Pages

Sabtu, 25 November 2017

Pucuk Remayung Tumis Pedas Dengan Kerang

Ada lebihan isi kerang, entah berapa lama berada dalam peti sejuk, tapi masih boleh digunakan. Bukan senang nak dapat bekalan kerang di LD, kecuali kalau kami pergi ke Tawau. Itu pun dapat saiz kerang yang kecil-kecil. Eloklah ada, daripada tak ada....ahaks! Cerita tentang kerang tiba-tiba teringatlah pulak makan kerang bakar di Pantai Remis! Adeeehhhh...bilalah nak balik ke Jeram, berkunjung ke pantai!

Kali ini Amie gandingkan kerang dengan sayur pucuk remayung pula. Di LD, pucuk remayung ini dipanggil pucuk raja (tertulis pada tanda harga di luar bungkusan). Amie gunakan sahaja apa-apa bahan yang ada di dapur. Amie campurkan cili hijau dengan cili padi kampung dan cili padi minyak. Ha haaaa... ini kes nak habiskan stok! Esok hari minggu, jadi peti sejuk kena 'bersih' untuk masuk bekalan baru pula.... hiks! Bawang Bombay itu Amie gunakan untuk gantikan bawang merah. Setengah biji bawang Bombay boleh mewakili 3 atau 4 biji bawang merah.

Inilah rupa pucuk remayung atau pucuk raja, dan kadang-kadang Amie dengar orang sebut sebagai sayur minyak!

Inilah rupa kerang yang disebut-sebut tadi. Ikut sukatannya, kerang ini penuh secawan. Wokeh. Mari kita lihat resepinya di bawah ini:

Bahan-bahan:
15 batang sayur remayung - bilas bersh dan toskan - ambil daun dan pucuknya yang lembut 
1 cawan isi kerang
3 sudu besar minyak
garam / perasa pilihan

Bahan kisar / tumbuk kasar:
3 biji cili hijau
15 biji cili padi kampung
5 biji cili padi minyak
3 ulas bawang putih
1/2 biji bawang Bombay / bawang besar
1 sudu kecil belacan


Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga pecah minyak. Gunakan api panas sederhana.
 
 2. Masukkan kerang dan gaul rata.

 3. Besarkan api dapur dan terus masukan pucuk remayung. Tutup kuali selama 1 minit.

 4. Buka penutup kuali dan tambahkan bahan perasa / garam / gula.

 5. Kacau sekali dua, dan kemudian padamkan api dapur.

Selamat mencuba!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan