Yang Tertinggal di New Delhi - Agra - Srinagar - Pahalgam - Gulmarg
Entri berkaitan perjalanan ke India (New Delhi - Srinagar - Pahalgam - Gulmarg) :
Melancong ke India : Persediaan Awal
Lahad Datu - Tawau - Kuala Lumpur - New Delhi
India : Kami Datang! Bermalam di Glitz Westend Inn
Taj Mahal - Sehari Bersama Salman Khan di Agra
Makan Tengahari di Priya Restaurant Agra
New Delhi - Srinagar - Dal Lake
Dal Lake Houseboats
Menjamu Selera di Houseboat Dal Lake
Shopping Saree dan Kacang Walnut
Pahalgam - Hotel Pine Spring - Menunggang Kuda di Kaki Gunung
Gulmarg - Gondola Ride - Sledge - Snowbike - Skiing
Mengintai ke Luar Jendela Pahalgam - Srinagar - Gulmarg
Jejak Kenangan Yang Tertinggal di New Delhi - Agra - Srinagar - Pahalgam - Gulmarg
Macam mana bila dah dirumah masih sakit ke badan amie.seronok baca pengalaman perjalanan amie.semoga akak dapat baca lagi kembara amie kenegara lain pulak
BalasPadamAcik Erna,
BalasPadamAlhamdulillah... sakit badan tidak berlarutan. Hari Isnin apat ke tempat kerja dalam keadaan sihat walafiat.
Alhamdulillah nasib baik pasport tak hilang. Tak paham kenapa asyik nak check sampai banyak kali. Takut ada penganas ke? Apa pun satu pengalaman yang tidak boleh di lupakan.
BalasPadamKesian pada penjual yang begitu mengharap jualannya laku. Tapi kalau kena keroyok ramai-ramai emm rasa tak seronok lah nak membeli tapi kadang kesian pulak bila tak beli.
BalasPadamBesarnya epal kashmir...agak-agak musim buah masa bila ya. mesti seronok tu petik buah epal...saya suka sekali kalau dapat pi kebun buah-buahan. syoknya
Notie,
BalasPadamsebenarnya airport Srinagar tu airport tentera, dan memang pun Kashmir kawasan bergolak, tu sebab di sana-sini ada kawalan tentera,
memang kesian dengan penjual baik di New Delhi atau di Kashmir, apa pun mungkin itu sajalah cara mereka untuk mencari pendapatan, syukurlah tidak melakukan perkara yang tidak baik untuk menyera hidup, cuma kita kenalah banyak bersabar
jadi rindu Kashmir.
BalasPadam